Tips: Bagaimana Untuk Menyimpan? (1)
Tips: Bagaimana Untuk Menyimpan? (1)
“Bagaimana mula menyimpan?” soalan ini bertalu-talu ditanya kepada saya melalui emel, dan juga facebook.
Lebih-lebih lagi selepas saya menulis tentang perancangan simpanan pendidikan anak-anak dalam tulisan-tulisan lepas di blog ini.
Antara persoalan-persoalan yang kerap ditanya di facebook saya: bagaimana cara untuk menyimpan?
SIMPANAN merupakan satu tahap yang paling penting dalam pengurusan kewangan. Dalam semua buku-buku pengurusan kewangan di seluruh dunia dan tempatan akan menekankan perkara ini.
Malah di dalam Al-Quran sendiri, cerita Nabi Yusof menunjukkan bahawa menyimpan itu adalah sengat perlu.
Di dalam modul pengurusan kewangan yang saya kendalikan, SIMPANAN diletakkan sebelum PERLINDUNGAN dan PELABURAN.
Sekiranya seseorang itu gagal untuk menyimpan, maka sebenarnya dia telah gagal untuk menguruskan kewangannya dengan baik. SIMPANAN merupakan satu tanda aras pengurusan kewangan yang baik.
Ya, untuk memperkatakannya memang mudah, tetapi untuk melaksanakannya amat-amat payah dan sukar sekali!
Namun, tiada perkara mustahil di dunia ini!
Semoga tip-tip yang diberikan dapata membantu saudara-saudara untuk membuat simpanan…
Berapakah jumlah yang sepatutnya disimpan?
Sebelum pergi kepada kaedah bagaimana untuk menyimpan, pertama sekali harus letakkan matlamat terlebih dahulu.
Ada orang menyimpan untuk membeli rumah, ada orang menyimpan untuk menabung untuk pendidikan anak-anak, ada orang menyimpan untuk persaraan, ada orang menyimpan untuk menunaikan haji, dan sebagainya.
Contoh-contoh di atas adalah situasi-situasi berbeza-beza tujuan simpanan tersebut.
SIMPANAN yang paling utama adalah untuk DANA RIZAB / DANA KECEMASAN. Tujuan DANA RIZAB ini adalah untuk menyediakan kewangan yang cukup untuk memastikan kestabilan hidup seandainya kewangan kita terjejas.
Dalam kisah Nabi Yusof, Raja Mesir telah bermimpi tujuh ekor lembu gemuk dimakan oleh tujuh ekor lembu kurus, serta melihat tujuh tangkai gandum hijau di samping tujuh tangkai gandum kering.
Nabi Yusof mentafsirkan mimpi tersebut bahawa negara Mesir akan menghadapi tujuh tahun musim kemarau selepas tujuh tahun musim menuai hasil. Nabi Yusof menyarankan agar tujuh tahun pertama digunakan sebaik-baiknya untuk menanam dan menuai hasil dalam masa sama menyimpan sebahagiannya untuk menghadapi musim kemarau selepas itu.
Jadi, pendapat peribadi saya (saya terpaksa bold kerana takut disalahtafsirkan sebagai pendapat ulama’) jumlah yang sepatutnya untuk membuat simpanan adalah selama tujuh tahun perbelanjaan.
Ataupun, kita perlu menyimpan separuh daripada pendapatan kita.
Ya, satu jumlah yang besar!
Beberapa persoalan:
Mungkin timbul persoalan, Saya mempunyai pendapatan sebanyak 2000 sebulan, maka adakah saya perlu untuk menyimpan sebanyak RM 168,000 (RM 2000 x 12 bulan x 7 tahun)?
Oh, bukan begitu sebenarnya. Cuba baca kembali ayat-ayat saya sebelum ini; tujuh tahun perbelanjaan. Seseorang perlu menyimpan sebanyak tujuh tahun perbelanjaan, bukan tujuh tahun pendapatan.
“Bagaimana sekiranya sememangnya saya berpendapatan RM 2000.00 dan perbelanjaan RM 2000.00?”
Saya mengandaikan perbelanjaan seseorang itu akan kurang daripada pendapatannya. Malah sepatutnya begitulah, kerana perbelanjaan melebihi pendapatan adalah neraka dunia.
Jadi, dalam situasi ini, ada dua pilihan yang perlu dilakukan:
Pertama: Mengurangkan perbelanjaan, atau
Kedua: Menambah pendapatan.
Saya lebih tekankan untuk menumpukan kedua-duanya, berbanding memilih salah satu. Ramai orang yang menghadapi masalah kekurangan wang, menumpukan aspek penambahan pendapatan. Namun, apabila pendapatan bertambah, maka perbelanjaan juga turut bertambah dan ia tidak menyelesaikan masalah.
Gali lubang, tutup lubang akhirnya…
Inilah yang disebut sebagai “gejala poket bocor’. Ia pernah saya sentuh dalam beberapa tulisan saya beberapa tahun dahulu;
Dengan mengurangkan perbelanjaan, secara automatiknya seolah-olah saudara menambah pendapatan. Sebagai contoh, sekiranya perbelanjaan kita selam ini RM 2000 sebulan, dengan mengurangkan perbelanjaannya kita kepada RM 1900, seolah-olah pendapatan kita bertambah RM 100. Maknanya, jika selama ini di hujung bulan tiada langsung duit baki, tetapi dengan cara pertama ini, saudara memiliki baki lagi RM 100 di hujung bulan.
Mungkin ada sesetengah orang yang langsung perbelanjaannya tidak boleh dikurangkan, maka sebab itulah ada pilihan kedua iaitu “menambahkan pendapatan”.
Apa yang penting di sini, selepas berjaya menambahkan pendapatan pastikan saudara kekalkan dengan perbelanjaan yang sedia ada.
Sekiranya sebelum ini pendapatan saudara RM 2000 sebulan dengan perbelanjaan RM 2000 sebulan, pastikan selepas pendapatan saudara meningkat kepada RM 2100, perbelanjaan saudara masih kekal pada tahap RM 2000.00.
Bersambung….
............................................................
Buku F.I.R.E - FINANCIAL INDEPENDENCE RETIRE EARLY
RM49.00
Harga termasuk kos penghantaran
Salam Afyan,
Tips yang bermanfaat…
Pay ourself first.
aku rasa macam kenal aje muka yang ada tanda |>|>|>
hehehehe
jadi kena kurangkan belanja dan tambah pendapatan???
kalau nak ikut cara nabi yusuf kena simpan separuh pendapatan kita
selama 7 tahun
waaaaa
30% pun masih jauh untuk dikejar inikan pulak 50%???
bayar diri sendiri dulu..betul2..tepat..
tuan ada cadangan cara menyimpan untuk pelajar universiti?