Cara Mudah Tapi Berkesan Untuk Mendidik Anak Celik Wang 

Cara biasa yang dilakukan oleh ibu bapa, termasuk saya dahulu ialah kita beri wang belanja sekolah dan berpesan;

“…ambil duit belanja sekolah ini. Belanja dan kalau ada lebih simpan dalam tabung”.

Ia diasuh sejak hari pertama sekolah. Setiap hari dipesan perkara yang sama;

“… Kalau ada lebih, simpan dalam tabung..”

Anak tadi dari hari pertama darjah satu, hingga masuk darjah dua dipesan perkara sama.

Apabila masuk sekolah menengah pun dipesan perkara sama.

Apabila masuk universiti pun dipesan perkara sama;

“…ambil duit buat belanja, kalau ada lebih, simpan…”

Lalu, apakah yang kita harapkan kepada anak tadi apabila grad daripada universiti dan mendapat gaji pertama?

Mereka akan belanja dahulu, kemudian barulah simpan!

Ya, itu yang akan mereka lakukan sebab itulah yang diajar, diasuh dan dididik sejak dari kecil.

Saya juga diasuh begitu. Cari itu tidaklah salah, tapi ia melahirkan generasi yang mendahulukan berbelanja berbanding menyimpan.

Hasilnya, statistik menunjukkan bahawa hanya sedikit rakyat Malaysia mempunyai simpanan yang mencukupi terutama orang Melayu Muslim.

Jadi, apa yang kita boleh lakukan?

Kita boleh “mengubah masa hadapan”, dengan mengubah sedikit sahaja tabiat.

Sebenarnya, hanya perlu mengubah ayat sahaja, daripada kita berpesan;

“…ambil duit untuk belanja, kemudian kalau lebih boleh simpan dalam tabung…”,

kita boleh ubah kepada;

“…ambil duit dan simpan, ada lebih baru belanja…”.

Ia tidak sukar, cuma mencabar kebiasaan.

Saya pun baru mulakan sejak tahun lepas, dan kadang kala terlepas pandang juga.

Tahun lepas hanya seorang anak yang ke sekolah membawa duit belanja, tahun ini bertambah menjadi 3 orang.

Untuk menjadikan ia tabiat harian, wang saku diberikan di rumah bukan apabila sampai di sekolah kerana jika di rumah boleh terus masukkan ke dalam tabung.

Saya siap-siap keluarkan wang not RM1 dari bank sebanyak beberapa ratus untuk sebulan dan simpan di rumah.

Setiap pagi sebelum hantar mereka ke sekolah, saya letakkan duit belanja di tabung anak-anak (seperti dalam gambar), dan berpesan;

“Kakak, Kak Aika, Abang Ni, ambil duit belanja sekolah dekat tabung. Kemudian simpan seringgit dalam tabung. Yang lebih buat belanja sekolah…”

Semoga dengan cara ini dapat melahirkan generasi baru yang lebih mengutamakan simpanan sebelum berbelanja.

 

Tip mendidik anak celik kewangan

 

2 Comments

Apa komen Sdra/i tentang tulisan ini?