fbpx

Analisa Shariah terhadap Program Ayam Kampung PAKKP: Isu-isu dan implikasi

  • 10 months ago
  • 2Minutes
  • 381Words
  • 2974Views

Analisa Shariah Terhadap Program Ayam Kampung PAKKP

Oleh kerana program ayam kampung ini telah menimbulkan keraguan dari segi kemapanan pelaburan maka saya telah berbincang dengan beberapa orang rakan lain yang mahir dalam bidang kewangan shariah bagi mendapatkan pendapat pakar.

Berikut adalah beberapa isu shariah yang ditimbulkan oleh rakan-rakan saya yang arif shariah.

1. Akad ini dengan siapa?

2. Akad ini akad apa?

3. Jaminan pulangan tetap dan tiada risiko

4. Gharar

5. Status halal produk yang diniagakan

AKAD INI DENGAN SIAPA?

Program Ayam Kampung ini telah dihebahkan atas nama Persatuan Amal Kita Kinta Perak iaitu sebuah entiti yang berdaftar dengan ROS. Borang penyertaan untuk akad tertera nama persatuan.

Tetapi:

a. Wang sumbangan dimasukkan ke dalam akaun peribadi sukarelawan PAKKP

b. Duit manfaat datang dari syarikat PAKKP Solutions

Jadi peserta program berurusan dengan 3 pihak tetapi hanya ada satu akad. Ini adalah satu situasi yang sangat menghairankan.

AKAD INI AKAD APA?

Akad bermula sebagai tabarru’at iaitu derma – di mana syaratnya penderma tidak boleh mendapat sebarang imbuhan daripada sumbangan tersebut.

Percanggah akad berlaku kerana PAKKP menawarkan hak untuk penderma menerima seekor ayam kampung atau RM13.00 sebulan seumur hidup.

Akad yang membolehkan seseorang menerima imbuhan hanyalah pinjaman atau pelaburan di mana penyumbang wang mempunyai hak-hak tertentu. Penderma tidak mempunyai hak terhadap wang yang telah disumbangkan.

JAMINAN PULANGAN TETAP DAN TIADA RISIKO

Apabila akad derma sudah bertukar menjadi pinjaman atau pelaburan secara automatik sebarang janji pulangan tetap telah menjadi riba al-fadhl.

Walaupun perkataan yang digunakan adalah sumbangan dan manfaat tetapi hukum fiqah dijatuhkan atas maksud transaksi wang tersebut secara praktis. Dari segi aliran wang dan janji oleh PAKKP sumbangan dan manfaat telah menjadi pelaburan dan dividen/untung.

Pelaburan tanpa risiko tidak dibenarkan oleh shariah.

GHARAR

Umum mengetahui bahawa bisnes penternakan penuh risiko di luar kawalan manusia. Oleh itu jaminan pelaburan ayam akan berlangsung kitaran demi kitaran tanpa naik turun untung rugi adalah satu bentuk gharar.

STATUS HALAL PRODUK YANG DINIAGAKAN

Melihat kepada imbuhan bulanan wang ringgit yang dicanang peserta sehingga RM7000 seorang maka wajar dikatakan bahawa ini adalah projek skala besar yang melibatkan puluhan malah ratusan ribu ekor ayam sebulan. Maka tidak logik sembelihan dibuat belakang rumah orang kampung.

Oleh itu, mana sijil halal rumah sembelihan? Sekiranya ayam tidak halal maka seluruh program ini jatuh haram kerana barang yang diniagakan tidak halal.

Wallahualam.

Sumber dari FB Page Afyan Mat Rawi

............................................................
Buku FIRE
Buku F.I.R.E - FINANCIAL INDEPENDENCE RETIRE EARLY
RM49.00
Harga termasuk kos penghantaran

www.BukuFIRE.com

2 Comments
  1. Avatar
  2. Avatar

Apa komen Saudara/anda tentang tulisan ini?

Recommended
Betul Gen Z manja? Sebagai Gen X dan Y, kita…