fbpx

Haluan Yang Berbeza

  • 1 year ago
  • 6Minutes
  • 1251Words
  • 553Views

UPDATE : 5 September 2022

(Artikel ini turut diterbitkan oleh MajalahNiaga.com)

Assalamualaikum, Afyan…” sapa satu suara.

“Waalaikumsalam, Eh…”, satu wajah yang dikenali, tapi saya agak lupa namanya.

“Apa awak buat di sini?”, tanya beliau. Saya masih belum cam namanya.

“Jumpa klien”, jawab saya ringkas. Otak saya ligat mengimbas kawan-kawan ketika belajar dahulu.

“Wah, mesti banyak kes awak ye?”, tanya beliau lagi. Namanya masih belum menjengah ke pemikiran saya.

“Kes? Adalah sikit-sikit..”, saya dapat rasakan yang perkataan “kes” di dalam pemikiran beliau, tidak seperti perkataan”kes” yang saya maksudkan.

“Wah, awak dengan firma mana sekarang?”, tanyanya lagi.

Betul jangkaan saya. Dia ada satu tanggapan awal kepada saya yang tidak tepat. Kali ini saya baru teringat namanya. Seorang kenalan yang pernah sekelas ketika menuntut di universiti dahulu.

Kami sama-sama mengambil jurusan undang-undang di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Kami tidaklah serapat mana dahulu.

“Hmm… sendiri”, saya tidak pasti sama ada jawapan saya menjawab soalannya.

“Oh, awak ada firma sendiri!?”, dia agak terkejut.

Saya hanya tersenyum. Tersenyum kerana dapat mengingati namanya. Tersenyum dengan ayat terakhir daripadanya. Tentu dia menyangka saya memiliki firma guaman sendiri.

“Awak tubuhkan firma lepas chambering-kah?”, betul tekaan saya. Dia menyangka saya memiliki firma guaman sendiri.

“Adalah…”, kata saya sambil tersenyum lagi. Sambil mengeluarkan dompet untuk mengambil bisnes kad. Lantas saya menunjukkan kad saya kepada beliau sambil menunggu reaksinya.

“Haaaaa…???!!!”, kaget sekali nampaknya kawan saya itu.

“Takaful??? Awak ejen takaful…???”, dahinya berkerut. Dia benar-benar terkejut. Melihat kad bisnes saya. Yang tertulis nama saya, dengan logo syarikat takaful dan di bawahnya tertera “perunding takaful”.

Dua kali dia tekejut. Kejutan pertama kerana disangkanya saya “memiliki firma guaman sendiri”.

Kejutan kedua, kerana “firma guaman” yang disangkanya, rupa-rupanya “firma takaful”!.

Jika tempoh hari selapas grad UIAM saya mengambil langkah untuk chambering dan praktis law, tentu statistik ini akan berubah sedikit

Lawyer Takaful

Tahun 2012 ini, masuk tahun ke lapan saya berkecimpung dalam bidang takaful, termasuk sebagai perunding sepenuh masa dari tahun 2009 hingga tahun 2011, separuh masa (2006 – 2008) dan tiada masa (2004-2006).

Tiada masa bermaksud saya hanya mendaftarkan diri sebagai wakil takaful tetapi tiada bisnes dijalankan. Oh!

Lebih tepat lagi, hampir lapan tahun saya bekerja sendiri atau self employ semenjak menamatkan pengajian ijazah pada Oktober 2003.

Di kalangan kawan-kawan, kadang-kadang ada yang menggelar saya dengan jolokan lawyer takaful. Saya tidak tersinggung dengan panggilan tersebut, kerana saya yang memilih jalan ini. Malah, ia secara tidak langsung menjadi bahan promosi.

Cuma kadang-kadang saya bimbang ia akan menyebabkan misleading orang lain apabila jolokan lawyer takaful memberi anggapan “seorang peguam yang menjalankan bisnes takaful”atau “seorang pegawai undang-undang di syarikat takaful”.

Saya hanya belajar ilmu law, tetapi saya bukan lawyer. Saya hanya belajar undang-undang, tetapi saya bukan pengamal undang-undang.

(Nota: Seorang lulusan undang-undang hanya layak digelar peguam setelah di menamatkan chambering atau di dalam bahasa Melayu: latihan di dalam kamar. Jangan silap faham takrifan kamar di sini, ia bukan bermaksud bilik sebagaimana yang sedang saudara pembaca fikirkan. Ia merujuk kepada kamar mahkamah)

Kamus Kehidupan

Sepanjang belajar di Kuliah Undang-undang Ahmad Ibrahim, UIAM, banyak yang saya belajar. Saya belajar erti sebuah kehidupan. Bukan sekadar kuliah, tutorial, assignment, presentation, dan exam.

Ilmu kehidupan saya perolehi melalui persatuan, jemaah, pilihanraya kampus, usrah, tamrin, mesyuarat dan sebagainya. Ia mematangkan saya.

Walaupun kadangkala terbabas dek kesuntukan masa untuk menyeimbangkan antara akademik dan persatuan, namun akhirnya saya bergelar graduan juga. Seperti rakan-rakan lain yang sama sekuliah dengan saya.

Alhamdulillah, dalam kekangan masa membahagikan antara akademik dengan persatuan, kelas dengan mesyuarat, tutorial dengan usrah, assignment dengan kertas kerja program,presentation dengan tamrin, pensyarah dengan naqib, akhirnya saya bergelar siswazah.

Siswazah undang-undang kelas kedua. Lebih baik sedikit daripada Karpal Singh, kalau tidak silap saya, beliau mendapat kelas ketiga 

Frequently Asked Question (F.A.Q)

Kadang-kadang ada juga orang bertanya:

“Tidak menyesalkah menghabiskan masa kira-kira 6 tahun (termasuk matrikulasi), belajar undang-undang, tetapi akhirnya tidak mempraktiskan apa yang saya dipelajari?”.

Atau…

Sia-sia awak belajar tinggi-tinggi, hendnak belajar undang-undang ni bukan senang. Kena hafal kes itu kes ini, akta itu akta ini, seksyen itu seksyen ini. Orang lain susah payah nak dapat degre LL.B, nak jadi lawyer, awak senang-senang sahaja sia-siakannya.”

Jawapan klise saya ringkas, “Oh ya, saya belajar erti kehidupan sepanjang berada di kampus dahulu”. Noktah.

Tidak dinafikan dalam tiga tahun pertama saya menongkah arus, soalan-soalan (baca: kritikan-kritikan) seperti di atas banyak menjengah ke telinga saya.

Lama-lama ia menjadi semakin kalih malah mungkin boleh dibukukan menjadi FAQ (Frequently Asked Question) untuk saya berikan kepada mereka yang bertanya.

Sebuah Pencarian

Semenjak dari pusat matrikulasi pada 1998, saya tidak pernah bercita-cita untuk menjadi peguam. Tetapi cita-cita lain yang ada kaitan dengan undang-undang masih di dalam perancangan saya.

Namun sepanjang pengajian, saya tidak sempat untuk memikirkan perancangan selepas grad, akibat disibukkan dengan aktiviti “kampus kehidupan”.

Hanyalah pada tahun akhir pengajian, saya memikirkan perancangan selepas grad. Sebenarnya sudah agak lewat pada usia 22 tahun untuk memikirkan hala tuju selepas grad.

Saya tercari-cari arah tuju saya selepas grad serta tercari-cari bakal pasangan hidup saya. Ya, pada tahun akhir, dengan dua pencarian.

Sedang dalam pencarian cari diperkenalkan sebuah buku tulisan Robert Kiyosaki, “Rich Dad Poor Dad”. Seorang rakan yang memperkenalkan saya buku tersebut.

Ternyata buku tersebut mengubah persepsi saya tentang kehidupan bekerjaya. Saya kira pencarian saya sudah berakhir.

Menyongsong Arus

Saya betul-betul terpengaruh dengan tulisan Robert Kiyosaki.

Ia membawa satu pandangan terbalik: belajar bersungguh-sungguh, masuk universiti, kemudian selepas grad: jadi usahawan. 

Berbanding dengan pandangan biasa: belajar bersungguh-sungguh, masuk universiti, kemudian selepas grad: jadi chambering dan menjadi peguam, atau menjadi pegawai PTD atau paling tidak memohon KPLI atau JQAF.

Akibat terpengaruh dengan saranan inilah saya melawan arus, konon-konon ingin menjadi usahawan.

Aduh, memang penat kerja melawan arus ini. Di kala orang lain selepas grad menulis resume, saya merangkak-rangkak menulis business plan. Ketika orang lain menghadiri temu duga kerja, saya terhegeh-hegeh ditemuduga klien.

Ketika orang lain membelek akhbar mencari kerja kosong, saya membelek akhbar mencari peluang berniaga. Ketika orang lain hujung bulan mendapat gaji bulanan, saya belum tentu…

Itulah padahnya belajar daripada buku semata-mata (padan muka saya!).

Dari 6 Bisnes Menjadi Satu

Daripada bisnes kad pra-bayar, percetakan, membekal bahan bantu mengajar, konsultan latihan, menjual bunga, menjual dadih, hinggalah yang saya komited sehingga hari ini; bisnes takaful.

Pengalaman-pengalaman seperti jualan tidak laku, dimarahi pegawai keselamatan kerana tidak mempunyai lesen (ketika menjual bunga waktu konvokesyen), mengutip hutang lapuk, modal RM1,000 untung RM10, dan pelbagai lagi, betul-betul membuat saya hampir serik.

Mujurlah pembelajaran di “kampus kehidupan” mengajar saya erti tabah, jika tidak, tentu saya sekarang seorang peguam.

Dan ternyata bisnes dan kerjaya sebagai perunding takaful benar-benar mencabar minda, emosi, jasmani malah  rohani. Mana tidaknya, bisnes ini merupakan bisnes yang paling banyak penolakan atau rejection berbanding bisnes-bisnes lain di muka bumi ini.

Daripada sepuluh panggilan telefon yang dibuat, hanya lima sahaja yang sudi untuk menerima untuk diadakan temujanji. Daripada sepuluh temujanji, mungkin lima orang sahaja yang  menepatinya.

Daripada sepuluh orang yang ditemui, selalunya tiga sahaja yang menjadi pelanggan. Mujurlah pembelajaran di “kampus kehidupan” mengajar saya erti tabah, jika tidak, tentu saya sekarang seorang peguam.

Apapun, pelayaran ini masih jauh. Sekarang ini mungkin hanya suku palayaran hidup yang sudah saya tempuhi. Banyak lagi liku pelayaran hidup yang bakal menjengah tiba.

Saya tidak mampu untuk mengawal angin yang bertiup atau badai yang melanda dalam arus yang saya tempuhi ini, namun saya boleh mengawal arah layar dan dayungan kapal yang saya naiki.

Alhamdulillah, nasib saya tidaklah seteruk KassimSelamat.  

............................................................
Buku FIRE
Buku F.I.R.E - FINANCIAL INDEPENDENCE RETIRE EARLY
RM49.00
Harga termasuk kos penghantaran

www.BukuFIRE.com

4 Comments
  1. Avatar
  2. Avatar
  3. Avatar
  4. Avatar

Apa komen Saudara/anda tentang tulisan ini?

Recommended
Semalam saya mendengar Radio24 Bernama, dalam slot Destiny Auto berkenaan…