Hari Pertama Keberangkatan Dari Malaysia ke Arab Saudi
“Ayah, janganlah pergi”, rengek Zulaikha teresak-esak.
“Aika, biarlah ayah pergi. Bukannya lama”, Balqis memujuk adiknya Zulaikha, yang terkenal dengan sifat manja, anak nombor 2.
Air mata bergenang. Saya hanya tersenyum kelat sambil mendakap kemas sambil memujuk mereka, termasuk Danial dan Sarah yang teresak-esak. Eusoff hanya memerhatikan, masih tidak faham apa yang berlaku.
Video-video ini dirakam pada 2 Ogos 2017, kira-kira setahun yang lalu.
Hari yang amat bersejarah seumur hidup saya apabila dipanggil memenuhi jemputan-Nya dalam masa sama terpaksa berpisah dari keluarga tercinta selama lebih 40 hari.
Selepas pulang dari mengerjakan haji tahun lalu, antara azam saya ialah untuk berkongsi pengalaman-pengalaman menunaikan haji namun sehingga ke hari ini masih belum berkesempatan menunaikan sepenuhnya.
Selepas pulang, saya masih “berhutang” untuk menulis lagi tulisan-tulisan berkaitan pengalaman haji musim 1438.
Sempat mencoret beberapa pengalaman, antara yang viral;
1. Tips menunaikan haji ketika usia muda,
2. Pengalaman membawa pulang susu ibu dari Tanah Suci ke Malaysia (saya menunaikan haji bersama isteri yang baru habis berpantang dengan meninggalkan bayi yang baru berusia kira-kira 2 bulan dan masih menyusu badan)
Boleh klik hashtag #MemoriHaji1438 untuk carian tulisan-tulisan saya sebelum ini.
Dua tiga minggu kebelakangan ini rasa rindu Tanah Suci membuak-buak apabila saban hari ada sahaja terbaca khabar rakan-rakan yang menerima panggilan haji atau menghantar sanak saudara menunaikan haji, lewat di media sosial.
Hati ini meronta-ronta untuk mencoret sesuatu, hari ini baru digagahkan.
Terus saya buka folder rakaman-rakaman video dan gambar sepanjang mengerjakan haji musim lepas, untuk melepaskan rindu Tanah Haram.
Sebulan di sana, rasa tak puas berada di bumi barakah Makkah Al-Mukarramah.
– Masih terasa betapa panasnya bahang suhu lebih 40 darjah celcius,
– Masih teringat penat tetapi puas berjalan kaki berulang alik ke Masjid Al-Haram lebih 1 km setiap hari, sesuatu yang mustahil saya lakukan di Malaysia
– Masih terbayang “main polis sentri” dengan polis Mekah apabila jalan-jalan masuk ke masjid ditutup,
– Masih terbayang burung-burung merpati jinak yg bertenggek & terbang sepanjang jalan,
– Masih terngiang-ngiang suara polis-polis Mekah menjerit “Ya Hajj! Toriq, toriq! Ya Hajj! Rasta, rasta!” utk mengarahkan jemaah bangun utk tidak menghalang laluan,
Ah, rindunya!
Untuk posting ini saya kongsikan hari pertama ketika keberangkatan dari Malaysia ke Arab Saudi.
Kami antara rombongan yang awal tiba di Mekah ketika musim lalu, kira kira sebulan sebelum hari Arafah yang jatuh pada 31 Ogos 2017.
Semoga ada manfaatnya coretan kali ini.
Buat rakan-rakan yang bakal mengerjakan haji, ini mungkin sedikit panduan yang bakal Tuan-Puan tempuhi nanti jika mengambil penerbangan dari KLIA ke Jeddah dan terus ke Mekah. Jika ke Madinah terlebih dahulu, berbeza situasinya.
Bagi rakan-rakan yang berazam mengerjakan haji, boleh tonton video-video ini untuk visualise dan bayangkan Tuan-Puan yang berada di sana.
Ringkasan Video
Video 1: Pemandangan di “terminal” Tabung Haji Kelana Jaya
Video 2: Lambaian terakhir dari anak-anak.
Video 3: Pemandangan jemaah haji di dalam kapal terbang.
Video 4: Pemandangan bandar Jeddah dari awan
Video 5: Tiba di Lapangan Terbang Jeddah
Video 6 – 9: Pemandangan di Makkah Al-Mukarramah.
Jika saya sambung, topik apa yang rakan-rakan ingin saya kongsikan?
Afyan Mat Rawi
Alumni Haji 1438,
Hotel Fajar Baie 4, Maktab 86,
Makkah.
Sumber dari FB Afyan Mat Rawi
............................................................Buku F.I.R.E - FINANCIAL INDEPENDENCE RETIRE EARLY
RM49.00
Harga termasuk kos penghantaran