Salah Faham dan Penipuan : Bagaimana Menghadapinya?
Membaca tajuk berita di halaman S8 akhbar Sinar Harian Ahad lalu (3 Ogos 2008) yang bertajuk “Lelaki Dakwa Ditipu Syarikat Insurans”, membuat saya menggeleng kepala.
Sekalipun insurans bukan takaful, namun selaku wakil takaful saya turut terkena tempiasnya. Bak kata Karam Singh Walia pepatah, “seekor kerbau membawa lumpur, habis semua terpalit”.
Secara umumnya, industri insurans atau takaful di Malaysia dikawal selia oleh Bank Negara Malaysia. Jadi sekiranya anda rasa diperdayakan oleh syarikat insurans atau takaful, anda boleh membuat aduan kepada Bank Negara Malaysia. Selalunya Bank Negara akan berpihak kepada pelanggan dalam hal ini.
Salah Faham Boleh Diatasi Dengan Ilmu
Yang menjadi mangsa dalam hal ini adalah orang awam selaku pengguna. Selaku pengguna ia dapat dielakkan dengan adanya ilmu pengetahuan. Malah kadang-kadang ia berlaku akibat salah faham terutama di antara ejen dan pelanggan. Selalu berlaku salah faham ini berpunca daripada ejen, sama ada tidak sengaja atau secara sengaja.
Salah faham secara tidak sengaja mungkin berpunca daripada ejen yang masih belajar ataupun ejen yang masih baru. Seelok-eloknya apabila mengambil polisi insurans digalakkan memilih ejen yang berpengalaman sekurang-kurangnya lima tahun. Ia juga sebenarnya sebagai cabaran untuk ejen yang baru menceburi bidang ini untuk menempuh tempoh 5 tahun ini.
Salah faham ini berpunca secara sengaja daripada ejen yang mempromosi produk jualannya. Kadang-kadang lantaran mengejar kuota “close case”, segelintir ejen yang tidak beretika ini mengambil jalan mudah memperdaya pelanggan. Namun kembali kepada prinsip awal tadi, ia dapat dielakkan sekiranya pengguna bijak dan mempunyai ilmu pengetahuan.
Pertama sekali apabila didatangi oleh ejen insurans atau ejen takaful, pastikan dia mempunyai tauliah. Ia boleh disemak melalui kad autoriti daripada syarikat yang diwakilinya. Namun jangan mudah menerima begitu sahaja, buat pemeriksaan dengan syarikat takaful atau insurans yang diwakilinya bagi mendapat pengesahan sebenar. Ketika temujanji, cuba dapatkan nombor kod ejen tersebut. Kemudian semak nama dan nombor tersebut dengan syarikat. Andainya betul, maka anda bolehlah berurusan dengannya ke peringkat seterusnya.
Kisah Benar: Bagaimana Penipuan Boleh Berlaku
Namun tidak cukup dengan satu ujian sahaja. Di peringkat seterusnya juga, pelanggan dinasihati untuk sentiasa membuat semakan dengan pihak syarikat bagi memastikan ia sama dengan penerangan wakilnya.
Seorang kenalan yang telah terlibat lama di dalam industri ini bercerita kepada saya tentang bagaimana penipuan berlaku di dalam industri ini. Sebelum ini beliau ejen insurans dan kini telah berhijrah sebagai wakil takaful.
Beliau bercerita bagaimana kisah seorang ejen yang menipu dengan menunjukkan ilustrasi atau sebut harga palsu kepada pelanggan. Ditunjukkan kepada prospek tentang manfaat yang besar dengan caruman yang sedikit. Kemudian apabila polisi dikeluarkan, polisi tersebut pula dipalsukan yang bersesuaian dengan ilustrasi yang ditunjuk pada awalnya.
Namun, bak kata Karam Singh Walia pepatah, sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah jua. Akhirnya tembelang pecah apabila penyata tahunan yang dikeluarkan tidak sama dengan polisi yang dimilikinya.
Satu lagi kisah yang diceritakan oleh seorang rakan saya yang bekerja di sebuah bank swasta. Walaupun ia bukan di dalam kategori insurans atau takaful, namun ia boleh dijadikan panduan daripada mengelakkan diri daripada ditipu.
Beliau bercerita yang bank tempat beliau bekerja menyediakan pakej pinjaman tertentu kepada peniaga-peniaga kecil. Ia telah diambil kesempatan oleh sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab dengan menggunakan brosur dan pamplet bank untuk menipu.
Sang penipu menyamar sebagai pegawai bank, dan menggunakan bisnes kad sebenar untuk menyamar. Apabila pelanggan menghubungi pihak bank untuk mengesahkan kewujudan pegawai bank tersebut ternyata memang wujud pegawai bank yang disebutkan nama itu! Namun, yang datang kepada pelanggan tersebut sebenarnya adalah orang yang menyamar menggunakan nama pegawai yang sebenar. Siap dengan kad bisnes dan tag nama.
Salah Faham Bukan Penipuan
Sekiranya terjadi hal ini, eloklah segera laporkan perkara ini kepada pihak berwajib. Cuma pastikan ia sememangnya penipuan, kerana kadang-kadang yang berlaku adalah salah faham pelanggan memahami polisi. Seelok-eloknya sebaik sahaja memperolehi polisi atau sijil takaful, anda dinasihati untuk membaca keseluruhan terma di dalam polisi tersebut.
Sebab secara logiknya, apabila ejen menceritakan tentang faedah-faedah produknya tidak mungkin dia dapat menceritakan keseluruhan 100% kandungan polisi. Contohnya di dalam perkara penyakit kritikal, kira-kira 40 jenis penyakit kritikal yang dilindungi, sekiranya penerangan secara detil diberikan untuk menghuraikan keseluruhan penyakit mungkin memakan masa sehari suntuk.
Malah jika ejen berhadapan dengan prospek profesion kedoktoran, tentu berpeluh sang ejen untuk menjawab soalan-soalan yang diajukan oleh sang doktor. Saya sendiri pernah mengalaminya 🙂
Jadi, dalam perkara ini, tidak perlu meletakkan harapan yang tinggi wakil atau ejen takaful anda seorang yang maksum mampu menguraikan segala persoalan tentang polisi yang anda ambil. Bertindak proaktif dengan membaca polisi yang kita miliki adalah yang terbaik untuk mengelak daripada salah faham.
Untung Sekali, Rugi Berkali-kali
Sebenarnya apabila hal ini berlaku, yang rugi adalah ejen tersebut dan juga masyarakat akhirnya. Sebagaimana kisah ejen insurans yang menipu tadi, lesennya sebagai ejen telah ditamatkan dan dikehendaki untuk memulangkan balik ganti rugi kepada klien.
Dalam banyak kes penipuan, pihak syarikat atau Bank Negara akan berpihak kepada klien pabila cukup bukti pendakwaan. Jadi, dalam hal ini sebagai pengguna harus bijak menggunakan hak kita sebagai pengguna untuk menuntut hak kita. Tetapi selalunya daripada 7 orang yang ditimpa masalah ini, hanya seorang yang berani tampil ke hadapan.
Sebenarnya kes-kes penipuan insurans dan takaful ini adalah terpencil. Mungkin daripada 10 orang, mungkin seorang dua sahaja ejen yang memang tidak beretika ini. Tetapi ejen-ejen seperti inilah yang membawa lumpur hingga merosakkan keseluruhan industri ini dan menyebabkan masyarakat tidak percaya kepada instrumen kewangan ini.
Masyarakat menjadi rugi, khususnya kepada orang Melayu apabila terpaksa meminta-minta apabila berlaku musibah seperti kematian, sakit kritikal, kemalangan dan sebagainya. Walhal, dengan adanya instrumen takaful ini dapat menyediakan seluruh ahli masyarakat persediaan untuk menghadapi nasib malang ini sebelum ia berlaku lagi.
Jadi, apabila ini berlaku, siapa yang rugi? Mereka dan keluarga mereka!!!
............................................................Buku F.I.R.E - FINANCIAL INDEPENDENCE RETIRE EARLY
RM49.00
Harga termasuk kos penghantaran
biasalah bab-bab menipu ni. Diorang cukup suka. Aku tak tau nak tipu sape nih. Best ke menipu nih??