Pelaburan yang sedang trending selalunya ia sudah sampai ke pucuk, dan selalunya bakal turun.

Ketika sedang trending, pelabur yang paling beruntung ialah pelabur yang sudah melabur tahun-tahun sebelum ia trending kerana ia masa terbaik untuk mendapat pulangan.

Pelabur yang baru sertai belum tentu mendapat untung.

 

EMAS

Contohnya pada tahun 2010-2012, emas sangat trending sehingga makcik kantin pun bercakap tentang emas. Pemain-pemain emas muncul macam cendawan, seminar-seminar emas laris macam goreng pisang panas.

Ada pemain yang sudah otai, ada pemain yang newbie. Yang menariknya, ada yang newbie pun mengaku pakar dan mengendalikan seminar pelaburan emas.

Ketika itu harga emas naik mencanak-canak, dan pelaburan emas sangat trending. Sampaikan skim-skim pelaburan emas SCAM pun turut mendapat tempat.

Selepas 2012, harganya mulai jatuh sedikit demi sedikit hingga. Ramai pelabur yang baru mula melabur pada tahun ia di pucuk mula merasakan pelaburan emasnya merugikan.

Rentetan itu pula maka timbul pula pelaburan emas gaya baru dengan cara emas delay, ETA, ar-Rahnu dan lain-lain untuk ‘cover’ kerugian daripada kejatuhan harga emas semasa.

2016, nampaknya harga emas mula mendaki sedikit demi sedikit.

 

SAHAM

Penghujung 2012 hingga tahun ini, pelaburan saham pula mula mendapat tempat. Ramai pemain-pemain saham muncul dan mulai dikenali. Seminar-seminar saham mula laris macam goreng pisang panas.

Hampir sama ketika fenomena emas melanda. Ada otai dan ada newbie. Ada juga newbie yang mengaku pakar menganjurkan seminar saham.

Kini harga saham nampak agak menurun. Pemain-pemain otai saham senyum sahaja kerana ia adalah normal. Tapi ia menimbulkan panik bagi si newbie.

 

HARTANAH

Begitu juga dalam pelaburan hartanah dalam beberapa kategori. Contohnya hartanah lelong, dahulunya amat mudah untuk dapat harga reserve di bawah harga pasaran. Kini pembeli lelong makin bertambah sejak 2-3 tahun kebelakangan ini, persaingan makin sengit untuk mendapat harga reserve.

Sektor hartanah naik dengan pesat dari 2010 hingga 2015, malah ada yang meningkat 100% harga rumah dalam 2 – 3 tahun dibeli. Ketika ia memuncak, muncul player-player hartanah “segera” yang mengaku pakar hartanah, menganjurkan seminar dengan pelbagai method. Tidak kurang juga scammer hartanah yang muncul dalam pelbagai agak versi.

2016, dengan ekonomi yang agak perlahan setahun dua ini, harga rumah tidak jatuh tapi ramai pemilik rumah yang ingin menjual rumah di bawah harga pasaran. Boleh rujuk REN yang anda kenali untuk dapatkan listing hartanah di bawah harga pasaran.

 

SAHAM AMANAH / UNIT TRUST

Sekitar tahun 2010 harga saham amanah banyak yang melambung menjadikan ia pelaburan alternatif yang digemari.

Beberapa syarikat unit trust makin popular ditambah pula dengan ia mudah dilakukan melalui wang KWSP.

Para pelabur digalakkan melabur melalui KWSP kerana dikatakan pulangannya lebih tinggi dari pulangan KWSP.

2016, didedahkan oleh CEO KWSP sendiri bahawa, rupa-rupanya hanya 20% pelabur unit trust yang mendapat pulangan lebih tinggi dari KWSP.

 

WHAT’S NEXT?

Menjelang 2017, tidak tahu apa pula berlaku selepas ini, sama ada naik, turun atau …..

 

Poin penting yang ingin saya kongsikan ialah;

+ Sesuatu yang naik, pasti akan turun.

+ Pelaburan yang sedang hangat diperkatakan ramai bukanlah pelaburan yang baik untuk disertai KETIKA ITU. Tunggu ia sejuk sedikit 🙂

+ Pelaburan terbaik ialah pelaburan ilmu. Pelaburan kedua terbaik juga adalah ILMU.

+ Melabur menggunakan ilmu bukan emosi.

+ Pelaburan umpama kita menanam pokok. Hasilnya bukan untuk kita tuai sebulan dua.

Afyan Mat Rawi, IFP.

p/s: Soalan cepu mas: Apakah pelaburan yang tidak trending sekarang? Melaburlah di situ.

Apa komen Sdra/i tentang tulisan ini?