fbpx

Emas: Jangan Sampai Lemas

  • 2 years ago
  • 5Minutes
  • 970Words
  • 974Views

Tulisan ini disiarkan di majalah keusahawanan online, Majalah Niaga dengan tajuk “Kronologi Pelaburan Emas: Jangan Sampai Terlemas” dan mendapat lebih 1000 view dalam masa seminggu sejak disiarkan, dan sehingga entri ini ditulis kembali ke blog afyan.com, ia sudah mencecah lebih2000 view.

Dalam masa sama, ia juga turut mendapat respon yang pelbagai terutama daripada pemain-pemain dalam industri ini yang menyuarakan rasa tidak puas hati tentang artikel ini.

Tulisan ini bukan untuk merendah-rendahkan industri emas, malah saya sendiri terlibat secara langsung dalam industri ini, yakni sebagai pemodal dalam bisnes ini. Justeru ia merupakan pandangan bebas dan teguran langsung buat semua yang terlibat, tidak kira penjual, pembeli atau pelabur.

Tulisan ini adalah berdasarkan pengalaman saya, pernah menjadi pemodal dalam bisnes emas ini yang memang menguntungkan. Berikut adalah tulisan yang dimaksudkan yang boleh juga dibaca di Majalah Niaga;

2010 – 2011: GOLD MANIA

Ketika artikel ini ditulis, harga emas sedang menjunam teruk. Ia murupakan kejatuahn harga yang terrendah dalam masa 3 tahun semenjak 2011.

Sekitar tahun 2010-2011, dunia menyaksikan kenaikan harga emas mendadak sekitar tahun 2010 dan kemuncaknya ke hujung 2011. 

Pada waktu ini, syarikat-syarikat pelaburan emas semakin banyak. Usahawan emas pula tumbuh bagai cendawan selepas hujan. Kursus-kursus dan seminar-seminar tentang emas dan pelaburan emas bagai goreng pisang panas.

Fenomena ini juga disebut sebagai Gold Mania.

Ramai orang berebut-rebut hendak membeli, melabur dan menyimpan emas. Ia satu hasrat yang murni.

Malah ada yang sanggup bergolok bergadai membuat hutang untuk melabur di dalam emas.

Dari makcik kantin hingga ke CEO syarikat bercakap tentang emas.

Bank-bank pun mula memperkenalkan akaun emas.

Malah, Nescaffe pun turut menawarkan emas sebagai hadiah utama!

Siapa yang paling untung ketika ini? Sudah tentu tidak lain tidak bukan; penjual emas, bukan pembeli emas.

KALIS INFLASI

Sumber gambar dari https://malaysiajournal.com/

Sekitar 2011, ketika demam emas sedang memuncak saya selalu berkongsi tentang tip-tip pelaburan yang mengatakan bahawa pelaburan emas SAMA sahaja dengan pelaburan-pelaburan lain seperti hartanah, saham, unit amanah dan lain-lain lagi.

Ia ada untung, ada rugi. Ada naik, ada turun. Ia ada RISIKO.

Perkara ini ditentang hebat oleh segelintir pemain-pemain dalam pelaburan emas yang mengatakan emas adalah kalis inflasi kerana harga emas akan sentiasa naik dan tidak akan turun. Jika turun pun, ia akan naik kembali dengan lebih tinggi.

Ya, ia benar. Naik, turun, naik kembali lebih tinggi – itulah namanya pelaburan dan inilah namanya RISIKO dan ia SAMA dengan pelaburan-pelaburan lain.

MATAWANG SYARIAH

Saya masih ingat lagi, satu status saya tentang pelaburan emas dan risiko telah dikongsi dalam sebuah group tertutup tentang pelaburan emas.

Ada yang mengkritik saya kerana saya tidak menyokong pelaburan emas dan membuat kesimpulan bahawa saya tidak menyokong sistem matawang syariah berasaskan dinar dirham.

Malah ada juga yang menghentam saya apabila mengetahui profil saya sebagai perunding kewangan Islam dan takaful sebagai penyokong industri riba dan kapitalis kerana saya berada dalam industri yang beraung di bawah Bank Negara yg mereka anggap sebagai simbol kapitalis.

Ketika demam emas ini memuncak, seruan dinar dirham emas untuk menggantikan wang kertas ada di mana-mana dan sentiasa diperkatakan.

Ia adalah satu perkembangan yang sihat namun hakikatnya dalam sistem ekonomi kewangan Islam, perkara utama yang perlu ditekankan ialah menghapuskan saki baki riba bukan menghapuskan sistem mata wang kertas. 

Tambahan pula sistem mata wang kertas terdapat khilaf di kalangan ulama dalam perkara tersebut, manakala soal riba pula memang tiada khilaf langsung bahawasanya ia haram mutlak.

Ia dikuatkan lagi dengan sokongan daripada mantan PM yang menyeru agar emas dijadikan sandaran matawang dunia menggantikan USD. Selain itu perkembanagn ini disokong dengan pengenalan matawang dinar dirham oleh Kerajaan Kelantan.

2012: DEMAM BERANSUR KEBAH

Pada 2012, harga emas tidak sangat memberangsangkan sebagaimana tahun sebelumnya. Namun emas masih mendapat sambutan namun tidak semeriah dahulu.

Syarikat-syarikat emas tetap bertumbuh, usahawan-usahawan emas masih ramai dan seminar-seminar emas masih mendapat tempat.

Langit tidak selalu cerah, hampir penghujung 2012 satu serbuan besar-besaran Bank Negara Malaysia terhadap syarikat pelaburan emas Geneva Gold dan beberapa syarikat lain.

Selepas itu, orang ramai lebih berhati-hati perihal emas. 

Bak kata pepatah, disebabkan seekor kerbau membawa lumpur, habis semuanya terpalit.

Dalam kes ini, Geneva Gold menjadi kerbau yang membawa lumpur dan menyebabkan kerbau-kerbau lain turut terpalit lumpur pelaburan haram skim cepat kaya emas.

2013: …..

Perkembangan terkini, harga emas mulai susut dan ketika tulisan ini ditulis, maklumat yang saya peroleh daripada sahabat saya Sdra Pakdi Suzardi M yang juga seorang pelabur, harga hari ini menyusut kira-kira 30% berbanding September 2011 dan dianggarkan purata kejatuhan harga sebanyak 12% setahun.

Apa yang saya boleh simpulkan, sebagaimana yang ditulis di awal tadi, emas SAMA sahaja seperti pelaburan lain dan tetap ada RISIKO.

TIP DAN PANDUAN

Akhir sekali, suka saya kongsikan dua tip utama dalam pelaburan yang boleh digunakan dalam mana-mana pelaburan tidak kira emas atau yang lain-lain seperti hartanah, saham, unit amanah dan sebagainya.

1) ILMU – PELABURAN SEBELUM MELABUR

2) JANGAN IKUT RAMAI ORANG

1. ILMU – PELABURAN SEBELUM MELABUR

Pelaburan yang paling utama sebelum melabur ialah pelaburan untuk menuntut ilmu. Inilah yang membezakan orang yang membuat untung dalam pelaburan dengan orang yang rugi dalam pelaburan.

Sebenarnya, ketika harga emas sedang naik tempoh hari pada 2011, orang yang paling untung ialah orang yang sudah siap-siap membeli emas sebelumnya dan menjual kembali ketika ramai orang sedang gilakan emas.

2. JANGAN IKUT RAMAI ORANG

Ia “common sense”. 

Sifirnya begini; pelaburan adalah untuk menghasilakn untung dan kekayaan. Lihat di sekeliling kita, ramai orang yang kaya raya atau sebaliknya? Sudah tentu lebih ramai orang yang tidak kaya, yakni majoriti yang biasa-biasa sahaja hartanya dan ramai juga yang miskin.

Maknanya; hanya sedikit orang yang mempunyai ilmu untuk membuat wang da ramai orang yang tidak mempunyai ilmu itu.

Jadi, ketika ramai orang sedang melabur dalam emas pada 2011, sebenarnya perbuatan itu tidak dilakukan oleh orang-orang yang berilmu dan kaya raya. 

Maka, mengapa perlu ikut mereka?

KESIMPULAN

Soalan; Jadi, apa yang perlu dibuat sekarang?

Jawapan; Cari pelaburan yang tidak ramai orang sertai dan buat keuntungan dari situ 

Soalan; Apakah pelaburan itu?

Jawapan; Saya tidak tahu dan sedang berusaha mencari.

Afyan Mat Rawi, IFP

............................................................
Buku FIRE
Buku F.I.R.E - FINANCIAL INDEPENDENCE RETIRE EARLY
RM49.00
Harga termasuk kos penghantaran

www.BukuFIRE.com

Apa komen Saudara/anda tentang tulisan ini?

Recommended
Baru-baru ini saya berpeluang untuk mengunjungi tanah besar China, sebuah…