Chong Wei, Lin Dan dan Kita : Antara Pemain dan Penonton.
Pastinya peminat-peminat sukan Malaysia kecewa dengan kekalahan Datuk Lee Chong Wei di tangan Jogaan China Lin Dan untuk merangkul gelaran juara dunia. Rata-rata komen rakyat Malaysia yang mengharapkan kemenangan tersebut, pasti tidak dapat tidak mengkritik pemain Malaysia yang mudah dijinakkan oleh pemain China itu.
Ramai juga rakyat Malaysia masih menyimpan harapan tinggi kepada Datuk Lee Chong Wei untuk merebutnya pada 2013 nanti yang diakui oleh beliau sebagai penampilan beliau terakhir sebelum bersara dari sukan badminton. Tidak kurang juga yang mencemuhnya lantaran kegagalannya menggunakan peluang terbaik semalam.
Sebagai rakyat Malaysia yang mempunyai semangat patriotik dan menaruh harapan tinggi untuk menang, tidak dinafikan kekalahan tersebut sukar untuk diterima. Rentetan itu keluarlah pelbagai cadangan dan kritikan dari penonton tadi untuk melihat prestasi yang lebih baik lagi.
Kalau diteliti, ia seolah-olah skrip yang sama setiap kali kita kalah dalam mana-mana perlawanan sukan, yang terakhir sebelum badminton ini adalah perlawanan bola sepak saringan Piala Dunia. Jika dalam sukan badminton menyaksikan Chong Wei kalah di tangan Lin Dan, dalam perlawanan terdahulu menyaksikan pasukan Malaysia kalah di kaki pemain Singapura.
Kecewa itu fitrah. Jika kita sebagai penonton, berasa kecewa lantaran kekalahan Malaysia, sudah pasti para pemain yang mewakili Malaysia sepuluh kali ganda kekecewaan mereka. Jika kita rasa sepuluh kali kecewa, tentu mereka merasa 100 kali kekecewaan. Malah, jika kita merasa sejuta kekecewaan, sudah tentu mereka seratus juta kali lebih kecewa!
Namun, di sebalik kekalahan dan kekecewaan itu, selaku pemain, Datuk Lee Chong Wei tetap mendapat tempat kedua dan menerima habuan yang bukan sedikit. Tetapi penonton tidak mendapat apa-apa, kecuali sakit tekak lantaran menjerit memberi sokongan padu! Malah, sekalipun menang pun pasukan atau pemain yang disokong, penonton tidak akan mendapat apa-apa. Kalau dapat pun mungkin cuti umum yang akan diisytihar kerajaan untuk menyambut kemenangan tersebut, tidak lebih dari itu.
Yang pastinya, dalam mana-mana perlawanan, penonton akan lebih banyak daripada pemain. Apabila kalah, maka para penonton akan mula memberi komen, kritikan serta memberi cadangan apa yang dan apa yang tidak patut. Walhal, jika penonton itu pandai sudah tentu dia tidak berada di kerusi penonton!
Menjadi penonton tidaklah sesukar mana, kemahiran yang perlu hanyalah kemahiran menonton, mengkritik dan mengkomen. Tidak kurang juga yang mempunyai kemahiran memaki hamun dan mencarut sebagai kemahiran tambahan. Tidak susah bukan?
Namun yang sukar adalah untuk menjadi pemain. Ia memerlukan latihan berterusan dan konsisten. Dalam masa sama perlu bersedia untuk menerima kritikan dan komen daripada para penonton. Silap-silap haribulan, bakal menerima maki hamun jika kalah perlawanan. Ternyata, selain fizikal para pemain perlu membuat persediaan mental dan emosi untuk kekal lama dalam industri.
Analogi yang sama juga untuk apa jua bidang yang kita sertai, tidak kira dalam kerjaya, bisnes atau pelajaran.
Jika dalam bidang bisnes, pasti pemain-pemain yang mengaut untung berbanding para penonton yang sekadar menonton dan mengkritik.
Justeru, cukupkah kita sebagai PENONTON sahaja? Ayuh menjadi PEMAIN!
............................................................Buku F.I.R.E - FINANCIAL INDEPENDENCE RETIRE EARLY
RM49.00
Harga termasuk kos penghantaran