fbpx

13 Tip di Bazar Ramadhan

  • 2 years ago
  • 4Minutes
  • 604Words
  • 655Views

gambar dari sumber google

Ketika saya sedang menaip tulisan ini, sudah genap lapan hari umat Islam di Malaysia berpuasa pada tahun 1430 ini.

Maka lapan hari jugalah saya tidak pernah mengunjungi bazar Ramadhan tahun ini. Semoga saya dapat kekalkan prestasi ini sehingga ke akhir bulan Ramadhan.

Sebelum saya menceburi sepenuhnya bidang takaful ini, saya pernah berniaga di bazar Ramadhan… Ops, bocor rahsia 🙂

Saya berniaga membantu ibu saudara saya, seorang peniaga di ibu kota. Saya membantunya semenjak daripada belajar di kampus sehingga selepas keluar daripada kampus.

Malu? Seorang graduan undang-undang, berniaga bazar Ramadhan. Hmmm…. ada juga bertembung dengan kawan-kawan dan pensyarah ketika berniaga, tetapi apalah hendak dimalukan.

Ada beberapa perkara yang ingin saya kongsi bersama para pembaca blog ini. Sesuai untuk sesiapa yang ingin menceburi bidang bisnes bazar Ramadhan, juga kepada para pengunjung-pengunjung bazar.

1. Hari pertama bazar Ramadhan, selalunya ia penuh sesak. Para peniaga selalunya akan untung besar pada hari pertama dan jualan mereka habis licin.

2. Jadi, jika pertama kali berniaga di bazar Ramadhan, jangan menggunakan indikasi jualan hari pertama sebagai petunjuk hari-hari seterusnya. Seeloknya, kurangkan jumlah jualan pada hari-hari seterusnya.

3. Berhati-hati jika hari hujan. Selalunya barang jualan tidak habis dijual, kerana pengunjung tidak ramai dan orang kebanyakannya malas untuk keluar rumah. Jadi para peniaga akan ”menyimpan” untuk dijual keesokan harinya.

4. Jadi, jika semalam hujan, para pengunjung bazar perlu berhati-hati membeli makanan agar tidak terbeli makanan semalam yang ”dikitar semula”.

5. Sesekali datanglah bazar Ramadhan pada waktu-waktu hampir berbuka untuk melihat mana-mana peniaga yang tidak habis barang jualan mereka. Selalunya (tidak semua), mereka akan membuat kitaran semula kepada barang-barang jualan mereka. Namun ramai juga peniaga yang bersifat jujur tidak melakukannya.

6. Pada bulan Ramadhan, antara makanan yang paling digemari adalah martabak. Bahan utama membuat martabak adalah telur. Jadi pilihlah martabak yang dimasak dengan menggunakan telur yang sudah dibasuh.

7. Cara untuk memilih martabak yang sudah dibasuh ataupun tidak adalah dengan cara melihat bagaimana telur-telur tersebut diletak. Jika ia masih diletak di dalam bekas telur, selalunya ia masih belum dibasuh. Jika ia sudah dipindahkan ke dalam bekas lain, selalunya ia sudah dibasuh.

gambar hiasan

8. Tip di atas juga sesuai untuk makanan-makanan yang menggunakan telur sebagai bahan, namun agar sukar sekiranya makanan tersebut telah siap dimasak.

9. Lihat gambar-gambar di bawah untuk membezakan telur yang masih berada di dalam bekasnya dengan yang sudah dipindahkan ke dalam bekas lain;

Telur masih berada di dalam bekas asalnya.

Telur yang sudah dipindahkan ke dalam bekas lain

Telur ini juga sudah dipindahkan

Yang ni siap ada sign-board lagi! “TELOR INI TELAH DIBASUH”

10. Minuman yang popular di bulan puasa juga adalah air soya. Kualiti air soya dibezakan dengan kepekatannya. Seeloknya belilah air soya yang masih panas berbanding dengan yang telah dicampur air batu, kerana ia lebih segar dan pekat. Jika hendakkan yang sejuk, tambah sahaja dengan air batu.

11. Jika kita membeli pada waktu hampir-hampir dengan waktu berbuka, selalunya peniaga akan memberikan lebih daripada yang dibeli. Ia bagi menghabiskan stok-stok makanan yang telah dimasak tetapi tidak terjual. Jadi, sesekali, datanglah pada waktu tersebut. Untung-untung, dapat simpan untuk sahur keesokan harinya. 🙂

12. Antara persediaan pada hari raya adalah kuah raya. Jangan membeli kuih raya pada minggu-minggu awal bulan Ramadhan. Sebaliknya tunggu selepas masuk minggu-minggu terakhir kerana pada waktu ini harga kuih raya akan jatuh secara beransur-ansur.

13. Harga kuih raya akan jatuh pada lebih-lebih lagi pada hari-hari terakhir  bulan puasa. Kenapa? Kerana tiada siapa yang akan membeli kuih raya selepas masuk bulan Syawal! Jadi, semua stok perlu dihabiskan segera.

Ada sesiapa ingin menambah tip-tip lain?

Nota: Gambar-gambar di atas diambil daripada sebuah pasar malam sebelum bulan puasa. Saya tidak dapat mengambil gambar di bazar Ramadhan. Bukankah tadi saya sudah beritahu yang saya belum menjejakkan kaki di bazar Ramadhan pada tahun ini?

............................................................
Buku FIRE
Buku F.I.R.E - FINANCIAL INDEPENDENCE RETIRE EARLY
RM49.00
Harga termasuk kos penghantaran

www.BukuFIRE.com

6 Comments
  1. Avatar
  2. Avatar

Apa komen Saudara/anda tentang tulisan ini?

Recommended
Selaku seorang perunding takaful dan kewangan Islam, adalah menjadi tugas…