fbpx

Hukum Mempromosi Produk Insurans Konvensional dan Takaful Serentak

  • 6 years ago
  • 14Minutes
  • 2647Words
  • 727Views

Tulisan ini adalah dari http://e-muamalat.islam.gov.my/sites/default/files/jurnal_muamalat/2011/11/8_produk_insurans.pdf

Oleh: Ustaz Zarifi Daud

Industri insurans telah mula berkembang di Malaysia sejak sekian lamanya. Insurans telah dilihat sebagai sebuah instrumen yang penting untuk mengurus risiko kehidupan manusia. Dalam konteks Malaysia, terdapat dua konsep insurans yang dilaksanakan iaitu insurans konvensional dan insurans berteraskan Islam (takaful). Artikel ini akan membentangkan pendapat-pendapat fuqaha’ dalam menjawab persoalan hukum mempromosikan produk-produk insurans konvensional.

 

Pendahuluan

Isu berkaitan insurans konvensional telah mula dibincang oleh ahli-ahli Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan (MJKF) sejak tahun 1980- an lagi. Setelah diteliti, sebanyak tiga keputusan yang berkaitan insurans konvensional diputuskan oleh ahli-ahli MJKF iaitu seperti berikut:

 

i. Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan (MJKF) kali ke-16 yang bersidang pada 15-16 Februari 1979 telah membincangkan isu “Insurans Nyawa” dan telah bersetuju memutuskan seperti berikut: “Insurans nyawa sebagaimana yang dikendalikan oleh kebanyakan syarikat insurans yang ada pada hari ini adalah haram dan sebagai suatu muamalah yang fasad kerana aqadnya tidak sesuai dengan prinsip-prinsip Islam iaitu: a. mengandungi gharar (ketidak-tentuan), b. mengandungi unsur judi, dan c. mengandungi muamalah riba.”

ii. Sidang MJKF kali ke-80 pada 1-3 Februari 2008 ketika membincangkan “Hukum Insurans Am” telah bersepakat memutuskan bahawa:1 “Hukum ke atas Insurans Am adalah tidak diharuskan oleh Islam.”

iii. MJKF kali ke-76 pada 21-23 November 2006 pula telah membahaskan isu berkaitan “Hukum Ke atas Produk Investment Link Menurut Islam” dan telah bersetuju memutuskan bahawa:2 “Umat Islam hari ini mempunyai banyak alternatif untuk membeli atau melabur dalam produk-produk insurans yang berlandaskan syariah.”Oleh itu, pembelian produk-produk Investment Link yang ditawarkan oleh syarikat-syarikat insurans konvensional yang menggabungkan insurans konvensional dan pelaburan saham amanah dalam dana-dana yang tidak menepati syarak perlu dielakkan oleh umat Islam.”

 

Berpandukan kepada keputusan-keputusan yang dimuktamadkan oleh ahli-ahli MJKF dan beberapa fatwa daripada organisasi fatwa antarabangsa, dapatlah dirumuskan bahawa pendirian hukum terhadap insurans konvensional adalah jelas keharamannya mengikut kesepakatan para ulama kerana ia mempunyai elemen tidak patuh syariah iaitu riba, gharar dan maysir. Walaupun keputusan berkaitan insurans konvensional sudah jelas, masyarakat awam khususnya masih lagi membangkitkan apakah hukum mempromosikan produk-produk insurans konvensional.

 

Pandangan al-quran dan al-sunnah berkaitan muamalah Riba

Berdasarkan dalil-dalil daripadanya, al-Quran telah meletakkan pendirian yang sangat jelas dan tegas terhadap sebarang aktiviti dan amalan yang mempunyai unsur riba. Surah al- Baqarah, ayat 275 telah memberikan gambaran yang sangat buruk, kotor, jahat dan hina kepada pengamal riba, selain itu di dalam ayat tersebut, Allah SWT telah menghalalkan jual beli dan mengharamkan segala urusan yang melibatkan amalan riba:

Terjemahan: “Orang-orang yang memakan (mengambil) riba itu tidak dapat berdiri betul melainkan seperti berdirinya orang yang dirasuk syaitan dengan terhuyung-hayang kerana rasukan (syaitan) itu. Yang demikian ialah disebabkan mereka mengatakan: «Bahawa sesungguhnya berniaga itu sama sahaja seperti riba.» padahal Allah telah menghalalkan berjualbeli (berniaga) dan mengharamkan riba. Oleh itu sesiapa yang telah sampai kepadanya peringatan (larangan) dari Tuhannya lalu ia berhenti (dari mengambil riba), maka apa yang telah diambilnya dahulu (sebelum pengharaman itu) adalah menjadi haknya, dan perkaranya terserahlah kepada Allah. Dan sesiapa yang mengulangi lagi (perbuatan mengambil riba itu) maka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya.” (Surah al-Baqarah, (2):275)

Said bin Jubair ketika mentafsirkan ayat.

beliau telah menyatakan bahawa orang yang memakan riba akan dibangkitkan di akhirat nanti dalam keadaan gila dan dicekik. Ibn Abbas juga telah menggambarkan golongan tersebut akan dibangkitkan dalam keadaan terhoyong-hayang.

Pada masa yang sama, ayat seterusnya dalam surah telah menunjukkan bahawa Allah SWT telah menyatakan keharaman riba dan menolak pendirian melampau golongan kuffar yang sengaja menganggap riba itu adalah sama dengan perniagaan.

Keharaman muamalah riba tidak terhenti setakat itu sahaja, bahkan Allah SWT telah mengisytiharkan perang kepada pemakan- pemakan harta riba:

Terjemahan: “Wahai orang-orang yang beriman! bertaqwalah kamu kepada Allah dan tinggalkanlah (jangan menuntut lagi) saki baki riba (yang masih ada pada orang yang berhutang) itu, jika benar kamu orang- orang yang beriman.

Oleh itu, kalau kamu tidak juga melakukan (perintah mengenai larangan riba itu), maka ketahuilah kamu: akan adanya peperangan dari Allah dan Rasul-Nya, (akibatnya kamu tidak menemui selamat). dan jika kamu bertaubat, maka hak kamu (yang sebenarnya) ialah pokok asal harta kamu. (dengan yang demikian) kamu tidak berlaku zalim kepada sesiapa, dan kamu juga tidak dizalimi oleh sesiapa.” (Surah al-Baqarah, (2):278-279)

Ibn Abbas ketika mentafsirkan ayat ini telah menyatakan bahawa pada hari akhirat nanti, akan dikatakan kepada pemakan-pemakan riba, “Ambillah senjata kamu untuk berperang dengan Allah SWT”. Sementara itu, Qatadah ketika mentafsirkan ayat ini telah memberikan peringatan bahawa, “Allah akan menyediakan pemakan riba hukuman bunuh dan akan mendapatkannya dimana mereka berada”. Perkara yang sama juga ditafsirkan oleh al-Rabi’.

Nabi SAW juga telah menyebut perihal dosa amalan riba. Sebagai contoh dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, Nabi SAW telah melaknat pemakan harta riba dan seluruh yang terlibat dalam urusan tersebut:

Maksud : Daripada Jabir: Rasulullah SAW melaknat pemakan riba, pemberi wakilnya, pencatatnya dan dua saksinya. Nabi SAW bersabda: Semuanya sama-sama dilaknat.

Selain itu, sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari juga telah memberikan pedoman akan seruan Baginda Nabi SAW supaya menjauhi tujuh jenis dosa besar. Hadith daripada Abu Hurairah RA telah menyatakan:

Maksud: Jauhilah tujuh jenis dosa besar, bertanya mereka; Apakah itu Ya Rasulullah. Rasulullah menjawab: Syirik kepada Allah, sihir, membunuh tanpa hak, memakan riba, memakan harta anak yatim, lari dari medan peperangan kerana takut, dan menuduh wanita yang suci dengan zina (tanpa saksi).

Hadith riwayat al-Tabari daripada ‘Auf bin Malik telah menyatakan seperti berikut;

Maksud: Berhati-hatilah daripada dosa yang tidak diampun, iaitu khianat, sesiapa yang mengkhianati sesuatu (mengambilnya dengan cara yang tidak halal) dia akan dibawa bersamanya pada hari Kiamat. Dan makan riba, sesiapa makan riba nescaya dibangkit pada hari Kiamat dalam keadaan gila kerana rasukan syaitan.

 

Hukum bekerja dalam institusi yang berinteraksi dengan riba

Para sarjana Islam mempunyai sudut pandangan masing-masing apabila menjawab persoalan apakah hukum bekerja dalam institusi yang berinteraksi dengan amalan riba contohnya bekerja di bankbank konvensional, operator-operator insurans konvensional dan seumpamanya.

Dr. Monzer Kahf, seorang pakar Syariah semasa, apabila ditanya apakah menjadi haram jika bekerja dengan bank konvensional, beliau mengemukakan pandangan seperti berikut;

“Umum mengetahui bahawa faedah bank (interest) merupakan sejenis riba yang dilarang oleh shariah. Shariah juga mengharamkan seseorang itu memberinya, menerima atau mengambilnya, menulis kontraknya dan menjadi saksi atasnya. Maka, sebarang kerja yang memerlukan seorang Muslim untuk membuat kontrak riba, atau menjadi perantara untuk melakukannya seperti berunding dengan pelanggan, mendorong kontrak ditandatangani atau menandatangani bagi pihak bank dan kerja-kerja lain yang berkaitan secara langsung dengan membuat kontrak berasaskan riba yang berkaitan dengan simpanan atau pembiayaan dalam bank yang berasaskan riba adalah diharamkan”.

Pandangan hukum yang dikemukakan Dr. Monzer Khaf sebelum ini walau bagaimanapun diberikan pengecualian kepada mereka yang bekerja di bank dalam bahagian/cawangan yang tidak berinteraksi terus dengan riba. Petikan ijtihad beliau adalah seperti berikut;

“Terdapat banyak kerja dalam bank yang tidak berkaitan secara langsung dengan Riba seperti pengawal keselamatan, juruwang, kewangan, penyelidik, pengendali bangunan dan mesin, dan sebagainya.”

Dr. Monzer Khaf telah menyandarkan pendirian beliau ini dengan pendapat Sheikh Muhammad al-Siddiq al-Darir dari Sudan dan Sheikh Muhammad al-Mukhtar al-Sallami dari Tunisia yang berpendapat bahawa pekerjaan seperti itu adalah tidak termasuk dalam larangan itu. Bagaimanapun, mereka berpendapat yang kerja yang menyokong operasi berasaskan riba adalah haram.

Dr. Monzer Kahf juga telah disoal “Apakah syariah memberikan keizinan untuk bekerja di bank konvensional di bahagian atau seksyen Teknologi Maklumat?” Beliau menjawab secara konsisten dengan ijtihad beliau sebelum ini iaitu dalam kes yang hampir sama, Beliau menyatakan adalah tidak menjadi masalah untuk bekerja di mana- mana bahagian di bank konvensional selagi mana tidak terlibat dalam penyediaan dokumen kontrak riba atau menandatangani kontrak bagi pihak bank.

Beliau telah menyatakan pandangan ini yang juga dipelopori oleh Sheikh Mustafa al- Zarqa’, Sheikh Yusuf al-Qaradhawi, Sheikh as-Sallami dan juga Sheikh al-Dharir. Beliau juga menambah bahawa pandangan beliau ini adalah berhujahkan kepada hadith Nabi SAW yang telah diriwayatkan oleh Imam Muslim.

Sheikh Prof. Abdul Sattar Fathallah as-Saeed, seorang profesor Tafsir dan Ulum Quran, Universiti al-Azhar pula apabila diajukan soalan oleh seorang Muslim yang bekerja di jabatan IT di Amerika Syarikat, “Apakah kerjaya yang diceburinya halal?”, Sheikh Prof. Abdul Sattar menjawab seperti berikut:

“Kita ingin menjelaskan dua perkara penting. Pertamanya, sistem ekonomi biasanya berkaitan dengan Riba. Jika anda terpaksa bekerja dalam bidang ini, maka tiada salahnya, dan anda dimaafkan kerana berbuat demikian. Bagaimanapun, anda mesti bertaubat kepada Allah, dan memohon Allah mengampuni anda semasa anda sedang berusaha keras mencari kerja halal lain. Keduanya, jika anda terlibat secara langsung berurusan dengan Riba, dan ia adalah kerja dan cara mencari rezeki anda, maka anda tidak dibenarkan membuat pekerjaan tersebut.”

Sementara itu, Sheikh Prof. Abdul Sattar juga memberikan penegasan bahawa;

“Bekerja dengan bank berasaskan riba bukanlah pilihan kerja biasa bagi seseorang Muslim. Anda dibenarkan untuk menceburi bidang itu jika hanya anda dapati teramatlah sukar untuk mencari kerja yang halal untuk mencari rezeki. Anda mesti meninggalkan kerja ini pada ketika anda menemui kerja yang lebih sesuai.’’

Sheikh Prof. Dr. Yusuf al-Qaradhawi di dalam masalah yang sama dalam huraian yang panjang telah mengemukakan bahawa bekerja di bank adalah dibenarkan selagi mana tidak berinteraksi secara terus dengan kontrak riba.

Fatwa Mufti Kerajaan Brunei Darussalam berkaitan hukum bekerja di bank konvensional telah menyatakan ayat-ayat Allah dan sunnah Nabi SAW yang menyatakan keharaman riba. Walaubagaimanapun fatwa menyebut;

“… sementara pintu-pintu pekerjaan yang jelas halal belum dapat disediakan dengan kadar yang mencukupi dan institusiinstitusi kewangan Islam belum dibuka dengan menyeluruh, maka menjadi rukhshah bagi orang Islam bekerja di bankbank biasa (konvensional) dalam batas dan keadaan-keadaan tertentu sahaja. Bagaimanapun, orang Islam yang bekerja di bank konvensional ini jika dia mampu untuk mendapatkan pekerjaan lain bagi menyara hidupnya dan keluarganya, atau dia lebih wara’ atau lebih tawakkal dengan pekerjaan yang lain itu, maka memadailah dia pekerjaan itu, bukannya di bank riba supaya dia terselamat dia daripada perkara- perkara syubhah atau haram”.1

Fatwa Lajnah al-Daimah lil Buhuth al-Ilmiah wa al-ifta’ pula mempunyai pendirian yang agak tegas dalam masalah ini apabila telah mengeluarkan pandangan bahawa akauntan di bank ribawi juga termasuk dalam maksud hadith Nabi SAW riwayat Muslim yang menyatakan laknat kepada pemakan riba.

 

Analisa ringkas berkaitan pandangan sarjana Islam

Berpandukan kepada pandangan ahli-ahli sarjana Islam semasa, mereka dilihat bersepakat mengatakan bahawa sebarang pekerjaan yang berurusan secara terus dengan kontrak riba adalah haram kerana termasuk dalam larangan Nabi SAW yang membawa kepada laknat.

Para sarjana Islam hanyalah berselisih pandangan sama ada mahu mengumumkan larangan Nabi SAW tersebut dengan lebih luas iaitu tidak sekadar kepada mereka yang berinteraksi dengan kontrak riba sahaja, bahkan semua yang terlibat secara langsung atau pun tidak langsung tetap menerima laknat daripada Nabi kerana menyokong dan bersekongkol dalam sistem riba.

 

Kaedah kuliyyah

Ijtihad para sarjana Islam dalam menghukumkan keharaman pekerjaan yang bersangkutan dengan amalan riba seperti di sektor ribawi adalah bertepatan dengan kaedah kuliyyah yang menyebut :

ما حرم أخذه حرم إعطأوه

Maksud: “Sesuatu yang haram menerimanya juga diharamkan memberinya.”

Dalam erti kata lain, kaedah ini membawa maksud apa sahaja perkara haram diambil atau mengambilnya, haram juga hukumnya jika diberikan kepada orang lain. Ia juga dapat difahami bahawa illahnya akan membantu atau menolong kepada perbuatan yang diharamkan.

Hal ini juga adalah mengikut kehendak firman Allah SWT dalam surah al-Maidah ayat 2:

Terjemahannya: “ …dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. dan bertaqwalah kepada Allah, kerana Sesungguhnya Allah Maha berat azab seksa-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintah-Nya).” (Surah al-Maidah, (4):2)

 

Hukum mempromosikan produk insurans konvensional

Dalam kes ini, iaitu mempromosi produk-produk insurans konvensional, para ejen sememangnya bertugas untuk memasarkan produk-produk konvensional yang telah diputuskan haram secara sepakat. Maka dengan sebab itu, hadith Nabi SAW jelas melarang umat Islam daripada terlibat dengan urusan dan perniagaan ribawi seperti yang dilaporkan Imam Muslim ia dikira terpakai dalam konteks ini. Hadith yang dimaksudkan adalah seperti berikut:

َ Maksud: “Walau bagaimanapun, bagi pekerja-pekerja yang tidak berurusan secara langsung dengan kontrak dan perniagaan riba, mengikut pandangan beberapa ulama’ seperti yang disebut di atas, pekerjapekerja tersebut tidaklah dihukum mengikut hadith Nabi ini.”

Dalam pada masa yang sama ada juga pandangan yang berpendapat selagi mana seseorang Muslim itu bekerja di bawah “bumbung” institusi yang mengamalkan sistem riba, pekerjaan mereka adalah ditegah kerana menyokong sistem yang dicela oleh Allah itu. Hujah yang diberikan adalah berdasarkan keumuman ayat Allah SWT dalam surah al-Maidah ayat 2.

 

Resolusi Muzakarah Pakar Takaful Pertama

Muzakarah Pakar Takaful17 Tahun 200618 telah membincangkan isu “Seseorang ejen memasarkan produk takaful dan juga insurans konvensional” telah bersetuju mengambil ketetapan seperti berikut:

  1. Ejen takaful sama sekali tidak dibenarkan untuk memasarkan produk insurans konvensional.
  2. Ejen insurans konvensional yang ada keinginan untuk memasarkan produk takaful dibolehkan kepada mereka untuk memasarkan produk insurans konvensional untuk tempoh masa tertentu sahaja (grace period). Tempoh ini disebut sebagai tempoh peralihan kepada mereka dan apabila tempoh tersebut tamat, maka mereka perlulah berhijrah sepenuhnya kepada takaful.

 

Statistik jumlah ejen insurans konvensional dan takaful tahun 2009

Mengikut laporan tahunan industri insurans konvensional dan takaful bagi tahun 2009 yang telah dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia,19 telah menunjukkan jumlah ejen bagi kedua-dua sektor. Dalam sektor insurans konvensional, sejumlah 80,078 orang ejen produk insurans hayat, dan sejumlah 35,930 orang ejen produk insurans am yang berdaftar.20 Manakala, dalam sektor takaful pula telah tercatat ejen produk takaful keluarga adalah berjumlah 55,898 orang, manakala seramai 32,997 orang ialah ejen skim-skim takaful am.

Sungguhpun angka tersebut tidak mengklasifikasikan berapa ramai jumlah ejen Muslim dan non-muslim, akan tetapi statistik yang diperakukan oleh Bank Negara Malaysia ini telah menunjukkan jumlah ejen insurans konvensional masih mendominasi pasaran semasa industri iaitu secara keseluruhannya mempunyai 116,008 orang yang merangkumi ejen insurans hayat dan insurans am. Manakala sektor takaful pula mencatatkan jumlah keseluruhan ejen ialah 88,895 orang dan ia juga merangkumi ejen produk takaful keluarga dan takaful am. Statistik tahun 2009 ini telah menunjukkan jumlah ejen insurans konvensional masih mengatasi jumlah ejen takaful sebanyak 27,113 orang.

Angka di atas juga memberi gambaran bahawa peluang pekerjaan dalam sektor takaful sebagai ejen takaful amatlah besar untuk ditembusi dan sangat memerlukan sokongan daripada umat Islam khususnya dalam memartabatkan sistem muamalat Islam dan meruntuhkan sistem ribawi.

Berpandukan kepada input yang dikemukakan ini dapatlah dirumuskan perkara-perkara seperti berikut;

  • Dalil al-Quran, as-Sunnah dan ijma’ telah menunjukkan dengan jelas keharaman amalan riba.
  • Insurans konvensional merupakan aktiviti perniagaan yang diharamkan secara sepakat oleh para ulama’ kerana ia mengandungi unsur tidak patuh syariah.
  • Para sarjana Islam dilihat sepakat mengatakan sebarang pekerjaan yang berinteraksi secara terus dengan kontrak riba adalah dilarang dan ditegah; ia berhujahkan kepada hadith Nabi SAW riwayat Muslim yang melaknat pemakan riba, pewakil riba dan saksi riba. Mereka berpendapat kerja mempromosikan produk insurans konvensional merupakan salah satu kerja yang berkaitan kontrak riba.
  • Walau bagaimanapun, para sarjana Islam hanya berselisih pendapat apabila mahu meluaskan lagi maksud hadith Nabi SAW riwayat Muslim tersebut.
  • Kaedah kuliyyah yang menyebut “sesuatu perkara yang haram menerimanya adalah haram memberinya” juga menyokong premis keputusan para sarjana Islam yang mengharamkan kerja-kerja yang berurusan terus dengan riba.
  • Industri takaful khususnya Malaysia masih lagi berada sedikit ke belakang jika dibandingkan dengan industri insurans konvensional yang telah lama bertapak. Statistik perbandingan jumlah ejen di kedua-dua sektor yang dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia boleh dijadikan panduan dalam isu ini.

 

Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan

Ahli-ahli Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan telah membincangkan “Hukum Mempromosikan Produk Insurans Konvensional Menurut Perspektif Syariah” dalam sidangnya kali ke-89 pada 14-16 Disember 2009 telah bersetuju memutuskan ketetapan seperti berikut;

“Muzakarah berpandangan bahawa sistem takaful berlandaskan syariah sedang pesat berkembang dan memerlukan sokongan umat Islam dalam usaha untuk memartabatkan sistem muamalat Islam. Sehubungan itu, Muzakarah memutuskan bahawa orang Islam adalah dilarang mempromosikan produk insurans konvensional yang jelas berasaskan sistem riba. Walau bagaimanapun, pendapatan atau komisyen yang diterima dalam proses transisi dari sistem konvensional kepada takaful adalah dimaafkan.”

 

Penutup

Seharusnya keputusan yang telah dipersetujui oleh ahli-ahli Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan ini telah memuktamadkan hukum mempromosikan produk-produk insurans konvensional. Justeru, dalam konteks Malaysia, adalah menjadi tanggungjawab kepada seluruh umat Islam untuk menjadi keputusan rasmi ini sebagai panduan dan juga pegangan.

Keputusan tersebut juga amat jelas dan sepatutnya dijadikan asas keazaman yang kuat kepada umat Islam untuk terus bersatu mendokong dan menyokong sistem muamalat Islam khususnya industri takaful. Tidak setakat menjadi pengguna, sebaliknya juga menjadi jentera menyebarluaskan industri takaful untuk mendominasi industri perlindungan risiko di Malaysia.

 

Oleh:

MOHAMAD ZARIFI BIN MOHAMAD DAUD

Rujuk:

Click to access 8_produk_insurans.pdf

Hukum Mempromosi Produk Insurans Konvensional dan Takaful Serentak

............................................................
Buku FIRE
Buku F.I.R.E - FINANCIAL INDEPENDENCE RETIRE EARLY
RM49.00
Harga termasuk kos penghantaran

www.BukuFIRE.com

Apa komen Saudara/anda tentang tulisan ini?

Recommended
Tulisan ini dipetik dari Harian Metro, Januari 2011 tulisan bertajuk…