Pengalaman Tak Dapat Dilupakan Di Tanah Suci

Membawa pulang susu ibu dari Tanah Suci untuk si kecil di Malaysia merupakan antara pengalaman yang tidak dapat dilupakan sepanjang mengerjakan haji tempoh hari.

Sejak sebelum tiba ke Tanah Suci, isteri sudah google dan studi pengalaman jemaah-jemaah haji lepas yang mengalami perkara sama.

Dengan 1001 cabaran, akhirnya berjaya juga membawa pulang stok susu ibu untuk anak kecil yang ditinggalkan selama 44 hari.

Cabaran paling besar untuk menyelesaikan misi ini ialah untuk menyimpan stok susu. Terima kasih kepada rakan-rakan Jemaah Haji Hotel Fajr Badie 4 yang memahami dan sudi menumpangkan susu ini dalam peti sejuk masing-masing.

Masa minggu awal di sana, ada juga staf Tabung Haji mengatakan ia tak akan lepas dan tak galakkan membuat simpanan susu.

Luluh juga hati kami ketika itu. Namun kami doa banyak-banyak dan usahakan sebaik mungkin.

“Andai nanti tak lepas masa nak naik flight, kita tawakal sahajalah”, kata saya kepada isteri.

Cabaran-cabaran kecil lain ialah untuk mendapatkan cold-storage beroda yang akhirnya dapat dibeli di pasaraya Bin Dawood di Mekah.

Kemudian apabila dibawa ke Madinah, sekali lagi perlu memohon bantuan rakan-rakan Jemaah Haji untuk menumpang di bilik-bilik mereka.

Kemuncaknya ialah untuk melepasi pemeriksaan imigresen sebelum dibawa naik menaiki kapal terbang.

Sehari sebelum berangkat, sangat sukar untuk ais batu yang perlu diisi di dalam cold storage. Jika di Mekah harganya 5 riyal sahaja, tapi di Madinah harga yang ditawar oleh penjual ialah 30 riyal untuk 1 paket!

Selepas negosiasi, dapat juga dengan harga 30 riyal utk 2 paket.

Itupun perlu bertanyakan dari banyak kedai barulah dapat jumpa yang sudi menjualnya.

Tong cold storage ini diisi dengan ais dan garam untuk mengekalkan suhu susu dalam keadaan sejuk supaya ia dapat bertahan untuk sampai ke Malaysia.

Keluar dari hotel kira-kira jam 10 malam, sebelum bergerak ke lapangan terbang. Di Lapangan Terbang Antarabangsa Prince Abdul Aziz, Madinah, ia berjaya melepasi pemeriksaan imigresen selepas sedikit soal selidik kira-kira jam 4 pagi.

Selepas masuk ke balai berlepas, barulah tong ini dibalut dengan plastik supaya ia lebih lama bertahan.

Kira-kira jam 7 pagi ia dibawa naik ke kapal terbang, berlaku sedikit kekecohan kerana krew kabin tidak benarkan ia dibawa masuk ke dalam pesawat kerana saiznya yang besar. Akhirnya ia diletakkan di dalam kabin bersama beg-beg penumpang.

Alhamdulillah, jam 9 malam ia selamat sampai di KLIA.

Kira-kira 16 jam perjalanan susu ini dari hotel di Madinah sebelum ia dimasukkan kembali ke dalam peti sejuk di Malaysia.

Teringat ada seorang jemaah tanya;

“Eh, nanti tak jadi keju ke?”

Alhamdulilah, dalam masa 16 jam perjalanan ia kekal sebagai susu 🙂

#MemoriHaji1438

https://web.facebook.com/afyan.ikhlas/videos/10213725523323047/

Apa komen Sdra/i tentang tulisan ini?