Ada Apa Dengan Kes Alfafa Development & Construction Sdn Bhd vs Afyan Mat Rawi?

Memandangkan liputan kes ini di alam maya agak panas dan bagi mengelakkan sebarang kekeliruan fakta, maka saya akan kongsikan secara ringkas mengenai fakta kes ini.

2

1. Pihak Plaintif di dalam kes ini ialah Norsham bin Abd Aziz & Alfafa Development & Construction Sdn Bhd (Plaintif).

2. Plaintif telah memfailkan Saman Pemula terhadap Sdr Afyan Mat Rawi (Defendan) pada 11/3/2016. Asas Plaintif memfailkan Saman terhadap Defendan adalah untuk meminta Defendan menyerahkan data, nama dan no. telefon mengenai perbualan dan mesej2 Defendan bersama seorang individu di atas talian yang didakwa sebagai pegawai bank. Menurut Plaintif, perbualan tersebut telah mendedahkan butiran akaun bank Plaintif tanpa kebenaran Plaintif.

3. Plaintif juga memohon supaya Defendan dihalang membuat komen dan posting mengenai perniagaan dan peribadi Plaintif selagi kes ini belum selesai.

4. Saman ini disampaikan kepada Defendan pada 25/7/2016.

5. Setelah Peguam menerima Saman ini daripada pihak Defendan, maka setelah berbincang dengan Defendan, kami memutuskan untuk memfailkan Notis Permohonan bagi membatalkan Saman Pemula Plaintif tersebut.

6. Maka pada tarikh Pengurusan Kes hari ini (28/7/2016), Notis Permohonan bagi membatalkan Saman Pemula Plaintif tersebut bersama2 dengan Afidavit Sokongan telah difailkan dan diserahkan kepada Peguam Plaintif.

7. Terdapat 24 alasan diberikan di dalam Notis Permohonan bagi membatalkan Saman Pemula Plaintif tersebut, namun saya berikan sedikit sahaja di sini bagi memudahkan pemahaman pembaca, antaranya ialah:

a) Penyerahan Saman Pemula oleh peguamcara Plaintif kepada Defendan pada 25/7/2016 adalah defektif dan bertentangan dengan keperluan Aturan 10 Kaedah 1(1) Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 yang dibaca bersama Aturan 10 Kaedah 5 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012, yang menghendaki percubaan serahan Saman dibuat dalam tempoh 1 bulan.

Namun, penyampaian Saman ini dibuat selepas tempoh satu bulan dari tarikh Saman Pemula dimeteraikan pada 11/3/2016. Tiada apa-apa penjelasan munasabah diberikan mengenai kelewatan selama 4 bulan 11 hari untuk menyerahkan salinan bermeterai Saman Pemula kepada Defendan.

b) Defendan tidak mempunyai apa-apa dokumen berkaitan akaun perbankan Plaintif, sebaliknya ia hanyalah perbualan biasa di laman sosial.

c) Tindakan saman pemula Plaintif adalah tidak relevan kerana menurut keratan akaun facebook Defendan, hanya perkataan “alfafa” sahaja yang disebut dan bukan secara spesifik merujuk kepada Plaintif Kedua, iaitu Alfafa Development & Construction Sdn Bhd. Apatah lagi, carian syarikat di Suruhanjaya Syarikat Malaysia menunjukkan terdapat lebih 46 perniagaan menggunakan nama “alfafa”.

d) Permohonan Plaintif untuk menghalang Defendan membuat komen, pertanyaan dan posting di media sosial berkenaan aktiviti perniagaan Plaintif yang mencurigakan adalah jelas bertentangan dengan hak dan kebebasan bersuara Defendan yang dijamin di bawah Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan.

8) Pihak Plaintif telah diarahkan oleh Mahkamah untuk menjawab Afidavit kepada Permohonan bagi membatalkan Saman Pemula Plaintif tersebut dalam tempoh 2 minggu.

9) Setelah semua Afidavit selesai dijawab oleh kedua2 pihak pada tarikh-tarikh yang diberikan oleh Mahkamah, maka kedua-dua pihak dikehendaki memfailkan Hujahan Bertulis pada tarikh pengurusan kes berikutnya pada 29/9/2016.

10) Mahkamah mengarahkan bahawa kesemua Afidavit dan Hujahan bagi Saman Pemula dan Notis Permohonan bagi membatalkan Saman Pemula Plaintif tersebut berjalan serentak.

11) Maka, pada tarikh 29/9/2016, Mahkamah akan memaklumkan bilakah tarikh Keputusan untuk kedua-dua Saman Pemula dan Notis Permohonan bagi membatalkan Saman Pemula Plaintif tersebut.

12) Manakah keputusan yang akan diberikan terlebih dahulu? Saman Pemula Plaintif atau Notis Permohonan bagi membatalkan Saman Pemula Plaintif tersebut?

Mahkamah lazimnya akan memberikan Keputusan berkaitan Notis Permohonan bagi membatalkan Saman Pemula Plaintif tersebut.

Sekiranya Mahkamah memutuskan untuk membenarkan Notis Permohonan bagi membatalkan Saman Pemula Plaintif tersebut, maka Saman Pemula Plaintif terbatal. So case closed.

Namun sekiranya Mahkamah memutuskan untuk menolak Notis Permohonan bagi membatalkan Saman Pemula Plaintif tersebut, maka Mahkamah akan teruskan dengan memberikan keputusan terhadap Saman Pemula Plaintif pula. Jika ini berlaku, maka Mahkamah seterusnya akan memberikan keputusan sama ada membenarkan atau menolak Saman Pemula Plaintif tersebut.

13) Kesimpulannya, kes ini langsung tidak ada kena mengena dengan Saman Fitnah (defamation suit) sepertimana yang dianggap oleh sesetengah pihak.

Walaupun saya merupakan Peguam Defendan bagi tuntutan fitnah melalui Notis Tuntutan oleh Norsham Abd Aziz terhadap Afyan Mat Rawi pada tahun lepas, namun hingga kini tuntutan kes fitnah tersebut hanya tinggal setakat Notis sahaja. Pihak Norsham tidak pun menyerahkan kepada kami sebarang Saman bagi tuntutan fitnah tersebut setelah saya membalas Notis Tuntutan beliau tersebut.

Diharapkan penjelasan ini akan memberikan pencerahan kepada Tuan2 dan Puan2.

Terima kasih.

Azmir Zakaria
Peguam bagi pihak Defendan
28/7/2016
6.28pm

Apa komen Sdra/i tentang tulisan ini?