fbpx

Jangan Gunakan Kapak Untuk Memotong Sayur!

  • 6 years ago
  • 5Minutes
  • 850Words
  • 640Views

“Takaful untuk perlindungan, bukan untuk simpanan”, kata saya,

“Eh ….”, berkerut-kerut dahinya, seolah-olah keliru.

“Betul, jangan jadikan takaful sebagai alat simpanan. Nanti diri sendiri yang susah”, jelas saya.

“Saya tidak faham maksud awak. Beberapa hari lepas ada ejen takaful yang bercerita kepada tentang takaful sebagai alat untuk simpanan”, balasnya pula.

“Betul”, sengaja saya jawab begitu.

“Eh, tadi awak kata bukan. Sekarang awak kata betul pula?”, dia semakin keliru.

Saya hanya tersenyum dan menyambung perbicaraan…

“Baiklah, awak pernah menggunakan pisau dan kapak?” tanya saya.

“Aduh, apa pula ni…..?”, dia ternyata semakin keliru apabila isu takaful sebagai simpanan dikaitkan dengan pisau dan kapak….


ANALOGI KAPAK DAN PISAU

Takaful merupakan salah satu peralatan kewangan di samping peralatan-peralatan perancangan kewangan yang lain seperti pelaburan, simpanan, persaraan, pusaka, hibah, dan sebagainya.

Setiap peralatan tadi mempunyai fungsi dan matlamat masing-masing. Fungsi utama takaful adalah sebagai persediaan bagi menghadapi musibah seperti kematian, lumpuh, sakit kritikal dan sebagainya.

Fungsi simpanan pula terbahagi kepada tiga iaitu jangka pendek, jangka sederhana dan jangka panjang. Fungsi simpanan jangka pendek adalah untuk memperuntukkan sebahagian wang untuk masa-masa kecemasan yang tidak dilindungi takaful seperti paip bocor, kereta rosak, dan duit hilang. Fungsi simpanan jangka masa sederhana pula adalah seperti perancangan percutian dan pembelian perabot. Fungsi jangka masa panjang pula adalah seperti pendidikan anak-anak, persaraan, dan pembelian rumah.

Fungsi pelaburan pula adalah untuk menggandakan wang simpanan yang ada. Fungsi perancangan pusaka adalah untuk memastikan ahli-ahli waris mudah mendapat pembahagian harta masing-masing selepas berlaku kematian.

Masing-masing mempunyai fungsi dan matlamat yang tersendiri.

Saya selalu gunakan analogi kapak dan pisau apabila membandingkan takaful dengan simpanan, pelaburan, dan sebagainya.

“Apa yang kita gunakan untuk memotong sayur?”, tanya saya.

“Pisau pemotong sayurlah!”, dia tidak memerlukan masa yang lama untuk menjawab soalan saya.

“Apa pula yang kita gunakan untuk menebang pokok?”, soal saya lagi.

“Mmm…gergaji …. atau kapak”, sedikit teragak-agak jawapannya kali ini. Mungkin tidak pernah menebang pokok. Seperti saya.

“Apa akan jadi sekiranya kita gunakan kapak untuk memotong sayur?”, tanya saya.

Di mengerutkan dahi. Berfikir barangkali.

“Apa pula akan jadi jika kita gunakan pisau untuk menebang pokok?”, tanya saya tanpa menunggu jawapan daripada soalan terdahulu.

Dia masih mengerutkan dahi. Masih berfikir barangkali.

Ya, kita masih boleh “menebang” sayur menggunakan kapak, dan masih boleh “memotong” pokok menggunakan pisau, tetapi hasilnya tentu tidak memuaskan.

Sayur yang “ditebang” menggunakan kapak tentu akan porak-peranda hasil potongannya, dan tentu sukar sekali melakukannya, walaupun hasil potongan itu masih boleh dimakan.

Begitu juga apabila pokok “dipotong” menggunakan pisau pemotong sayur, tentu memakan masa yang lama untuk “memotongnya”.

Rasanya hanya dua keadaan sahaja orang akan menggunakan kapak untuk “menebang” sayur, dan pisau untuk “memotong” pokok.

Pertama: tiada pilihan peralatan lain yang ada.

Kedua: orang gila.

TAKAFUL: PERALATAN KEWANGAN YANG SELALU DISALAH FAHAM DAN DISALAH GUNA

Begitu juga halnya dengan takaful. Memang benar, kita boleh menggunakan takaful sebagai peralatan untuk simpanan, tetapi hasilnya sudah tentu berbeza apabila kita menyimpan di dalam bank.

Apabila kita menyimpan wang di dalam bank, beberapa bulan selepas itu kita boleh mengeluarkan jumlah yang sama sebagaimana yang kita simpan. Apabila kita menyimpan RM 100 sebulan ke dalam bank, kita akan mendapat RM 1200 selepas setahun kita menyimpan. Mungkin dengan sedikit keuntungan.

Ini tidak berlaku apabila kita “menyimpan” dalam takaful. Wang sumbangan untuk setiap polisi takaful, hanya sebahagian kecil yang masuk ke dalam akaun simpanan. Apabila kita membayar RM 100 sebulan untuk polisi takaful, kita tidak akan dapat mengeluarkan RM 1200 selepas setahun menyertai skim ini.

Seperti kapak dan pisau tadi, hasilnya mengecewakan apabila kita mengharapkan simpanan daripada polisi takaful yang kita ambil.

Apabila menyertai skim takaful dengan bayaran RM 100 sebulan, sekiranya berlaku musibah dalam tempoh tersebut, kita bukan sahaja mendapat RM 1200 malah berpuluh kali ganda dan mungkin mencecah seratus kali ganda daripada wang simpanan kita!

Inilah yang membezakan takaful dengan peralatan-peralatan kewangan yang lain! Sebagaimana pisau dan kapak berbeza. Berbeza dari segi fungsi, kegunaan, dan matlamat.

Betul, takaful juga boleh diguna sebagai simpanan, sebagaimana pisau boleh diguna untuk “menebang” pokok. Namun, ia akan memakan masa yang lama sehingga sekurang-kurangnya 10 ke 20 tahun. Itupun bergantung kepada produk takaful yang anda sertai. Hanya produk takaful berserta simpanan yang mempunyai simpanan. Simpanan untuk jangka masa yang lama.

Sebagaimana pisau tadi hanya mampu “menebang” pokok selepas memakan masa yang lama. Oh, ini andaian saya sahaja kerana saya sendiri belum pernah lagi mencuba untuk “menebang” pokok menggunakan pisau kerana saya masih waras..

Di sini peranan wakil-wakil takaful. Untuk memberi pengetahuan kepada masyarakat tentang fungsi takaful. Takaful sebagai alat untuk persediaan menghadapi masa-masa getir seperti kematian, lumpuh, sakit, dimasukkan ke hospital, kemalangan dan sebagainya. Apalah sangat RM 100 – RM 200 sebulan jika hendak dibandingkan dengan pampasan takaful yang nilainya yang boleh mencecah RM 100, 000 ke RM 200,000.

Ini kadang-kadang disalah faham di kalangan masyarakat dan disalah guna oleh segelintir wakil takaful atau ejen insurans.

Apabila bertemu dengan prospek, ditekankan soal kelebihan simpanan apabila mempromosikan takaful berbanding menceritakan kelebihan perlindungan yang menjadi fungsi utamanya. Ini akan menimbulkan permasalahan di kemudian hari apabila pelanggan mengambil polisi takaful dengan harapan untuk menyimpan.

Ia akan timbul masalah apabila selepas beberapa bulan, atau beberapa tahun pelanggan ingin mengeluarkan “wang simpanan” takafulnya. Selepas itu, baru mereka sedar bahawa selama ini mereka menggunakan pisau untuk menebang pokok.

Hasilnya; pokok tidak tumbang, manakala pisau pula semakin tumpul!

............................................................
Buku FIRE
Buku F.I.R.E - FINANCIAL INDEPENDENCE RETIRE EARLY
RM49.00
Harga termasuk kos penghantaran

www.BukuFIRE.com

9 Comments
  1. Avatar
  2. Avatar
  3. Avatar

Apa komen Saudara/anda tentang tulisan ini?

Recommended
Entahlah, anda semua boleh lu pikirlah sendiri nilai sendiri: 1.…