Menipu Allah Dengan Perbankan Islam

Saya tertarik isu yang dikemukakan oleh PPIM berkenaan isu Perbankan Islam Zalim.

Kata mereka “Menipu Allah Dengan Perbankan Islam”.

Sudah banyak kali Toqqi dan PPIM membawa isu ini dan semalam mereka adakan live video. Boleh layari FB mereka utk ikuti perkara tersebut.

Satu sudut, ada bagusnya juga PPIM dedahkan perkara itu supaya pengguna sedar tentang beberapa perkara yang pernah berlaku dalam urusniaga perbankan Islam.

Namun ia adalah satu tuduhan yang berat. Sementelah PPIM sendiri pernah terpalit beberapa isu negatif juga seperti mengiktiraf pengamal perubatan yang menggunakan gelaran palsu.

Ada perkara yang kurang tepat

Ada perkara yang benar dan banyak juga perkara yang kurang tepat.

Kita pergi satu persatu

1) Perbankan Islam tidak patuh syariah dan ada riba, sama macam konvensional.

Ini satu tuduhan yang sangat berat. Riba adakah dosa besar. Ia sebesar-besar dosa dalam Quran dan Hadith. Lebih besar dari dosa membunuh, merompak, merogol, mengsemburit, berzina dan sebagainya.

Untuk mengatakan perbankan Islam ada riba dan tidak patuh syariah, ia perlu disertakan dengan dalil yang kukuh.

Jika benar PPIM hendak membuat pendakwaan begitu, PPIM perlu bentangkan kepada alim ulama dan membawa alim ulama yang menyokong mereka.

Ada yang berhujah, alim ulama yang jadi penasihat syariah bank sudah tentu iktiraf bank Islam patuh syariah sebab masyuuuuk. Ia satu tuduhan yang jahat.

Sehingga hari ini, perbankan Islam sudah banyak kali diperbahaskan dalam pelbagai wacana sejak 40 tahun lepas dan sudah melepasi majlis-majlis fatwa negeri malah majlis fatwa kebangsaan.

Kemudian di bawa ke majlis pengawasan syariah Bank Negara Malaysia dan perbankan Islam.

Malah ia turut diakui oleh alim ulama yang tidak terlibat dalam perbankan Islam, sebagai contoh Tok Guru Nik Aziz yang memindahkan akuan kerajaan negeri Kelantan apabila mengambil alih negeri itu, turut mengiktiraf.

Mereka ini tidak ada kepentingan pun dalam perbankan Islam.

Yang paling utama, perbankan Islam membolehkan umat Islam di Malaysia untuk bebas dari dosa riba.

Itu ialah kejayaan besar perbankan Islam di Malaysia.

Banyak pahala yang mengalir kepada tokoh-tokoh alim ulama malah pemerintah yang mengusahakan perkara ini sejak 40 tahun lalu.

Moga Allah berkati mereka.

Jadi untuk mengatakan perbankan Islam masih ada riba, seolah-seolah hendak mengatakan bahwa selama ini semua alim ulama ini berpakat menipu Allah atas nama perbankan Islam.

2) Perbankan Islam menindas.

Ini sebenarnya isu utama.

PPIM melihat perbankan Islam ini zalim yang bermaksud menindas kerana peminjam perlu bayar balik dengan nilai yang lebih tinggi.

Dalam sudut ini, suka saya tegaskan bahawa riba tak semestinya menindas.

Saya meminjamkan Sdra RM 1,000,000 (RM 1 juta), dan diminta membayar balik RM 1,000,001 selepas 5 tahun.

Maka RM 1 yang ditambah daripada RM 1 juta tadi adalah riba.
Jika Sdra sebagai peminjam, adakah RM 1 bayaran tambahan yang dikenakan ke atas pinjaman RM 1 juta tadi, membebankan Sdra?

Secara logik matematiknya, sudah tentu ia tidak membebankan bukan?

Namun, sekalipun tidak membebankan dan menindas, ia tetap riba.
Riba tetap haram walaupun tidak menindas.

 

Image result for keuntungan

Keuntungan atau riba?

Itu satu contoh.

Kita ambil contoh lain.

Harga rumah RM200,000 dan kemudian jika melalui pembiayaan bank, ia jadi RM500,000. Ramai yang buat kesimpulan mudah, RM300,000 itu ialah riba.

Ia tidak semudah itu. Riba atau tidak riba ditentukan oleh cara urusniaga dibuat, bukan berdasarkan amaun jumlah wang yang terlibat.

RM1 yg diperoleh melalui riba tetap haram walaupun sikit. Untuk RM1 juta diperolehi tanpa riba, tetap halal sekalipun amaunnya banyak.

Sebagai contoh mudah, peniaga jual air RM1 segelas, modal sebenar hanyalah RM0.20 sahaja. Adakah 80 sen keuntungan jualan air itu adalah riba?

Tidak, ia adalah keuntungan perniagaan.

Sama macam bank, mereka menjalankan perniagaan.

Ada yang kata, apa produk bank? Kata mereka, bank tak ada produk. Bank hanya jual agreement.

Ini jawapannya. Ya, bank tidak ada produk fizikal.

Tapi bank ada produk intangible yang lebih sesuai dipanggil servis atau perkhidmatan.

Bank menyediakan perkhidmatan untuk pembiayaan perumahan. Anda nak beli rumah dari pemaju, tapi tak ada tunai. Anda minta bantuan bank untuk membiayai jual beli rumah tersebut dengan bank.

Itulah servis yang disediakan oleh bank. Untuk menyediakan servis, bank perlukan banyak tenaga manusia untuk memastikan servis tersebut berjalan lancar.

Bank perlukan khidmat peguam untuk membuat perjanjian, khidmat kerani untuk menaip, khidmat pegawai pemasaran untuk memasarkan servis. Bank juga perlu menyediakan premis untuk memudahkan urusniaga dan selanjutnya. Semua itu memerlukan modal.

Jadi kos bukan hanya harga rumah yang dibiayai tapi juga termasuk kos-kos lain yang terlibat.

Sebagaimana air dijual RM1, walaupun modal bahan mentah 20 sahaja, tapi peniaga tersebut ada kos-kos lain yang terlibat.

Jika PPIM mengatakan bahawa bank ialah bisnes yang mudah buat untung, jadi saya cadangkan PPIM untuk mengusahakan bank sendiri.

Kita boleh lihat bagaimana perbankan Islam versi PPIM beroperasi.

Jadi, untuk mengatakan perbankan Islam zalim disebabkan riba, itu adalah tuduhan jahat.

—–

Image result for patuh syariah

Pandangan dan cadangan saya berkenaan isu di atas.

Satu sudut, bagus juga ada pihak yang mempertikaikan perbankan Islam. Supaya perbankan Islam yang ada hari ini dapat ditambah baik dsn tidak selesa dengan kedudukan sekarang.

Berikut adalah beberapa pandangan dan cadangan saya berkenaan isu di atas.

1. Istilah perbankan Islam, sebaiknya ditukar kepada perbankan patuh syariah. Ia adalah untuk menjaga kesucian Islam itu sendiri.

2. Tidak dapat dinafikan ada berlaku penindasan tapi ia tidak ada kaitan dengan riba. Sebagai contoh, amalan pihak bank mengarahkan pihak ketiga untuk merampas kereta yang masih ada tunggakan, dilakukan dengan tidak bertimbang rasa. Ia adalah dalam video ketika sesi live bersama PPIM semalam.

3. Saya juga pernah menulis beberapa kes berkaitan pinjaman perumahan, yang dilihat menindas. Suka saya tegaskan, ia tiada kaitan dengan riba atau tak patuh syariah. Ia adalah sah di sisi undang-undang dan syariah.

Baca artikel di sini : Bayar Selama Hampir 15 Tahun Tapi Baki Pokok Meningkat!

Baca artikel di sini : 10 Tahun Bayar Hutang Rumah, Baki Pokok Hanya Kurang RM2,000!

4. Selepas 40 tahun bertapak di Malaysia, sudah tiba masanya perbankan Islam keluar terus dari kerangka dan model bisnes perbankan konvensional. Contoh:

– Tidak perlu lagi menggunakan OPR. Boleh gunakan satu kadar yang berbeza dgn konvensional.

– Tidak lagi menggunakan default clause.

– Tidak ada lagi lelongan, gantikan dengan pembiayaan semula untuk kurangkan ansuran tanpa tambah baki hutang.

– Tidak membenarkan group company yang sama memiliki bank konvensional memiliki saham dalam perbankan patuh syariah dalam masa sama tidak ada perbankan patuh syariah dan perbankan Islam yg mempunyai sama nama.

– Tidak membenarkan pegawai bank memasarkan serentak kedua-dua produk perbankan patuh syariah dan konvensional. Kadang kala berlaku, mereka yang beritahu pengguna “sama je dua-dua..”.

– Harga rumah boleh gantikan dengan nilai mata wang emas untuk urusniaga.

– Bank membeli rumah dari pemaju dan memiliki rumah tersebut, barulah ditawarkan kepada pembeli.

– Bank menubuhkan anak syarikat sebagai pemaju hartanah dan kemudian jual kepada pelanggan.

Ya, semua cadangan saya di atas tidak dibenarkan oleh undang-undang hari ini. Sebab itu saya katakan tadi, perlu keluar dari kerangka perbankan konvensional untuk dilihat benar-benar berbeza dari konvensional.

Ia bukan perkara senang tapi tidak mustahil jika ada kesungguhan untuk berubah.

Saya sangat alu-alukan rakan yang terlibat dalam industri kewangan dan perbankan Islam untuk berikan komentar.

Afyan Mat Rawi
Jemput follow dan see first

Sambil-sambil tu, boleh join Channel Telegram
Ada banyak lagi tip-tip kewangan dan kehidupan dikongsi di sana.

 

Sumber dari FB Afyan Mat Rawi

WP2Social Auto Publish Powered By : XYZScripts.com