HIBAH – Berapa Isteri Perolehi Selepas Bayar Hutang

Komen ini ditinggalkan dalam status berhubung “Salah Faham Hibah” baca di sini

Masih ramai ejen takaful yang berfahaman begini : Hibah takaful sebagai instrumen solusi untuk membayar hutang jika berlaku kematian.

Jika kisah di atas adalah benar, dan si balu guna pampasan daripada hibah takaful arwah suami, saya yakin tentu selepas itu akan timbul isu lain.

Baik, kita lihat satu persatu, kebarangkalian yang bakal terjadi apabila hibah takaful digunakan untuk bayar hutang arwah.

 

SITUASI A

1. Arwah meninggal dunia, tinggalkan harta pusaka, hibah takaful dan hutang piutang.

2. Arwah juga meninggalkan pewaris, termasuk isteri, anak-anak dan waris-waris lain.

3. Balu arwah terima pampasan daripada hibah takaful.

4. Atas nasihat ejen takaful, hibah tadi digunakan untuk bayar kesemua hutang suami termasuk kereta, kad kredit, dan hutang kawan-kawan.

5. Alhamdulillah, selesai hutang suami.

6. Sekarang masuk bab harta sepencarian dan pembahagian faraid. Balu boleh buat tuntutan harta sepencarian dan mahkamah syariah akan putuskan jumlahnya, maksima 50% daripada baki pusaka yang tinggal, jika layak. Manakala untuk faraid, beliau hanya layak dapat 1 per 8 sahaja daripada harta pusaka arwah suami.

7. Kereta yang isteri bayar hutang tadi pun kena bahagi ikut faraid. Rumah yang mereka duduk, jika ada, pun perlu bahagi ikut faraid.

Agak-agak berapa yang tinggal untuk untuk isteri?

Sebab itu saya tegaskan bahawa hibah takaful bukan untuk bayar hutang.

Andaikan dalam situasi di atas, balu tersebut jumpa saya, maka ini advise saya:

 

SITUASI B

1 hingga 3 tak ada sebarang isu. Kita terus kepada nombor 4.

4b. Gunakan wang hibah takaful tadi untuk beli rumah dan kereta sendiri. Semua atas nama isteri.

Habis tu, hutang arwah bagaimana? Selfishnya… Bertenang, baca sampai habis.

5b. Arwah turut tinggalkan harta lain. Gunakan harta-harta pusaka untuk bayar hutang arwah.

6b. Selepas selesai hutang piutang arwah, barulah pergi kepada tuntutan harta sepencarian dan agihan faraid. Prosesnya sama seperti no 6 dalam Situasi A.

7b. Alhamdulillah, selesai. Isteri tadi dapat gunakan hibah takaful untuk kelangsungan dirinya selaku balu yang baru kehilangan suami selaku punca pendapatan utama keluarga bersama anak-anak yang menjadi yatim. Dalam masa sama, hutang suami juga dapat dilangsaikan.

Nampak tak beza bagaimana situasi A dengan situasi B?

Jika Tuan-Puan berada dalam situasi di atas, yang mana Tuan-Puan akan pilih?

Jika Tuan sebagai suami, yang mana Tuan mahukan isteri Tuan lakukan jika Tuan meninggal dunia kelak? Situasi A atau Situasi B?

Jika Puan sebagai seorang balu, mana yang akan Puan pilih?

Pejam mata, tarikh nafas dalam-dalam dan pilih situasi terbaik.

Sebenarnya, jika benar hendak jadikan takaful untuk perancangan membayar hutang sekiranya meninggal dunia kelak, jangan letakkan penama takaful tapi gunakan instrumen berikut:

1. Penamaan biasa.

Ini paling mudah. Dalam borang takaful, pemilik polisi Boleh letak nama waris sebagai penama biasa dan bukan penama hibah. Penama bertindak sebagai pemegang amanah dan bukan penerima mutlak pampasan apabila pemilik polisi meninggal dunia. Ia tertakluk kepada pusaka arwah termasuk hutang dan faraid.

2. Absolute Assignment.

Ini lebih terjamin. Pemilik polisi mengisi borang khas dan letakkan nama institusi pemiutang seperti bank sebagai penerima pampasan takaful kelak. Absolute Assignment juga boleh digunakan untuk membuat trustee atau pengamanahan untuk mengarahkan pemegang amanah menggunakan wang pampasan takaful untuk bayar hutang.

Setiap pilihan ada pro n con masing-masing, tapi lebih baik berbanding letakkan penama hibah dengan hasrat untuk membayar hutang yang hanya menimbulkan polemik baru selepas kematian.

Wallahua’lam.

Afyan Mat Rawi
INFAQ Consultancy

Join t.me/AfyanIFP utk ilmu kewangan PERCUMA

 

Sumber dari FB Afyan Mat Rawi 

WP2Social Auto Publish Powered By : XYZScripts.com