fbpx

Kami Bukan Keldai Agama – Luahan Bapa Pelajar Tahfiz

  • 7 years ago
  • 7Minutes
  • 1335Words
  • 328Views

Pagi tadi menghantar anak-anak syurga ke sekolah mereka, meneruskan rutin yg saya tinggalkan lebih 44 hari selama saya berada di Tanah Suci.

Entah kenapa pagi ini agak sebak ketika mengiringi mereka sambil melihat infra yg ada di sekolah Maahad Tahfiz ini.

Saya peluk dan cium mereka kemas-kemas sebelum melepaskan mereka ke sekolah. Bohonglah kalau saya tak terkesan langsung dengan peristiwa kebakaran Maahad Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah tempoh hari.

Terkenang masa mula-mula datang ke sekolah ini 7 tahun lalu untuk tinjauan.

“Abang, betul ke kita nak hantar anak kita ke sini?”, saya masih ingat lagi pertanyaan isteri ketika meninjau-ninjau sekolah ini dahulu.

“InsyaAllah. Mudah-mudahan ada barakah di sini. Kita serah selebihnya kepada Allah”, balas saya.

“Andai kata tidak memuaskan, kita tukarkan ke sekolah lain”, tambah saya, memujuk. Saya faham kerisauan dan naluri seorang ibu.

Sedar tak sedar, sudah 6 tahun berlalu dan 3 orang anak sedang bersekolah di sini.

6-7 tahun lalu, ada kelas di sekolah ini didirikan dari sebuah kontena. Ya, sebuah kontena. Keadaan sangat dhaif.

Dari kelas di kontena dan menumpang teduh di rumah orang, sekarang sekolah sudah ada bangunan 3-4 tingkat sendiri hasil sumbangan orang ramai. Semoga Allah merahmati usaha pendokong dan penyumbang pusat tahfiz ini.

Jika diambil pendapat beberapa netizen tempoh hari, mungkin saya dianggap sebagai bapa yg menjadikan anak-anak sebagai “keldai agama” kerana menghantar anak ke sekolah tahfiz bagi mendapat jalan short cut ke syurga.

7 tahun yg lalu, saya sangat berhati-hati utk membuat keputusan menghantar anak sulung ke sekolah rendah, kesinambungan daripada pra-sekolah PASTI.

Tinjauan pertama ialah beberapa sekolah yg berdekatan dengan rumah. Kebetulan berdekatan dengan rumah saya, ada 4 buah sekolah termasuk sekolah rendah kebangsaan, sekolah menengah kebangsaan dan sekolah rendah jenis kebangsaan Cina.

Kesemuanya dlm jarak tidak sampai 1km dari rumah. Sangat mudah utk hantar dan ambil.

Ada juga terfikir utk menghantar ke SRJKC namun pra-syarat bagi kaum bukan Cina adalah mempunyai asas bahasa Cina daripada pra-sekolah.

Kemudian, pilihan utk menghantar ke sekolah kebangsaan pula terpaksa diletakkan dalam senarai paling akhir apabila saya mengenangkan pengalaman hampir setiap hari melihat para pelajar berpakaian sekolah berpeleseran dan menghisap rokok di kawasan perumahan yang saya tinggal.

Bukan mudah utk membuat pilihan dengan pertimbangan dari aspek jarak, kos dan yg paling penting silibus pengajian, sebelum akhir sekali memilih sekolah ini.

Sekolah ini sangat terpencil di pinggiran hiruk pikuk bandar malah saya sendiri terkejut mendapati ada sekolah di sini. Ia langsung tidak ada dlm pilihan saya pada awalnya kerana ia tidak begitu dikenali.

Selepas 7 tahun membuat keputusan, Allah menunjukkan sesuatu apabila bulan lalu viral senarai sekolah-sekolah bermasalah di seluruh negara, dan antaranya adalah sekolah tadi.

Mengucap panjang saya melihat senarai dalam surat oleh Polis di-Raja Malaysia dgn tajuk “Sekolah Hotspot” yg diikuti 8 mukasurat senarai panjang sekolah-sekolah yg dimaksudkan di seluruh negara.

Juga ada beberapa sekolah yg tidak jauh dari tahfiz ini dlm senarai itu.

Insiden kebakaran Tahfiz Quran Ittifaqiyah tempoh hari benar-benar meruntun hati dan sanubari kami selaku ibu bapa anak-anak sekolah tahfiz yg sebaya anak-anak tahfiz yg terkorban.

Tambah meruntun apabila membaca komen-komen negatif terhadap sekolah tahfiz oleh netizen malah juga dari VIP, selebriti, dan tokoh agama.

Ibu bapa mana yg rela anak-anak mereka pergi dlm keadaan begitu rupa. Sebagaimana tidak ada ibu bapa yg redha anak-anak mereka menjadi penagih ganja hingga hilang pertimbangan membakar tahfiz.

Sejujurnya, ketika menghantar anak sulung bersekolah di sini, langsung saya tidak terfikir tentang aspek keselamatan kebakaran.

Sangat naif ketika itu. Pada usia kurang dari 30 tahun, apa yg saya fikirkan ialah, ialah;

“Aku perlu bekerja keras utk memastikan aku mampu membayar yuran anak-anakku yg akan bersekolah di sini”.

Ia menjadi motivasi terbesar saya dalam kerjaya iaitu utk menyediakan pendidikan berkualiti utk anak-anak dari pra sekolah ke menara gading.

Jika dikira-kira kos pendidikan total 5 orang anak hingga bergelar graduan, dgn tanggungan sendiri, bukanlah satu jumlah yg kecil. Ia boleh mencecah angka satu juta ringgit apabila dicampur faktor inflasi, kos pengajian, bahan pengajian, tempat tinggal, dan sara hidup.

Sekarang sudah ada 3 orang anak yg bersekolah di sini, kosnya mencecah 4 angka sebulan, dan akan bertambah lagi tahun hadapan.

Ia merupakan pelaburan jangka masa panjang utk menjadikan anak-anak ini sebagai aset di hari kemudian. Bukan sebagai tiket ke syurga tapi mengharap doa anak-anak yg solehah. Tidak lebih dari itu.

Saya pun tahu bahawa hadith yg mengatakan seorang Hafiz Quran dapat memberi syafaat kepada 10 ahli keluarga ke syurga adalah hadith yg dhaif. Bukan itu sandaran saya apabila menghantar mereka ke sekolah tahfiz.

Tapi ia atas dasar inginkan anak yg soleh solehah. Dalam suasana hidup di tengah-tengah kotaraya Metropolitan Kuala Lumpur ini, saya menjadi kurang keyakinan utk menghantar anak ke sekolah aliran perdana pada usia sekecil itu.

Usia muda perlu diberikan asas dan pasak agama yg kukuh agar tidak mudah terpengaruh dengan budaya negatif dalam arus perdana apabila menginjak remaja.

Mudah-mudahan anak-anak ini dapat memandikan, mengkafankan, mengsolatkan dan mengiringi jenazah saya ke liang lahad apabila saya pergi kelak. Seterusnya doa mereka selepas saya disemadikan.

Suka atau tidak suka, hakikat yg perlu kita akui ada sesuatu yg tidak kena dalam sistem pendidikan kita.

Statistik dan berita tentang salah laku juvenil, anak luar nikah, gangsterisme remaja, pusat pemulihan akhlak dan sebagainya tidak boleh dipandang enteng.

Lantaran itu pendidikan alternatif terutama dari kalangan Maahad Tahfiz menjadi pilihan ibu bapa. Dan tidak dapat dinafikan memang majoritinya dhaif dan serba kekurangan jika dibandingkan dengan sistem persekolahan arus perdana. Malah perlu bayar dengan yuran yg lebih tinggi berbanding sekolah bantuan penuh kerajaan dengan infra penuh.

Alangkah bagusnya jika kerajaan dapat menyediakan infrastruktur yg sama utk sekolah-sekolah sebegini. Atau paling kurang, wujudkan sekolah aliran sebegini dgn bantuan penuh kerajaan dgn gabungjalin silibus akademik, silibus tahfiz dan silibus agama.

Di sekolah ini, pengusahanya bukan berorientasikan keuntungan. Jumlah pelajar yg diambil adalah sangat minima. Temuduga dijalankan terlebih dahulu sebelum diterima masuk.

Saban tahun, akan keluar senarai pelajar yg masih gagal membayar yuran bulanan tapi masih dikekalkan utk teruskan pengajian. Hanya tidak dibenarkan menduduki peperiksaan.

Hanya jika ada yg tidak mencapai target minima pengajian terutama hafazan, barulah akan diminta kepada ibu bapa utk ditukar ke sekolah lain sekalipun mampu membayar yuran.

Setiap akhir tahun, hati ini akan berdebar-debar sama ada anak dapat teruskan pengajian tahun hadapan atau pun tidak, kerana selain faktor pencapaian diambil kira, faktor disiplin anak dan komitmen ibu bapa turut diambil sebagai penilaian.

Yg menjadikan saya bertambah yakin menghantar anak-anak ke sini ialah pengetuanya sendiri tinggal di dalam kawasan sekolah dan anak-anak mereka sendiri sekolah di situ.

Hati kecil saya meyakini bahawa pengetua akan menjaga anak saya sama dengan anaknya sendiri walaupun hakikatnya pastinya berbeza anak sendiri dengan anak murid.

Ada hikmahnya atas tragedi yg berlaku. Masyarakat mula membuka mata terhadap institusi tahfiz. Ia perlu dibantu dan diperkasa. Bukan utk diperlekehkan dan diejek sebagai penunggang agama.

Jika ada petualang yg mengambil kesempatan atas nama tahfiz, ia perlu dibasmi. Jangan sampai disebabkan nila setitik, rosak susu sebelanga.

Selain anak-anak tahfiz yg perlukan perhatian kita, anak-anak ganja yg membakar tahfiz itu pun perlu perhatian juga.

Cukuplah kesilapan kita menyalahkan pengetua tahfiz tempoh hari kononnya kebakaran berpunca kecuaiannya menyediakan infrastruktur yg selamat.

Cukuplah kita menghentam ibu bapa anak-anak tahfiz ini sebagai keldai agama kerana dikatakan mengambil kesempatan ke atas anak sendiri.

Ya, memang perbuatan mereka membakar sehingga menyebabkan kematian adalah perbuatan yg salah. Biar pihak berkuasa menjatuhkan hukuman setimpal.

Percayalah, anak-anak ganja itu tidak akan jadi lebih baik dengan kita memaki hamun mereka. Kita pun tidak tahu apa latar belakang keluarga mereka. Entakkan berumah entahkan tidak. Entahkan bersekolah entahkan tidak.

Bukan pinta mereka utk menjadi anak-anak ganja. Kebanyakannya lahir dalam keluarga yg huru-hara dek desakan ekonomi yg menggila.

Allah tarik anak-anak tahfiz muda, dan tinggalkan kita anak-anak ganja ini utk kita tangani bersama. Mereka hanya segelintir dari ratusan malah mungkin ribuan yg ada di seluruh negara.

Kebakaran ini hanya sedikit amaran Allah turunkan kepada kita sebelum kebakaran besar di hari kemudian kelak.

“Kakak, lepas UPSR nanti Ayah nak hantar Kakak sekolah lain nak?”, pernah saya menduga anak sulung saya.

“Kakak nak sekolah sini. Sini best!”, balasnya.

Saya hanya tersenyum. Moga dia best di dunia dan best di akhirat.

Afyan Mat Rawi,
18.09.2017
Gombak, Selangor.

www.afyan.com

Update 21 Sept: Nak tahu sekolah mana? Klikhttps://www.facebook.com/afyan.ikhlas/posts/10213517558524057

............................................................
Buku FIRE
Buku F.I.R.E - FINANCIAL INDEPENDENCE RETIRE EARLY
RM49.00
Harga termasuk kos penghantaran

www.BukuFIRE.com

Apa komen Saudara/anda tentang tulisan ini?

Recommended
Tahniah diucapkan buat rakan-rakan perunding INFAQ dari #TeamTakaful dan #TeamInvestment yang mendapat pencapaian terbaik…