fbpx

Takaful vs Insurans (dan yong-tau-fu): Bukan Sekadar Beza Nama

  • 4 years ago
  • 4Minutes
  • 719Words
  • 861Views

payung-hijau-payung-merah

Perbezaan utama antara takaful dengan insurans adalah pada kontraknya.

Kontrak insurans adalah berteraskan jual-beli, manakala kontrak takaful pula adalah berteraskan kontrak derma.

Daripada kontrak jual-beli insurans inilah yang melahirkan unsur ketidaktentuan, judi dan riba, yang membawa kepada fatwa haram.

Alternatif kepada insurans adalah takaful, yang menggunakan kontrak derma untuk mengelakkan unsur ketidaktentuan, judi dan riba tadi.

Tulisan ini bukanlah untuk menghuraikan secara ilmiah dan akademik berkenaan hukum hakam insurans dan takaful, kerana saya bukanlah pakarnya.

Untuk mendapatkan maklumat secara ilmiah tentang perkara ini, boleh rujuk perkara ini di blog Ustaz Zaharuddin: http://www.zaharuddin.net/index.php?option=com_content&task=view&id=307&Itemid=72

Takaful dan insurans sama?

Takaful hanya tukar nama sahaja, yang lain-lain semua sama sahaja dengan insurans konvensional”, kata seorang ejen “takaful” konvensional.

 

Sistem Takaful bukan menjawab persoalan pengharaman insurans. Sistem takaful hanya meniru struktur dan format insurans konvensional from A to Z dan ubah istilah bahasa Arab & guna aqad derma. Itu saja.”, dipetik daripada sebuah laman forum kewangan.

“Bagi orang Melayu pada masa itu, insurans merupakan satu ‘benda baru’ untuk mereka dan mungkin kerana penguasaan bahasa Inggeris yang lemah, ini telah membuatkan mereka membuat pelbagai tanggapan salah mengenai Life Insurans dengan mengaitkan Life Insurans sebagai satu jual-beli nyawa atau jual-beli pampasan”, tulis seorang perunding kewangan di dalam artikelnya.

 

Jadi di manakah sebenarnya perbezaan insurans dan takaful?

Adakah benar bahawasanya insurans dan takaful sebenarnya menggunakan sistem yang sama?

Betul, insurans yang ada hari ini berasal daripada Barat. Insurans yang pertama dipercayai wujud adalah insurans perkapalan. Ia berasal daripada Eropah pada zaman pedagang-pedagang Inggeris belayar menggunakan kapal. Kapal-kapal ini terdedah kepada pelbagai musibah seperti lanun, karam, ribut, tsunami dan lain-lain. Maka daripada situ, mereka berpakat dan timbullah istilah insurans dan dimodenkan sebagaimana yang kita lihat hari ini.

Sistem takaful yang ada sekarang mengguna sistem pengiraan yang sama dengan apa yang ada di dalam insurans yang telah dimodenkan tersebut.

“Jadi, betullah takaful ini berasal daripada insurans?”, ada pula yang berkata begitu.

Oh, tidak semestinya begitu kesimpulannya. Dari segi sejarah Islam juga, sistem yang sama telah diguna pakai pada zaman dahulu oleh pedagang-pedagang Arab. Jika di Eropah, para pedagang menggunakan kapal, pedagang Arab turut menggunakan kapal. Bukan kapal laut, tetapi kapal padang pasir; unta!

Mereka juga terdedah kepada pelbagai musibah seperti perompak, ribut padang ipasir, dan sebagainya. Maka daripada situ, mereka berpakat untuk berkongsi risiko, dan timbullah istilah “takaful”. Cuma takaful yang diamalkan oleh mereka tidak melalui proses pemodenan sebagaimana proses pemodenan insurans tadi.

Justeru, apabila takaful yang ada hari ini diwujudkan, ia menggunakan sistem yang telah lama wujud di dalam sistem insurans. Sistem takaful akan menilai dan hanya menerima perkara-perkara yang dibenarkan syarak sahaja. Sebagai contoh sistem pengiraan premium dan sistem ejensi.

Sebarang unsur yang tidak menepati kehendak syarak, akan dicari alternatif atau dibuang.

“Jadi, ini menunjukkan takaful menggunakan sistem yang sama! Maka tiada bezanya kita menggunakan insurans atau menggunakan takaful”, nampaknya masih tidak puas hati.

Yong-tau-fu

Yong-tau-fu: halal atau haram? (sumber gambar: wikipedia)
Yong-tau-fu: halal atau haram? (sumber gambar: wikipedia)

Mungkin penerangan sebelum ini masih ilmiah. Jika begitu, saya mengambil analogi yong-tau-fu.

Ya, yong-tau-fu.

Yong-tau-fu adalah makanan masyarakat Cina. Menu asal Yong-tau-fu adalah tauhu yang dicampurkan dengan kuah pati ikan atau khinzir. Rujuk: http://en.wikipedia.org/wiki/Yong_tau_foo

(nota: saya tidak pasti terjemahan untuk “meat paste of fish and pork” yang terdapat di dalam wikipedia, yang saya terjemahkan sebagai kuah pati ikan atau khinzir)

Hari ini menu ini sudah berubah dengan pelbagai bahan-bahan lain, seperti telur, sayur, sosej, dan sebagainya.

Sekiranya yong-tau-fu asal haram dimakan oleh orang Islam, kerana kandungan menunya adalah kuah pati khinzir, adakah ia masih haram sekiranya tiada lagi unsur tersebut?

Yong-tau-fu tidak boleh dimakan bukan kerana namanya yong-tau-fu. Sekiranya ia ditukar nama kepada “yong-tau-fu Halal”, atau “yong-tau-fu Islam”, atau “yong-tau-fu Ahmad”, ia masih lagi belum cukup syarat halal sekiranya ia masih menggunakan kuah pati khinzir!

Begitulah juga halnya dengan takaful dan insurans.

Fungsi insurans dan takaful adalah sama, iaitu untuk memberi perlindungan. Yang membezakan bukanlah premiumnya, bukanlah proses underwritingnya, atau juga bukanlah berapakah jumlah pampasannya. Atau juga bukanlah komisennya.

Ada beberapa perkara yang sama, dan ada beberapa perkara yang tidak sama. Asasnya ia dibezakan dengan kontrak yang mewujudkan takaful ataupun insurans.

Yang ada unsur haram itu; riba, judi dan ketidaktentuan.

Takaful halal bukan kerana namanya takaful, dan insurans adalah haram bukan kerana namanya insurans.

............................................................
Buku FIRE
Buku F.I.R.E - FINANCIAL INDEPENDENCE RETIRE EARLY
RM49.00
Harga termasuk kos penghantaran

www.BukuFIRE.com

20 Comments
  1. Avatar
  2. Avatar
  3. Avatar
  4. Avatar
  5. Avatar
  6. Avatar
  7. Avatar

Apa komen Saudara/anda tentang tulisan ini?

Recommended
Sebelum Kemalangan (ketika mengambil polisi takaful) Kita tidak tahu bila…