“Apa yang berlaku kepada TH sebenarnya?”

“Apa yang berlaku kepada TH sebenarnya?”

“Aset TH diserahkan kepada orang Cina?”

“Orang bukan Islam mengambil alih TH?”

“TH diuruskan oleh orang “kafir?””

“Aset Tabung Haji dijual kepada orang Cina?”

“Habislah Tabung Haji, aset umat Islam jatuh ke tangan orang “kafir”!”

Banyak persepsi-persepsi yang berlegar di luar sana berkaitan dengan Tabung Haji.

Ia bermula daripada pendedahan oleh Menteri Agama tentang kerugian Tabung Haji tahun lepas, kemudian laporan audit oleh PwC, kemudian pengambil alihan pengurusan TH di bawah pemantauan BNM, pengambil alihan aset TH oleh SPV dan akhir sekali CEO yang menguruskan SPV ini adalah non-Muslim.

Tabung Haji mempunyai nilai sentimental yang sangat tinggi kepada umat Islam di Malaysia. Ia wujud lebih awal dari bank-bank Islam di Malaysia dan sekian lama ia memberi banyak sumbangan dalam pelaksanaan rukun Islam ke-5.

Jadi apabila muncul isu-isu berkaitan dengan TH, umat Islam sangat sensitif sehingga ada segelintir yang terkeliru antara fakta dan auta. Yang mana realiti yang mana hanya persepsi.

Hingga ada yang kata “CEO Tabung Haji dilantik dari kalangan orang bukan Islam!”. Sangat jauh menyeleweng dari fakta sebenar.

Semacam aktiviti “telefon buruk”, apabila A sampaikan satu berita kepada B, kemudian B sampaikan berita C, kemudian C pula kepada D dan begitulah seterusnya, hingga kepada Z, berita yang Z terima jauh terpesong dari apa yang A ceritakan.

Apa yang sedang dilakukan ke atas TH, ialah penambahbaikan sudut “corporate governance” dan ia ada pro dan kontra.

Jika dibahaskan dari sudut korporat, saya yakin ia tidak akan sampai “TH jatuh ke tangan orang “kafir”.

Yang terjadi begitulah ialah mainan persepsi!

Kerajaan melalui Menteri Agama gagal mengawal persepsi tersebut.

Dan ia bukan baru berlaku hari ini.

Ia semenjak seawal sedari Menteri Agama menjalankan tugasnya.

Lihat sahaja isu-isu yang berlegar seputar beliau;

  • isu LGBT,
  • isu tiada lagi tangkapan khalwat,
  • isu ICERD,
  • isu Zakir Naik,
  • isu video lama Moorthy kata orang India Malaysia dizalimi,
  • isu kuil,
  • isu Adinda Nurul Izzah,
  • isu terjemahan Ad-Diin,
  • isu terjemahan rumah-rumah Allah,
  • dan yang terkini isu TH.

Banyak kenyataan-kenyataan Menteri Agama kepada publik menimbulkan keresahan kepada rakyat dan kemudiannya back-fired balik kepada parti dan kerajaan dan akhirnya ia menjadi bahan untuk buli-siber dan troll.

Malah ada pun perkara yang tidak ada apa-apa isu, tiba-tiba Menteri Agama keluarkan respon yang tidak perlu pun sebenarnya. Contohnya isu Zakir Naik, isu tangkapan khalwat, isu video lama Moorthy, dan isu Adinda Nurul Izzah.

Malah juga, ada pula kenyataan yang hanya menambah petrol ke atas api, bukan untuk meredakan keadaan. Contohnya isu LGBT, isu ICERD dan isu kuil.

Memang tak dapat dinafikan, selaku menteri maka beliau akan disoal oleh wartawan dan media tapi barang diingat bahawa ada pepatah yang menyebut bahawa “terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya.”

Contoh seperti soalan dalam Parlimen oleh MP Pendang tentang siapakah CEO yang menguruskan SPV Tabing Haji, boleh pula dia jawab; “Tapi bukan Pendang-lah”?

Menteri Agama ini memang tak ada kerja lainkah?

Dalam hal ini, saya respek Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefli Ahmad. Beliau fokus kepada tugasan dalam kementerian beliau dan tidak ada timbul langsung sebarang isu kontroversi yang tidak wajar.

Juga dalam hal ini, tabik juga kepada Menteri Palajaran yang dahulunya penuh kontroversi kasut putih, warna stokin, 1MDB dimasukkan dalam silibus, kolam renang dalam sekolah dan sebagainya – kini semakin reda persepsi negatif dan banyak ditonjolkan kejayaan kementeriannya.

Kontroversi yang tidak wajar bermaksud kontroversi yang wujud bukan kerana dasar dan isu utama.

Berbalik kepada Tabung Haji, alangkah bagusnya kenyataan-kenyataan dikeluarkan oleh CEO Tabung Haji, Dato’ Sri Zukri Bin Samat. Beliau ialah tokoh korporat dan bukan tokoh politik yang banyak terlibat dalam pembangunan ekonomi umat Islam.

Sebelum bersama Tabung Haji, beliau lama berada di Bank Islam Malaysia Bhd dan sangat tuntas menjalankan amanah beliau.

Prestasi Menteri Agama hari ini sangat merisaukan ramai pihak malah dalam Konvensyen Parti Amanah Negara tahun lalu, perwakilan turut mengkritik beliau kerana mengeluarkan kenyataan yang tidak perlu.

Mungkin ada yang menuduh pembangkang yang memanipulasi isu. Berdasarkan pemerhatian , isu ini menjadi mainan, troll dan sindiran page-page yang tidak ada kepentingan politik pun dan diambil kesempatan oleh pembangkang yang menjadi musuh tradisi parti pemerintah.

Malah dalam banyak keadaan, parti pembangkang tidak keluarkan sebarang kenyataan dan tidak sempat dimainkan isu pun.

Jadi, apa sebenarnya yang terjadi?

Ia mungkin “karma” kerana kerajaan yang naik hari ini banyak memainkan persepsi dan fitnah ketika menjadi pembangkang.

Dahulu, banyak persepsi-persepsi yang dimainkan seperti negara hendak bankrap, PM rompak duit rakyat, tol boleh dihapuskan, harga petrol boleh diturunkan, PTPTN boleh dimansuhkan dan sebagainya – tapi apabila menjadi kerajaan ia gagal dibuktikan.

Jadi hari ini, rakyat yang sudah terbiasa dengan persepsi terus-menerus dimainkan oleh persepsi-persepsi baru yang muncul bahawa kerajaan gagal dan Menteri Agama gagal menjaga agama.

Kerajaan yang naik persepsi dan fitnah kini dalam keadaan yang terumbang-ambing dengan barisan kabinet yang mereka sendiri akui tidak perform. Persepsi yang mereka bina ke atas kerajaan lama kini berbalik kepada mereka.

Senjata makan tuan.

Suka saya cadangkan Menteri Agama sekarang Dr Mujahid Yusof RawaMujahid Yusof Rawa digantikan dengan Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri

Kenapa saya cadangkan Sahibus Samahah Mufti Wilayah ini?

  1. beliau bukan orang politik,
  2. beliau bersih dari sebarang imej kontroversi,
  3. rekod kerja beliau menjadi Mufti Wilayah sangat cemerlang,
  4. lihat media sosial beliau? baik FB, instagram, website – sangat-sangat-sangat-sangat aktif dan interaktif.
  5. ketokohan ulama kontemporari yang seiring zaman.
  6. sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan, beliau melakukan penyelidikan terlebih dahulu
  7. kenyataan yang dikeluarkan, mewakili team jabatan mufti, bukan personal semata-mata
  8. kenyataan yang dikeluarkan, sangat berhikmah
  9. imej selaku agamawan juga sangat baik beliau jaga. Jubah dan kopiah tidak pernah lekang dari tubuhnya.

Ya, memang pernah ada kontroversi imej wahabi kepada beliau tapi beliau berjaya menangani persepsi tersebut dengan baik dan bijaksana.

Mohon mencadang dan sokongan.

Sumber dari FB Afyan Mat Rawi
Follow & klik see first. Juga sertai Channel t.me/AfyanIFP utk info kewangan pantas

Gambar hiasan dari The Edge