fbpx

Dari 08-08-80 ke 08-08-08

  • 16 years ago
  • 6Minutes
  • 1110Words
  • 518Views

Nombor-nombor bertuah (khurafat?)

13 menjadi angka kegemaran Pak Lah apabila membubarkan parlimen pada 13 Februari 2008, dan plat keretanya bernombor 13. Ternyata Pak Lah tersilap percaturan apabila Barisan Nasional mencipta rekod terburuk dalam sejarah Malaysia merdeka.

8 Mac setiap tahun bakal menjadi tarikh fobia bagi Semi Velue Samy Vellu apabila tewas di kerusi tradisinya pada hari ulangtahunnya yang ke 72. Setiap tahun pasti Samy Vellu akan menyambut hari lahirnya dengan wajah yang sugul mengenangkan tarikh ulangtahun kekalahannya.

8 Mac juga diharapkan sebagai tuah oleh Dato’ Sir Khir Toyo sebelum pilihan raya lalu, apabila mengaitkan angka tersebut dengan bulan kelahirannya iaitu bulan 8, tahun 2008 adalah tahun ke-8 beliau menjadi Menteri Besar Selangor, dan keluasan negeri Selangor adalah 8 ribu persegi dengan penduduk Selangor sebanyak 8 juta orang. Namun ternyata Khir Toyo tersilap ramalan.

8 Mac 2008 menjadi angka keramat dalam politik negara apabila BN dilanda tsunami apabila hampir tewas setelah gagal mempertahankan dua per tiga kerusi parlimennya.

1988 – “Anak awak banyak ong”

Sewaktu saya kecil dahulu, kami sekeluarga tinggal di sebuah taman perumahan yang terdiri daripada masyarakat berbilang kaum. Majoriti masih masyarakat Melayu – Islam. Kebetulan rumah kami terletak di antara rumah satu keluarga India, dan satu keluarga Cina. Di kiri kami rumah keluarga India dan di kanan kami rumah keluarga Cina.

Saya masih ingat lagi kata-kata ibu saya yang memetik kata jiran kami berbangsa Cina, Uncle Wong. Ketika itu pada hari ke-8, bulan 8, pada tahun 1988.

“Anak awak banyak ong maa….”, kata Uncle Wong dengan penuh pelat Cina. Dia tujukan kata-kata itu kepada saya yang ketika itu berusia 8 tahun, dan adik saya yang berusia 2 tahun. (Adik saya lahir pada tarikh sama tahun 1986)

Dalam usia sekecil 8 tahun itu, saya tidak sangat mengambil endah maksud “ong” yang dimaksudkan oleh Uncle Wong itu. Saya sendiri tidak pasti sejak bila saya tahu maksud “ong”.

Masyarakat Cina memang menanti-nanti tarikh 8-8-1988. Pada tarikh itu mereka mengadakan perayaan besar-besaran yang hampir-hampir menyamai kemeriahan sambutan tahun baru mereka.

Saya masih ingat lagi pada tahun sama, saya terbaca satu iklan di dalam sebuah akhbar tentang promosi yang diadakan oleh sebuah pasar raya, kalau tidak silap saya Yaohan (saya rasa ia sudah tidak wujud lagi sekarang), pada tarikh 8-8-1988 menjemput kepada sesiapa yang menyambut hari ulang tahun kelahiran pada tarikh tersebut ke pasar ra Mungkin yanya. Untuk kanak-kanak seusia saya, ada hadiah percuma untuk kami. Inilah agaknya “ong” yang dikatakan oleh Uncle Wong. Tapi, iklan tersebut saya baca selepas tarikh 8-8-1988. Nampaknya, saya tiada “ong”lah. 🙁

1998 – Melangkah Ke Kampus Kehidupan

Ketika itu pada bulan Mei, 1998. Rakan-rakan yang tiba awal masing-masing sudah bersama slip keputusan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) masing-masing. Ada yang gembira, tidak kurang juga yang bermuram durja. Saya tidak dapat menyembunyikan perasaan berdebar-debar saya sebaik sahaja sampai ke pintu pejabat. Suasana agak hiruk piruk dengan suara-suara manusia yang rata-rata teman kenalan sebaya saya, calon SPM 1997 SMKA Sheikh Abdul Malek, Kuala Terengganu.

“Tahniah Afyan!”, tiba-tiba ada suara menegur saya.

Sebelum saya sendiri mengambil slip keputusan peperiksaan saya sendiri, kawan sekelas saya yang angka gilirannya berdekatan dengan angka giliran saya telah mengetahui keputusan SPM saya. Alhamdulillah, nama saya di antara “Top 10” SPM sekolah saya pada tahun tersebut…. Hilang segala debaran hati saya.

Tiba ke peringkat seterusnya, memilih universiti. Mungkin tahun tersebut tiada “ong” saya. Sasaran saya untuk menyambung pelajaran ke Jordan tidak kesampaian. Sekalipun keputusan saya sudah lebih daripada layak untuk menyambung pelajaran ke sana, namun ia tinggal mimpi apabila tahun tersebut Malaysia dilanda krisis ekonomi dan kementerian pelajaran terpaksa menghentikan penghantaran pelajar ke luar negara. Malah ada senior-senior saya yang terpaksa dihantar pulang ke Malaysia akibat krisis ini.

Mungkin ada hikmahnya, Julai 2008 saya mendaftarkan diri ke Pusat Matrikulasi UIAM yang terletak di Lembah Pantai, Kuala Lumpur (sekarang dikenali sebagai Pusat Asasi di Petaling Jaya, Selangor dan Nilai, Negeri Sembilan), beberapa bulan sebelum tercetusnya reformasi.

Di sinilah kampus kehidupan saya bermula, dan di sinilah juga saya mengenali pasar raya Ong Tai Kim. Ini mungkin “ong” yang dimaksudkan dengan Uncle Wong 10 tahun sebelum itu. 🙂

Kira-kira setahun selepas itu, pilihanraya umum ke-10 gelombang reformasi ini memberi kesan kepada politik negara apabila kerusi-kerusi parlimen pembangkang (Barisan Alternatif) bertambah dengan mendadak, tetapi gelombang ini tidaklah menjadi tsunami yang mampu menafikan 2/3 Barisan Nasional. Nampaknya BN tidak “ong” pada tahun tersebut.

5 tahun di kampus UIAM ini banyak mengajar saya erti kehidupan. Bilik kuliah, tutorial, assignment, test dan exam. Tidak lupa juga ilmu-ilmu street-smart; demonstrasi, mesyuarat, muzakarah, muqabalah, tamrin, usrah, dan persatuan. Mungkin inilah hikmahnya saya “terhalang” untuk ke Jordan. Banyak ilmu-ilmu street-smart yang saya pelajari. Jika tidak mungkin saya sekarang seorang ustaz. 🙂

(Khabarnya, kampus kehidupan yang saya tinggalkan, telah berubah sekarang. Ia memilih untuk “menjadi kesamaan” berbanding “mencari kelainan”. Lihat di sini)

2008 – ?

Masyarakat Cina amat menggemari tuah di dalam nombor dan kadang-kadang ia disebut Feng Shui. Mungkin sebab itu jugalah China memilih 8 Ogos 2008 sebagai tarikh keramat sukan Olimpik tahun ini.

20 tahun yang lalu, 8 Ogos 1988 masyarakat Cina di Malaysia menyambut hari tersebut dengan begitu meriah seolah-olah menyambut tahun baru mereka. Namun pada tahun ini, 2008 nampaknya tiada apa-apa sambutan yang kelihatan meriah di sini. Mungkin angka 8 pada tahun 1988 lebih banyak berbanding angka 8 pada tahun 2008. Mungkin ini juga kesan kegawatan ekonomi yang melanda hari ini.

Malah mengikut cakap-cakap politik, situasi ekonomi yang tidak stabil ini bermula semenjak 2004 dan berlarutan sehingga 2008 menyebabkan masyarakat Cina beralih arah memenangkan Barisan Alternatif yang sekarang dikenali sebagai Pakatan Rakyat, dalam pilihanraya yang lalu.

Ternyata tahun 2008 mungkin tahun “ong” masyarakat Cina di tanah besar China, tetapi tidak “ong” di Malaysia. Juga tidak “ong” bagi Pak Lah, Samy Vellu dan Khir Toyo yang mengharap tuah pada tahun 2008 ini. Uncle Wong? Saya tidak pasti. Andai kata beliau membaca entri ini, sila hubungi saya. Saya ingin mempromosi takaful kepada beliau.

8-8-2008

YESTERDAY is history, TOMORROW is a mistery, TODAY is a gift, that’s why it’s called the Present! – Kungfu Panda

.

Sudah 5 tahun saya memilih haluan berbeza semenjak tamat belajar di kampus kehidupan pada 2003. Keputusan untuk memilih wakil takaful sebagai kerjaya sepenuh masa pada pertengahan 2007, menampakkan hasilnya pada tahun 2008 ini apabila pertama kali berjaya meletakkan diri di antara 50 wakil yang menghasilkan produksi tertinggi. Namun, permulaan yang baik bukanlah satu jaminan.

Saya memang “ong” apabila masih berada di dalam Iman dan Islam anugerah Allah. Tanpa kedua-dua nikmat ini mana mungkin saya mampu terus menerus hidup di muka bumi Allah ini yang “ong” ini. (Betulkah tatabahasa saya?)

2008 mengingatkan saya tentang mati yang pasti. Teringat pula akan satu bait “puisi” (jika boleh dikatakan puisi):-

Hidup ini merupakan suatu HAK,
Tetapi tempoh hidup kita BUKAN PILIHAN,

Ajal merupakan suatu KETENTUAN,
Tetapi bila ia tiba TIDAK DAPAT DITENTUKAN.

Rancanglah masa depan anda,
Masa depan anak-anak anda,
Dan masa depan keluarga anda…

…bukan kerana KITA AKAN PERGI,
Tetapi kerana KEHIDUPAN ORANG TERSAYANG MESTI DITERUSKAN selepas kita tiada…

Dari 08-08-80 ke 08-08-08 – Terima kasih tuhanku kerana memberiku nyawa.

2018, 2028, 2038 – Oh Tuhan, sempatkah aku?

............................................................
Buku FIRE
Buku F.I.R.E - FINANCIAL INDEPENDENCE RETIRE EARLY
RM49.00
Harga termasuk kos penghantaran

www.BukuFIRE.com

13 Comments

Apa komen Saudara/anda tentang tulisan ini?

Recommended
Maklumat lanjut, rujuk di sini. Kana-kanak pun ada yang mendaftar…