fbpx

Ada Ejen Insurans Konvensional Tapi Mendakwa Produk Insurans Yang Dipasarkan, Patuh Syariah

  • 5 years ago
  • 6Minutes
  • 1050Words
  • 542Views

Sedih menerima mesej daripada seorang rakan ini.

Beliau follower saya dan pernah menghadiri program Seminar Bijak Merancang Wang #SeminarBMW dan kemudiannya menjadi kawan.

Masih ada ejen yang mempunyai lesen takaful dan insurans konvensional, mencadangkan produk insurans konvensional kepada para pelanggan atas alasan produk insurans konvensional lebih rendah harganya dan lebih baik servisnya.

Ia selalunya berlaku dalam syarikat Insurans konvensional yang turut mempunyai anak syarikat atau “adik-beradik” syarikat takaful.

Tidak timbul sebarang isu syariah pada produk takaful dan syarikat takaful yg lahir daripada syarikat induk insurans konvensional.

Yang menimbulkan masalah ialah apabila ada ejen-ejen yang mempunyai lesen kedua-dua insurans dan takaful, memasarkan kedua-dua produk serentak.

Yang lebih menyedihkan ia dari kalangan ejen-ejen Melayu Muslim.

Tambah menyedihkan, dakyah itu masih berjaya mempengaruhi pelanggan-pelanggan yang juga dari kalangan Melayu Muslim.

Ada ejen insurans konvensional tapi mendakwa produk insurans yang dipasarkan, patuh syariah.

Dalam tulisan ini, suka saya kongsikan sedikit ilmu insurans vs takaful kepada rakan-rakan dalam menghadapi situasi ini.

Ia saya tujukan kepada rakan-rakan pengguna supaya tidak terpedaya dengan dakyah ejen-ejen insurans sebegini.

Dalam masa sama juga saya tujukan kepada ejen-ejen insurans, supaya berhijrah kepada takaful 100%.

Saya bahagikan tulisan ini kepada beberapa bahagian;

A. Dakyah Ejen Insurans Konvensional yang Mendakwa Produk Mereka Patuh Syariah

B. Beza Takaful dengan Insurans Konvensional

C. Isu Insurans Konvensional yang Dilaburkan Ke Dana Patuh Syariah

D. Beberapa cadangan dan solusi

A. DAKYAH EJEN INSURANS KONVENSIONAL YANG MENDAKWA PRODUK MEREKA PATUH SYARI’AH

Antara argumen yang digunakan mereka ialah;

1. Produk insurans mereka dilaburkan ke dalam dana patuh syariah maka produk itu patuh syariah.

2. Mereka membuat analogi dengan syarikat unit trust yang ada dana patuh syariah dalam masa sama juga ada dana tidak patuh syariah.

3. Paling biasa ejen insurans kata “sama je insuran dengan takaful. Tukar istilah sahaja”.

4. Ada juga yang mempromosi produk insurans am seperti medical card stand alone atau insurans kenderaan mengatakan tidak mengapa langgan insurans am kerana ia tidak ada elemen simpanan atau saving. Ada sesetengah ejen medical card yang menggunakan hujahan ini.

B. BEZA TAKAFUL DENGAN INSURANS KONVENSIONAL

1. Yang membezakan antara insurans dengan takaful adalah kontrak sedari awal. Kontrak insurans adalah kontrak jual beli yang menimbulkan isu syariah kerana produk yakni coverage dalam insurans tidak wujud ketika kontrak ditandatangani.

2. Bermula dari kontrak, ia seterusnya menimbulkan isu gharar (ketidaktentuan atau uncertain), maisir (judi) dan riba’. Isu riba’ yang paling besar dan utama berbanding yang lain.

3. Justeru itu, alternatif kepada insurans konvensional ialah takaful yang TIDAK MENGGUNAKAN KONTRAK JUAL BELI, dan ia digantikan dengan kontrak “tabarruk”. Sebab itu wang yang dibayar oleh pelanggan dipanggil SUMBANGAN untuk menggantikan istilah CARUMAN. Tidak ada istilah “BELI” dan “JUAL” dalam takaful. Jika ada ejen takaful yang masih gunakan istilah “BELI” dan “JUAL”, maka sekehlah kepalanya.

4. Kontrak berbeza memberikan implikasi berbeza. Sebab itu syarikat insurans menggunakan istilah “penanggung insurans” manakala syarikat takaful pula ialah “pengendali takaful”. Banyak lagi istilah-istilah yang digunakan dalam takaful berbeza dengan insurans konvensional.

(Huraian tentang hukum hakam muamalat dalam bab ini, perlu dirujuk kepada pakar-pakar mualamat dan saya bukanlah orangnya)

5. Penting sangat ke kontrak ni? Ya penting. Kita orang Islam juga ada kontrak kita dengan Allah yang membezakan antara Muslim dan Kafir, yakni SYAHADAH. Orang Islam walaupun berbuat jahat akhir sekali akan masuk syurga manakala orang Kafir yang baik akhir sekali tetap akan masuk neraka. Boleh cari perbahasan alim ulama dalam isu Muslim yg jahat vs Kafir yang baik.

6.Hujahan ini juga untuk menjawab bahawa insurans am adalah harus kerana tiada elemen simpanan. Isu utama ialah faktor kontrak, tiada kaitan dengan ada simpanan atau tidak.

(Maaf, saya terpaksa gunakan sedikit sentimen agama apabila sampai ke bab ini)

C. ISU INSURANS KONVENSIONAL YANG DILABURKAN KE DANA PATUH SYARI’AH

Bagaimana pula dengan dakwaan ejen yang mengatakan produk insurans mereka patuh syariah sebab mereka laburkan ke dalam dana patuh syariah?

1. Perlu diingatkan bahawa pelaburan syarikat insurans ke dana patuh syariah adalah hubungan antara syarikat insurans dengan syarikat pelaburan, bukan kontrak pelanggan dengan syarikat insurans.

2 Apabila dari awal kontrak antara pelanggan dengan syarikat insurans tidak patuh syariah, kesinambungan daripada itu tidak menjadikan kontrak awal sah.

3. Analoginya begini, kita beli arak atau rokok dari penjual arak dan rokok kemudian penjual itu melaburkan duit kita ke unit trust patuh syariah – tidak menjadikan arak dan rokok yang kita beli itu jadi halal.

4. Dalam syarikat unit trust, tidak ada masalah kontrak. Kontrak pelanggan dengan syarikat ialah kontrak pelaburan. Yang membezakan dana patuh syariah dengan dana tidak patuh syariah, bukannya kontrak tapi produk yakni di mana dana dilaburkan. Jika sesuatu dana itu hanya dilaburkan pada kaunter patuh syariah, maka produk itu patuh syariah. Jika sesuatu dana itu dilaburkan ke kaunter tidak patuh syariah, maka ia jadi tidak patuh syariah.

5. Contoh mudah begini; kita beli barang di kedai 7-Eleven, hukumnya harus selagi mana kita membeli barangan yang halal. Tapi jika kita membeli arak atau rokok, ia sudah jadi tidak patuh syariah.

6. Hujahan ini juga untuk menjawab dakwaan bahawa medical card stand alone adalah harus kerana tiada elemen simpanan. Isu utama ialah faktor kontrak, tiada kaitan dengan ada simpanan atau tidak.

D. BEBERAPA CADANGAN DAN SOLUSI

1. Selalu berlaku situasi di atas apabila ejen tersebut datang dari syarikat insurans konvensional yang mempunyai anak syarikat atau kumpulan syarikat yang mempunyai lesen takaful. Contoh syarikat ABC Assurance Berhad dalam masa sama ada juga syarikat ABC Takaful. Kedua-duanya menggunakan nama brand yang sama iaitu ABC.

2. Jadi suka saya cadangkan supaya undang-undang diperketat supaya tidak boleh mana-mana kompeni mempunyai kedua-dua lesen serentak. Dan ia juga diperketat kepada ejen, tidak boleh mempunyai kedua-dua lesen serentak.

3. Dalam masa sama, tidak boleh mana-mana kompeni takaful menggunakan brand nama yang sama supaya tidak mengelirukan pengguna.

4. Peraturan sebegini juga boleh diperluaskan bukan setakat dalam industri takaful dan insurans malah juga dalam industri kewangan secara keseluruhannya termasuk bank dan saham amanah.

Terima kasih kerana sudi membaca sehingga akhir tulisan ini.

Jika ada sebarang pandangan berbeza, sangat dialu-alukan. Saya akan sedaya upaya untuk respons andainya soalan yang diajukan dalam pengetahuan saya.

Saya alu-alukan juga kepada rakan-rakan cerdik pandai dalam bidang muamalat untuk memberi ulasan dalam bab hukum hakam muamalat.

Andainya tulisan ini bermanfaat, sudi-sudikanlah berkongsi supaya perkara ini lebih ramai diketahui. Kadar penembusan insurans konvensional sekarang lebih tinggi dari kadar penembusan takaful, iaitu kira-kira 45% berbanding takaful hanya lebih kurang 15%.

Semoga lebih ramai yang mendapat manfaat daripada tulisan ini.

Sekian, wassalam.

umber dari FB Afyan Mat Rawi
INFAQ Consultancy

Jika berminat utk belajar lagi ilmu takaful, join program #KlinikTakaful https://infaq.my/klinik-takaful/

............................................................
Buku FIRE
Buku F.I.R.E - FINANCIAL INDEPENDENCE RETIRE EARLY
RM49.00
Harga termasuk kos penghantaran

www.BukuFIRE.com

Apa komen Saudara/anda tentang tulisan ini?

Recommended
Ramai juga yang tanyakan saya tentang desas-desus kenaikan harga sumbangan…