fbpx

Kembara China | Antara “Bamboo Network” dan Ukhuwah Islam.

  • 5 years ago
  • 6Minutes
  • 1074Words
  • 369Views

Baru-baru ini saya berpeluang untuk mengunjungi tanah besar China, sebuah negara bangsa yang rakyatnya bertebaran ke seluruh dunia, termasuk Malaysia. China merupakan negara yang paling ramai penduduknya iaitu kira-kira 1,300 juta rakyat dan ia mewakili 1 per 5 penduduk dunia!

Bermusafir ke sana selama 6 hari dari 2 Julai hingga 6 Julai 2013, bersama-sama rombongan Konvensyen Luar Negara Takaful IKHLAS.

Untuk rekod, ini adalah trip ke-empat saya ikuti selepas membuat keputusan menjadi perunding sepenuh masa sejak 2009, selepas Spanyol (2011), Vietnam (2011), Bosnia (2012) dan kali ini ke China. Jika tiada aral, tahun ini juga saya akan meyertai trip ke Bangkok, Thailand pada bulan September nanti.

Bersama-sama kira-kira lebih seratus agen-agen Takaful IKHLAS yang hebat, kami dibahagikan kepada dua kumpulan dan saya ditempatkan ke kumpulan dua. Yang menariknya, pembahagian kumpulan ini dibahagikan oleh syarikat penerbangan kerana jumlah keseluruhan peserta tidak cukup kekosongan kapal terbang dan pembahagian tersebut tidak seimbang – Satu kumpulan berjumlah 90 lebih peserta dan satu kumpulan lagi hanya kira-kira 30 lebih peserta…. Dan saya ditempatkan di dalam kumpulan kedua.

Di China, kami mengujung dua bandar besar di sana; Guang Zhou dan Shen Zhen.

 

Bamboo Network: Rahsia Bisnes Orang Cina

Sebenarnya bukan lagi satu rahsia, kejayaan ekonomi dan bisnes orang China antaranya adalah faktor kekuatan ikatan bangsa sesama mereka atau disebut juga “bamboo network”.

Sekalipun China negara komunis yg mengamalkan dasar tertutup sejak sekian lama, namun mampu menjadi kuasa baru ekonomi dunia berlawanan cara ekonomi kapitalis barat yang bersifat terbuka. Untuk rekod, China mengamalkan dasar pintu tertutup sehingga dekad 70-an.

Sistem “bamboo network” yang dibina berasaskan bangsa memberi impak ekonomi yang berkesan sekaligus membangun bangsa Cina di seluruh dunia.

 

China, Cina dan Chinatown

Di mana-mana pelosok bumi pasti ada bangsa Cina dan Chinatown tidak terkecuali di Malaysia malah di negara kuasa besar dunia, Amerika Syarikat pun wujud Cina Amerika dan Chinatown.

Bagi menggambarkam betapa orang Cina wujud di segenap pelosok dunia, seorang sarjana pernah menyebut bahawasanya jika semua orang Cina melompat serentak, nescaya bumi boleh bergegar. Semacam jenaka tapi ada benarnya bagi menggambarkan kekuatan yang mereka ada sehingga di mana-mana sahaja mereka boleh hidup dengan baik malah kaya senang lenang dengan mengekalkan identiti keCinaan mereka.

Lihat sahaja di tanah air kita, kedai-kedai orang Cina boleh hidup subur di dalam kawasan penempatan orang Melayu. Malah di ceruk-ceruk kawsan perkampungan orang Melayu pun, tauke-tauke Cina boleh memiliki kedai dan bisnes yang maju. Pengalaman peribadi saya, di kampung ibu saya di Kampung Batu 38, Sabak Bernam, Selangor yang 95% masyarakat jawa Melayu, sebuah kedai malah kilang pengumpulan koko dimiliki oleh seorang tauke Cina dan orang kampung menghantar koko-koko yang ditanam mereka kepada tauke berkenaan untuk dijual. Begitu juga di pekan kecil Jertih, Besut Terengganu, kampung sebelah ayah saya, kedai-kedai Cina boleh hidup subur dengan baik di dalam kawasan majoriti 99% adalah orang Melayu.

 

Bamboo Network vs Ukhuwah Islamiyah

Sebagai muhasabah bersama, “Ukhuwah Islamiyah” adalah suatu hikmah yang hilang dari dunia umat Islam.

Walhal ia merupakan tuntutan Islam yg menganggap semua umat Islam bersaudara, cuma bezanya bamboo network berasaskan bangsa manakala ukhuwah Islamiyah berasaskan ikatan aqidah.

Ternyata ukhuwah Islamiyah, lebih hebat jika dipraktikkan berbanding dengan bamboo network. Atas ikatan aqidah inilah yang pernah menyatukan kaum Ansar dan kaum Muhajiri di kota cahaya Madinah dan seterusnya berkembang pesat menguasai dua per tiga dunia.

Seorang sarjana lain pula pernah berkata, andainya seluruh umat Islam di negara-negara Arab kencing di negara haram Israel, orang-orang Yahudi boleh kelemasan dibanjiri air kencing. Ia satu analogi sarkastik lagi pedas dan kurang enak didengar namun tersirat kebenaran bahawa umat Islam tidak bersatu yg terpaksa ditelan sekalipun pahit.

Lihat sahajalah krisis berlarutan di Palestin, di mana maruah negara-negara jiran umat Islam di sana? Arab dengan asabiah Arabnya, pemimpin – pemimpinnya pula bergelak ketawa dengan pemimpin negara penyokong Israel, Amerika. Lihat juga krisis Mesir hari ini, tidak kedengaran suara solidariti dari pemimpin negara umat Islam yang membela Morsi yg dipilih secara sah, terutama dari negara jiran bumi Firuan dan Musa itu.

Benar sabda junjungan besar kita, akan tiba suatu masa umat Islam didatangi oleh orang kafir seperti hidangan makanan dilahap oleh orang-orang kelaparan. Memang hancur luluh berkecai. Tegas Rasulullah juga, ia bukan kerana umat Islam sedikit bahkan ramai namun kuantiti tidak datang dengan kualiti.

Zaman inikah yang disebut baginda Rasul? Wallahua’lam.

Bisnes Network Umat Islam

Saya tertarik dengan satu program yang dijadualkan pada bulan September ini; Konvensyen Usahawan Muslim.

Bagi saya ia suatu usaha yang baik dianjurkan oleh pihak penganjur untuk berkongsi pengalaman dan ilmu bisnes oleh para usahawan-usahawan Muslim yang berjaya di Malaysia, dari pelbagai sektor. Selain dari itu, ia boleh dijadikan sebagai satu medan membina interaksi dan network sesama usahawan Muslim di peringkat nasional.

Merujuk kepada web rasmi program berkenaan, http://www.konvensyenusahawanmuslim.com/ carian saya mendapati ia adalah anjuran pihak bebas yang tidak terikat dengan mana-mana kepentingan politik. Harapan saya agar ia kekal bebas kerana di Malaysia sudah ada beberapa organisasi network bisnes tapi agak malang apabila ia dipengaruhi oleh iklim politik Malaysia. Tidak perlu saya sebutkan nama mana-mana organisasi berkenaan, kebanyakannya hanya sebagai proksi bagi kroni politik sahaja dan bukan sebenar-benar membantu usahawan muslim membina bisnes.

Jadi, besarlah harapan saya agar program ini menjadi medium penyatuan dan network umat Islam di Malaysia tanpa mengira bangsa dan keturunan. Ya, Muslim bukan hanya Melayu.

 

 

Bisnes dan Dakwah Seiring

Jika disoroti perjalanan sirah Islam, antara kaedah penyebaran agama Islam adalah melalui bisnes. Dalam buku-buku sejarah Melayu tercatat sejarah umat Islam kurun ke-15, pedagang-pedagang Muslim dari Tanah Arab datang berdagang ke Tanah Melayu melalui negeri Melaka – selain dengan tujuan bisnes juga dengan tujuan penyebaran aqidah Islam.

Direkodkan, kejayaan besar para pedagang merangkap pendakwah ini adalah berjaya mengislamkan sultan Melaka dan selepas itu ia dicontohi oleh  seluruh rakyat jelata, dan kesannya nampak sehingga kini apabila majoriti rakyat Malaysia yang berbangsa Melayu adalah beragama Islam. Kita patut berterima kasih kepada nenek moyang kita dahulu kerana telah memeluk Islam, jika tidak kita hari ini mungkin beragama Hindu, agama nenek moyang kita sebelum memeluk Islam.

Pada zaman tersebut, merupakan zaman kegemilangan umat Islam apabila menguasai dua per tiga dunia, dan Melaka merupakan salah satu pusat penyebaran Islam di Nusantara. Ia antara sejarah yang dilupakan dan cuba dihilangkan di dalam buku-buku sejarah.

Sesungguhnya menjadi harapan kita semua agar umat Islam kembali bersatu atas asas aqidah yang satu, tuhan yang satu, dan kiblat yang satu.

Kita yakin dan pasti seandainya ummah kembali berpadu, nescaya bukan sahaja ekonomi dapat kita kuasai, bahkan juga kuasa dunia mampu kita tadbir.

Bukankah Islam pernah gemilang menguasai dua per tiga dunia?

AllahuAkbar!

 

 

Afyan Mat Rawi,
Catatan asal pada Jumaat, 5 Julai 2013,
Shen Zhen, China.

 

............................................................
Buku FIRE
Buku F.I.R.E - FINANCIAL INDEPENDENCE RETIRE EARLY
RM49.00
Harga termasuk kos penghantaran

www.BukuFIRE.com

Apa komen Saudara/anda tentang tulisan ini?

Recommended
Orang kita memang sensitif dengan berita surau diguna oleh non-muslim…