fbpx

“Kita Tak Boleh Memilih Cara Kita Mati. Tapi Kita Boleh Memilih Cara Kita Hidup.”

  • 5 years ago
  • 3Minutes
  • 459Words
  • 604Views


“Kita tak boleh memilih cara kita mati. Tapi kita boleh memilih cara kita hidup.”

Saya tak ingat ini kata-kata siap. Tapi apabila membaca kisah “Kematian Luar Biasa” oleh Tuan Faisal Mustaffa, saya tiba-tiba teringatkannya.

Kisah berkenaan Ustaz Ku Yaacob Ku Hashim yang meninggal dunia ketika menyampaikan khutbah sangat menginspirasikan.

Bukan calang-calang manusia yang Allah pilih menghadap-Nya dalam keadaan yang begitu mulia.

Meninggal dunia ketika berkhutbah! Boleh dibilang dengan jari mereka yang meninggal dunia dalam keadaan begitu di seluruh dunia.

Sudah tentu ia kematian yang sangat dicemburui kita semua yang masih hidup.

Satu penamatan hidup dan cara mati yang baik ditentukan Allah ke atas ustaz tersebut.

Berkali-kali saya menonton video ini, saat-saat kematian beliau jatuh ketika menyampaikan khutbah selepas memberi pesanan supaya para jemaah bertaqwa, “ittaqullah”.

Mati dalam keadaan begitu sempurna, di dalam tempat yang begitu mulia di dalam masjid dengan keadaan berwuduk, membaca Quran, lengkap dengan syahadah, menutup aurat, disaksikan oleh ribuan jemaah – satu kematian yang sanagt dicemburui.

Posting asal video ini  disini penuh dengan puji-pujian ke atas beliau.

Ketika hidupnya, dikenali oleh anak-anak muridnya tapi ketika mati dikenali oleh ramai makhluk bumi dan makhluk langit.

Yang menentukan cara mati sebegitu bukanlah diri ustaz itu, tetapi Allah. Tapi cara hidup Ustaz itulah yang membawa kepada cara kematian begitu.

Mana mungkin orang yang tidak pernah memberi khutbah, mati dalam keadaan berkhutbah.

Ada yang lebih besar dan penting daripada cara mati, iaitu cara hidup.

Kita tak mampu untuk memilih cara mati, tapi kita ada peluang yang sangat luas untuk memilih cara hidup.

Ada orang berharap agar mati di bulan Ramadhan, mati di dalam masjid dan sebagainya. Namun cara mati, tidak akan sekali-kali menentukan cara dibangkitkan kembali kelak.

Sebetulnya, cara hidup akan menentukan cara mati, dan cara mati akan menentukan cara dibangkitkan kembali, dan cara dibangkitkan kembali akan menentukan syurga dan neraka.

Ustaz Ku Yaacob amat bertuah, dikhabarkan hidupnya dari muda sehingga tua dipenuhi dengan aktiviti dakwah dan tarbiah. Mati pun ketika berkhutbah yang juga sebahagian daripada cara dakwah.

Sebab itu Nabi pernah menyebut yang bermaksud bahawa sebaik-sebaik manusia adalah mereka yang sentiasa mengingati mati.

Manakala Saidina Ali pernah menyebut; Berkerjalah seolah-olah kamu akan hidup selama-lamanya, dan beribadatlah kamu seolah-olah akan mati esok.

Orang yang sentiasa mengingati mati akan sentiasa menyediakan diri melakukan perkara terbaik setiap masa.

Tidak kira waktu bekerja, waktu berehat, waktu berFB, waktu makan, waktu tidur, waktu memandu dan sebagainya?

Bayangkan kita mati ketika sedang update status firnah guna akaun FB palsu?

Cara mati ditentukan dengan cara hidup. Mana mungkin orang yang tidak pernah berkhutbah, akan mati dalam keadaan berkhutbah?

Kita tidak boleh memilih cara mati kita, tapi kita boleh memilih cara hidup kita.

Muhasabah untuk diri sendiri.

Tak pernah sekalipun menyampaikan khutbah, jangan mimpi untuk mati ketika berkhutbah.

 

 

 

Sumber dari FB Afyan Mat Rawi

............................................................
Buku FIRE
Buku F.I.R.E - FINANCIAL INDEPENDENCE RETIRE EARLY
RM49.00
Harga termasuk kos penghantaran

www.BukuFIRE.com

Apa komen Saudara/anda tentang tulisan ini?

Recommended
hidup apa yang kita pilih Hidup adalah apa yang kita…