fbpx

Rebus Batu Pujuk Anak Kelaparan

  • 5 years ago
  • 3Minutes
  • 589Words
  • 316Views

REBUS BATU PUJUK ANAK KELAPARAN

BOTA: “Kesempitan hidup pernah memaksa saya memujuk empat anak yang kelaparan dengan merebus batu sebelum meminta mereka tidur dan akan dikejutkan selepas ‘makanan’ itu masak sementara saya mencari lauk,” kata ibu tunggal, Noorhayati Said.

Noorhayati, 41, bergelar ibu tunggal sejak 14 tahun lalu, selepas berpisah dengan suami yang hilang tanpa berita dan mendakwa empat anaknya iaitu dua lelaki dan dua perempuan tidak pernah diberikan nafkah.

Berikutan itu, mereka lima beranak dihimpit kesempitan hidup yang turut memaksa anak sulungnya, Mohd Amirul Hayat Abdullah, 17, berkorban melakukan pelbagai kerja sampingan sejak berusia enam tahun semata-mata bagi meringankan beban keluarga.

Noorhayati berkata, hati ibu mana tidak sedih melihat anaknya bekerja pada usia terlalu awal sedangkan sepatutnya memberi tumpuan kepada pelajaran demi masa depan, namun kerana kesempitan hidup dia terpaksa merelakan perkara itu.

“Sebelum ini saya bekerja di sebuah hotel dan untuk meringankan beban saya, Amirul dan adik bongsunya, Mohd Nurol Iman, 14, membuat kerja sampingan biarpun masih bersekolah untuk kelangsungan hidup kami sekeluarga.

“Kehidupan kami semakin rumit sejak saya menjalani pembedahan April lalu, memotong dua jari kiri dan luka merebak sehingga ke tangan akibat kencing manis dan kini Amirul mengambil sepenuhnya tugas sebagai ketua keluarga,” katanya ketika ditemui di rumah bapanya di Kampung Teluk Kepayang, Bota Kiri di sini, semalam.

Noorhayati berkata, Amirul yang memahami kesusahan hidup mula mengambil upah melakukan pelbagai kerja seperti memotong serai dan menganyam atap rumbia sejak berusia enam tahun untuk membantu membeli susu adiknya.

“Anak memang banyak berkorban dan memahami kesusahan kami terutama Amirul yang sehingga kini bekerja untuk menyara keluarga, namun berhenti sementara kerana peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM),” katanya.

“Kerana kasihankan saya, dia berulang kali menyuarakan hasrat untuk berhenti belajar dan bekerja sepenuh masa, namun saya pujuk dan minta dia habiskan sekolah demi masa depannya.

“Walaupun sibuk dengan SPM dia sudah beritahu untuk terus bekerja semula selepas tamat peperiksaan untuk membeli kelengkapan dan buku sekolah adiknya tahun depan.

“Sayu hati saya kerana dia mengambil alih tugas sebagai bapa dan ketua keluarga menyediakan semuanya di usia yang terlalu muda,” katanya.

Menurutnya, anaknya itu kini mengambil upah sebagai pekerja katering dan membantu rakan di bengkel.

Katanya, mereka sekeluarga sebelum ini pernah terputus bekalan makanan selama dua minggu, dengan hanya makan kanji dan pisang goreng sebagai alas perut, malah pernah tertangguh bayaran bil api dan air, selain empat anaknya kerap tidak membawa wang belanja ke sekolah kerana kesempitan.

Noorhayati berkata, bergelar ibu tunggal dengan keadaan diri yang kurang sihat sangat sukar terutama ketika semua anak masih bersekolah, namun dia tidak pernah menyalahkan takdir kerana kegagalan rumah tangganya.

“Bila kerajaan bercadang untuk mengetatkan lagi peraturan berkaitan nafkah, saya sambut baik cadangan itu kerana ia dapat membela kebajikan ibu tunggal terutama anak.

“Ia turut membabitkan masa depan anak terutama yang masih kecil dan bersekolah dan bagi saya kalau dia (bapa) tidak mampu memberi jumlah sepatutnya tapi dapat bagi belanja untuk menampung persekolahan anak, itu sudah cukup baik,” katanya.

Katanya, cadangan kerajaan itu sangat bagus kerana jika tiada usaha ke arah itu bekas suami atau bapa dilihat akan terus lalai dan lupa tanggungjawab mereka kepada anak.

Kelmarin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mujahid Yusof dilaporkan berkata, sekatan terhadap akaun bank suami yang ‘liat’ membayar nafkah kepada bekas isteri dan anak adalah antara cadangan kerajaan untuk menguatkuasakan keadilan syariah kepada golongan berkenaan.

Pada masa ini perbincangan mengenainya sedang dilakukan bagi memperincikan penguatkuasaan lebih ketat terhadap keadilan syariah bagi wanita yang menjadi mangsa pengabaian bekas suami selepas perceraian walaupun sudah mendapat arahan mahkamah.

Sumber: Harian Metro

 

 

 

 

 

 

 

Sumber dari FB Afyan Mat Rawi

 

............................................................
Buku FIRE
Buku F.I.R.E - FINANCIAL INDEPENDENCE RETIRE EARLY
RM49.00
Harga termasuk kos penghantaran

www.BukuFIRE.com

Apa komen Saudara/anda tentang tulisan ini?

Recommended
Ketika kita sedang berkira-kira untuk beli periuk jenama Nozza atau…