Kemana Arah Tuju Mereka

Gambar sekadar hiasan

Sejak beberapa bulan lepas, saya ditag pada sebuah status yang mengatakan bahawa takaful itu haram, sama macam insurans konvensional.

Penulisnya yang sama juga mengatakan bahawa perbankan Islam sama sahaja dengan perbankan konvensional.

Jadi memang sengaja saya tak komen sebab malas nak popularkan orang sebegitu. Selepas 4 bulan baru saya berikan respon itu pun selepas ramai pula yang tag saya di ruangan komen.

Sementelah, saya berpengalaman berhadapan dengan golongan sebegini sejak begitu lama. Seingat saya pada zaman Tok Belagak dan golongan sebeginilah yang beria mempromosi emas sebagai matawang dan mengatakan wang kertas haram.

Tambah pelik, mereka kata wang kertas haram, tapi jual emas guna wang kertas?

Apabila disemak latar belakang, tiada sangat pun mengaji dalam bidang muamalat. Dan nama yang paling mereka suka petik ialah Sheikh Imran.

Mereka akan petik nama-nama ulama yang menolak sistem kewangan Islam, perbankan Islam dan takaful.

 

Saya tak tahu hendak dibawa ke mana perjuangan mereka. Saya pernah cadangkan 2 perkara kepada mereka untuk membuktikan perjuangan mereka:

1. Kumpulkan alim ulama mereka di Malaysia, buat satu kertas kerja dan bentang kepada Majlis Fatwa Kebangsaan. Buat seminar dan jemput orang lain datang untuk bahaskan.

2. Usahakan wujudkan organisasi alternatif yang menyediakan perkhidmatan kewangan tanpa riba mengikut pemahaman mereka. Kumpulkan wang, tubuhkan koperasi dan tawarkan pinjaman tanpa riba. Saya nak jadi pelanggan pertama.

 

Sampai sekarang hanya sekadar sembang dan gebang sahaja. Paling jauh mereka buat pun, group jual beli emas dan masih guna wang kertas yang mereka anggap sebagai riba.

Tak dapat dinafikan memang ada minoriti ulama dunia yang mengatakan wang kertas sebagai riba, perbankan Islam riba dan takaful pun riba.

Saya menghormati pendapat alim ulama ini dan mereka memang hidup jauh daripada arus perdana dan lari daripada keduniaan. Apatah lagi mempromosi dan berniaga emas. Mereka menolak bersungguh-sungguh tanpa ambil kesempatan.

Bukan macam geng promote mata wang emas tapi guna wang kertas.

“Jadi, boleh ke pilih pendapat minoriti?”

Beginilah Tuan-Puan, saya buat perbandingan mudah. Baca seterusnya.

 

Untuk makluman, tahukah anda makan babi pun ada khilaf.

Terkejut? Jangan terkejut lagi. Apatah lagi melatah. Baca sampai habis.

Pernah dengar tak Mazhab Zahiri? Mazhab ini diiktiraf sebagai salah satu Mazhab Fiqh dalam Ahli Sunnah Wal-Jamaah.

Mazhab Zahiri disandarkan kepada Imam Dawud Az-Zahiri. Beliau anak murid kepada Imam Syafi’e dan Imam Hambali.

Antara pendekatan yang dilihat aneh mazhab ini ialah mengambil ayat Quran dan Hadith berdasarkan maksud zahir sahaja, sebab itu dipanggil sebagai Mazhab Zahiri. Ia menolak kaedah qiyas dan takwil ayat Quran.

Dalam hukum memakan babi, ayat Quran menyebut larangan makan daging babi. Ia jelas memang daging babi adalah haram.

Namun bagaimana dengan lemak babi? Tidak ada ayat Quran dan hadith sebut haram makan lemak babi. Berdasarkan pendekatan mazhab ini, lemak babi tidak termasuk dalam larangan memakan daging babi dalam Quran.

Walaupun pendapat tersebut ditolak oleh jumhur ulama, namun pendapat fiqh Imam Zahiri diiktiraf sebagai salah satu cabang ilmu usul fiqh dan dibahaskan oleh ulama terkemudian. Antaranya dalam kitab Al Wajiz Fil Usul Fiqh, oleh Dr Abdul Karim Zaidan.

Fuhhhh… Kalau anda baca sehingga ke perenggan ini, tahniah saya ucapkan.

Saya sengaja bawa contoh yang ekstrim seperti babi untuk mudah nak fahamkan pembaca.

Adakah dengan wujudnya pendapat minoriti sebegitu, kita boleh bermudah-mudah dalam membuat hukum?

Cuba bayangkan tiba-tiba ada satu puak liberal membawa perjuangan menghalalkan makan lemak babi? Siap buka restoran yang menyediakan lemak babi grill. Atau siap ada menu lemak babi masak lemak.

Cuba bayangkan jika ia berlaku di Malaysia dan mereka membawa hujah Imam Dawud Az-Zahiri? Dan mereka gunakan petikan-petikan dari kitab-kitab fiqh yang menyebut berkenaan hal ini.

Tak ke haru satu Malaysia?

Itulah ibaratnya geng-geng yang membawa naratif wang kertas riba, perbankan Islam riba, takaful riba. Apa matlamat mereka sebenarnya?

Kita di Malaysia ada alim ulama, agamawan dan Majlis Fatwa Kebangsaan. Hormatilah pendapat mereka, sekalipun ia tidak selari dengan pandangan, pendapat dan nafsu kita.

Saya yakin Majlis Fatwa Kebangsaan dengan sokongan dan dokongan para alim ulama, agamawan, cedekiawan dan para ahli akademik di Malaysia sudah menjalankan tugas mereka dengan sebaiknya mengeluarkan sebarang hukum.

Takkanlah dengan pendapat seorang dua pakar FB, terus kita tolak pendapat mereka semua?

KOMEN | LIKE | SHARE | FOLLOW Afyan Mat Rawi
Join Telegram utk ilmu kewangan PERCUMA

Ramai ke baca sampai habis?

 

Sumber dari Afyan Mat Rawi

WP2Social Auto Publish Powered By : XYZScripts.com