Berhati-Hati Di Giant. Jadi Pengguna Bijak

Selama ini saya hanya membaca kisah orang lain tentang harga barangan di Giant berbeza di tag harga dengan di mesin pembayaran.

Kali ini terjadi kepada saya sendiri! Tapi perbezaan berlaku di antara di dalam iklan dengan harga yang di dalam pasaraya.

Agak kecoh juga di Giant Batu Caves tadi apabila saya mempertikaikan harga promosi yang terpapar pada iklan FB tidak sama dengan apa yang terpapar di pasaraya itu.

Harga dalam iklan RM55.99

Harga dalam pasaraya RM59.99

Kalau tak teliti, memang tak perasan sebab angka pertama dengan angka terakhir adalah sama. Sementelah bentuk 5 dan 9 tidak jauh sangat beza. Jika RM50.99 dengan RM54.99 mungkin ketara perbezaannya.

Beza RM4! Banyak beza tu! Cuba bayangkan kalau 1000 orang membelinya setiap hari?

Kemudian promoter di situ terpaksa merujuk kepada staf yang lebih senior (bahagian management barangkali), kerana harga di dalam sistem juga tidak sama dengan apa yang diiklankan.

Lalu saya tunjukkan posting asal yang saya jumpa di FB rasmi Giant Malaysia dan di pun terkejut. Katanya, mereka tidak dimaklumkan tentnag promosi itu.

Kata seorang petugas di situ memang ramai yang membeli meja ini.

Bayangkan, dengan beza RM4, berapa ramai yang sudah membeli meja itu? 10 orang? 100? 1000? 10,000?

Berapa banyak untung atas angin di situ.

Saya tidak pasti sama ada ia disengajakan atau tidak. Sebelum ini saya pernah terbaca seorang pengguna FB mengadu tentang harga pada label di rak barang tidak sama apabila sampai ke kaunter jualan.

Untuk kes saya, akhirnya mereka menukar harga dalam sistem dan saya memborongnya.

Tips RM | Membeli Belah di Pasaraya:

– Pastikan harga yang dibeli sama dengan harga yang tertera pada iklan dan pada rak barang. Jika perlu buat kiraan sendiri dengan kalkulator, lakukan. Jika satu barangan beza RM1, kalau 10 barang sudah jadi RM10. Kalau 100 orang sehari? Seminggu? Sebulan?

– Kemudian, fokus untuk membeli barang yang dirancang sahaja. Selalunya barang yang dipromosi memang murah tapi barangan lain akan lebih mahal dari harga biasa. Trik pasaraya, iklan satu dua barangan yang diturunkan harga supaya pembeli datang beli barangan itu dan barangan lain dengan harga normal atau harga lebih mahal.

– Jadi pengguna bijak, bukan pengguna kena pijak.

Afyan Mat Rawi, pengguna macam kalian.

Kongsikan. Supaya lebih ramai aware.

Apa komen Sdra/i tentang tulisan ini?