fbpx

Kembara Korban Kemboja 2014

  • 12 months ago
  • 11Minutes
  • 2041Words
  • 588Views

3 Oktober 2014 – Veni, Vedi, Vici! — at អាកាសយានដ្ឋានអន្តរជាតិភ្នំពេញ – Phnom Penh International Airport

Catatan Kembara | Misi Korban Kemboja.

Hari Pertama.

Alhamdulillah, selamat tiba di Phnom Penh, Cambodia.

Mengiringi kami, Ustaz Nasrullah yang pernah belajar di Kelantan, fasih berbahasa Melayu dialek Kelantan.

Ketika status ini ditulis, kami masih dalam kesesakan jalanraya di Phnom Penh. Dijangka perjalanan menuju ke Kampung Champ kira-kira 5-6 jam.

Bergerak keluar dari Phnom Penh menyaksikan masyarakat di ibu kota Phnom Penh. Trafik di sini tidaklah sesesak Kuala Lumpur. Peraturan trafik juga agak longgar.

Motosikal menguasai jalanraya. Mungkin kerana harga petrol di sini agak tinggi.

Oh ya, harga petrol di Malaysia masih murah jika dibandingkan dengan harga petrol di Cambodia USD1.20.

Bersyukurlah….

Phnom Penh, Cambodia.
3 Oktober 2014, 5:30 ptg.

************

Alhamdulillah kami selamat tiba di daerah Phum Trea dalam negeri Kampung Cham.

Negeri ini dalam sejarah merupakan bekas Kerajaan Melayu Islam Champa yg jatuh akibat serangan dari Vietnam sekitar tahun 1900-an.

Perjalanan 330 KM dari ibu kota Phnom Penh, memakan masa kira-kira 6 jam termasuk berhenti rehat makan dan solat jamak maghrib-isyak.

Jalanrayanya, fuhhhhh….

Berselang seli antara jalan tar dengan jalan tanah merah sepanjang perjalanan. Kami juga melintasi Sungai Mekong dengan menaiki feri.

************

Tiba di sini pada jam 11:00 malam waktu tempatan. Kami menginap di Madrasah Al-Hidayah Al-Islamiyah yang sudah dibangunkan sejak tahun 1994. Tahun ini genap 20 tahun.

Madrasah Al-Hidayah Al-Islamiyah

Pembelajaran di sini mirip pengajian pondok di Malaysia. Jumlah pelajar sekitar 200 orang dari pelbagai umur. Kewangan di sini hanya bergantung kepada yuran pelajar dan sumbangan orang ramai.

Kata seorang rakan, jika dibandingkan dengan di Gombak, jika masuk jalan Ulu Yam pun sudah tidak ada talian telefon, apatah lagi internet.

Jika tidak, mana mungkin saya menulis dan berkongsi catatan ini.

Phum Trea, Kampung Champ, Cambodia.
3 Oktober 2014, 11:50 malam.

Catatan Kembara | Misi Korban Kemboja.

Hari kedua.

Waktu subuh di sini, 4:30. Dari segi zon masa, Malaysia dan Kemboja berada dalam satu garis masa yang sama.

Jika di sini sudah subuh, di Malaysia beza beberapa minit pula akan subuh.

Jam di sini awal satu jam berbanding Malaysia. Jika di sini 4:30, di Malaysia sudah 5:30.

Usia solat subuh, kami dihidangkan santapan rohani kuliah subuh oleh tenaga pengajar di sini.

Nampak?

Hanya faham beberapa perkataan seperti Allah, Rasul, akhirat, usaha, sahabat, Quran, anugerah, kurnia dan lain-lain juga apabila membaca ayat Quran dan Hadith.

Oh ya, nampak tak apa yang saya nampak? Ada dalam satu gambar yang saya kongsikan ini.

Kemboja,
5:30 pagi.

************

Kecewa dengan politik Malaysia, kami berhijrah ke Cambodia.

************

Ini bukan guru mengajar lembu mengeja.

Ini merupakan sebahagian nama-nama utk aqiqah yang sempat dilaksanakan pagi tadi.

Ada beberapa bahagian untuk aqiqah dilaksanakan awal, hari ini dan beberapa ekor dilaksanakan lewat, selepas raya nanti kerana jumlah penyertaan sangat menggalakkan.

Jadi esok hanya fokus kepada lembu utk peserta qorban sahaja.

Gambar sebelum kejadian.

************

Pertama kali menatap Sungai Mekong yang kali pertama pelajari ketika sekolah menengah, dalam pelajaran geografi untuk peperiksaan PMR.

Sungai Mekong, sungai terpanjang di Asia yang turut merentasi Tibet, China, Myanmar, Thailand, Laos, Kemboja dan Vietnam.

berkampung di Kampung Pham Trea dan Kampung Pikud, dua perkampungan masyarakat Islam di pesisir Lembah Mekong, dalam negeri Kampung Cham.

Para sukarelawan NGO Syabab Care dipecahkan kepada dua kumpulan untuk membantu kerja-kerja ibadah korban esok.

Dari Kampung Pham Trea dan Kampung Pikud, kami melintasi beberapa kampung.

Kampung-kampung di sini berselang-seli antara perkampungan Muslim dan perkampungan masyarakat Buddha.

Untuk membezakan penduduk yang beragama Muslim dengan Budha adalah dari aspek pakaian.

Jika memakai tudung, maknanya ialah Muslim.

************

Masjid di Madrasah Al-Hidayah Al-Islamiyah

Masjid di Madrasah Al-Hidayah Al-Islamiyah ini adalah hasil waqaf seorang jutawan warganegara Amerika Syarikat berbangsa Pakistan.

Ia diimarahkan oleh para penuntut dan penduduk sekitar.

Ramai di sini melibatkan diri dalam jemaah tabligh.

Tenaga-tenaga pengajar di sini juga ramai yang pernah belajar di Malaysia, antaranya di Kemaman, Terengganu, Pulau Pinang dan Kelantan.

Masjid Sri Petaling di Malaysia menjadi pusat gerakan dakwah antarabangsa mereka.

************

Teka, apakah?

Pertama kali seumur hidup beraya tanpa keluarga di sisi.
Pertama kali menyambut raya tanpa ibu, ayah, isteri dan anak-anak.
Pertama kali menyambut raya di negara orang.
Baru dapat menghayati lagu “Dendang Perantau”.

Seorang lelaki di pinggir Sungai Mekong.
Pandangannya jauh menerobos ke hujung benua Asia.
Hatinya meronta ingin kembali bersua keluarga.
Jiwanya sedang gersang kerinduan.
Bagai Ibrahim yang terpisah Hajar dan Ismail.
Kerana menunaikan tanggungjawab pada Sang Pencipta.
Begitulah lelaki ini terpisah jauh di bumi Kemboja.
Moga angin semilir perlembahan Mekong ini membawa salamnya kepada mereka…

Afyan Mat Rawi,
8:30 malam, 4 Oktober 2014,
Phum Trea, Kampong Champ, Kemboja.

************

Sesuatu yang menarik perhatian saya dan rakan-rakan, juga wajar diinsafi ialah rata-rata penduduk di sini tiada yang berbadan gemuk.

Kami menginsafi diri sendiri yang “sihat-sihat”.

Kata Ustaz di sini, penduduk di sini susah nak makan dan perlu kuat bekerja. Maka dengan sebab itu badan mereka sedemikian rupa.

Kami insaf lagi.

************

Catatan Kembara | Misi Korban Kemboja.

Hari ketiga.

Bu,
Hidupmu berbudi,
Matimu berbakti.
Korbanmu hanya utk Ilahi,
Moga bertemu di syurgawi.

************

Hari ini hari raya Aidil Adha disambut di sini, sama seperti di Malaysia.

Tahun ini pertama kali saya beraya di perantauan, tanpa keluarga di sisi, tanpa ibu, ayah, isteri dan anak-anak seperti biasa. Bersolat sunat Aidil Adha di Masjid Madarasah Al-Hidayah Al-Islamiyah, Phum Trea, Kompong Champ, Kemboja.

Mengambil roh pengorbanan Ibrahim yang meninggalkan Siti Hajar dan Ismail di tengah kontang padang pasir bumi berkah. Misi kembara kami amat bermakna hari ini apabila melaksanakan ibadah korban membawa amanah dari rakan-rakan di Malaysia.

Ini pertama kali kami bersama NGO Syabab Care yang ditubuhkan secara sukarela bersama rakan-rakan di Gombak melaksanakan misi korban di Kemboja ini.

Mudah-mudahan agenda korban hari ini berjalan lancar dengan hampir 100 ekor lembu yang akan disembelih di dua lokasi berbeza di sini.

Ada juga sebahagian lembu dan kambing untuk aqiqah yang akan dilaksanakan selepas kami pulang kelak kerana masa yang mencemburui, maka hari ini fokus untuk korban sahaja.

Moga ibadah kita semua diterima ALLAH.

Afyan Mat Rawi,
5 Oktober 2014,
Kompong Champ, Kemboja

************

Restoran Malaysia yang ada di Pnom Penh

************

Sepanjang 3 hari 3 malam di sini, kami menumpang teduh di Madrasah Al-Hidayah Al-Islamiyah, Phum Trea dalam negeri Kompong Champ.

Madrasah ini sungguh dhaif. Pejabatnya hanya meja kecil dan komputer beserta printer lama.

Eletrik, walaupun sudah ada sejak 2 tahun yang lalu, namun sekejap ada sekejap tiada.

Aktiviti malam raya kami di Kompong Champ, Kemboja.

Membakar daging kambing sambil ditemani cahaya smartphone dan powerbank sambil diselang-seli lampu eletrik yang kadang-kadang ada, kadang-kadang tiada.

Tanpa TV, Astro dan radio.

Mujurlah talian internet masih OK.

Dapatlah juga saya kongsikan status ini

Air dari paip adalah dari Sungai Mekong yang berdekatan. Airnya keruh. Sekeruh air Sungai Mekong selepas musim bah. Kebetulan kampung ini baru sahaja dilanda banjir termenung selama 3 bulan lamanya.

Air paip yang bersumber dari Sungai Mekong

Air minum kami dibekalkan air dari botol mineral.

Gaji guru mengajar dia ini hanyalah USD100 yakni lebih kurang RM360 sahaja. Itupun sudah banyak bulan tertunggak.

Bayangkan dengan harga petrol yang jauh lebih mahal dari Malaysia, kos sara hidup yang sama seperti Malaysia, USD100 sangat jauh utk menampung kos kehidupan di sini.

Sungguh menyedihkan suasana di sini. Apabila saya kongsikan dalam beberapa group whatsapp, ia mirip Malaysia pada zaman 60-70’an. Wallahua’lam, saya belum lahir waktu itu.

Daripada sumbangan orang ramai utk program korban kami Syabab Care ini, dapatlah kami berikan sedikit sumbangan untuk mereka sebelum berangkat pulang esok.

Jika ada yang berhasrat untuk membantu, boleh hubungi terus nombor pejabat madrasah dalam salah satu gambar yang saya kongsikan.

Boleh juga berhubung melalui NGO yang saya sertai ini, Syabab Care. Klik di sini

Catatan Kembara | Misi Korban Kemboja.

Hari keempat.

Inilah bangunan Madrasah Al-Hidayah Al-Islamiyah, tempat kami menumpang teduh 4 hari 3 malam.

Madrasah Al-Hidayah Al-Islamiyah

Hari ini kami akan berangkat ke Phnom Penh utk bermalam di sana pula sebelum pulang ke tanah air pagi esok.

Madrasah yang ditubuhkan sejak tahun 1994 ini mempunyai sejarahnya tersendiri utk membangun sehingga kini.

Bangunan simen yang baru menggantikan bangunan lama di belakang yang dibina daripada kayu.

Pelajar di sini berjumlah 290orang dengan 14 orang tenaga pengajar, dengan yuran hanya RM20 sebulan.

RM20 bukan RM200, termasuk makan dan asrama.

Apabila ditanya kepada mudirnya, Ustaz Muhammad Amin bin Soleh katanya jika diletakkan yuran yang tinggi akan menyebabkan kesukaran di pihak keluarga pelajar utk menghantar anak-anak mereka belajar di sini.

Gaji para guru pula sekitar RM300 sahaja, dan kadang kala kesuntukan wang untuk membayar gaji mereka.

************

Ini sarapan pagi kami sepanjang di sini.
Tiada roti canai, nasi lemak, nasi dagang….
Ini rahsia orang-orang Kemboja tidak ada yang gemuk.

************

Bersiap sedia untuk perjalanan 5 jam ke Phnom Penh.

Oh bukan saya yang memandu. Jangan keliru.

Di sini mengamalkan pemanduan kiri.

Sepanjang menaiki van ini, kami pun terkeliru dengan kenderaan yang datang dari sebelah kiri dari arah berbeza.

************

Antara mata pencarian rakyat Kompong Champ, menjual tilam.

Sungguh mengkagumkan, tilam-tilam ini dibawa dan dijaja menggunakan motosikal sahaja!

Sungguh kreatif orang di sini.

Terngiang-ngiang suara dari lori di Malaysia;

“Tilam-tilam. Tilam lama tukar baru!”.

[EDITED selepas 12 jam gambar ini diupload: Ada yang tak percaya tilam-tilam ini diusung dengan motosikal. Boleh lihat pada komen saya utk melihat dari arah depan, diambil dari kamera lain]

************

Sungguh mencabar perjalanan kami.

Baru sejam dua bergerak, kami sudah diuji van yang kami naiki tersangkut dalam selut.
Jalan tanah merah tidak berturap bagaikan babak-babak dalam “Camel Trophy”.

Berbeza dengan perjalanan ketika datang ke mari beberapa hari lalu yang gelap dalam gelita malam, pagi yang cerah hari ini memungkinkan kami dapat melihat suasana sebenar kampung di sini.

Pertama kali juga melihat gerai babi yang sudah disembelih secara live.

************

Harga petrol di sini lebih mahal dari Malaysia.

Kira-kira RM3.00++ seliter. Itu pun untuk RON92.

Benarlah kata pemimpin negara, harga petrol Malaysia lebih murah dari negara-negara lain di Asia Tenggara.

Tapi sesuailah, memandangkan Cambodia buka negara pengeluar petrol seperti Malaysia.

************

Only in Cambodia

************

Teka, apakah?

[UPDATED 3 jam selepas gambar status ini diupload tadi: Tadi kongsikan gambar ini. Ramai yang komen geli, loya dsb.

Tapi komen paling lajen dari Abam Zaidi Ismail;

“Geli konon … ada orang makan riba tak geli pun.”
Saya insaffff…. (Tangan di habu, mata ke atas)

************

Ini “peti ais” di madrasah yang kami tumpang berteduh beberapa hari.
Eletrik di sini harganya mahal, USD1 utk 1kwj. Sangat mahal berbanding Malaysia.
Oleh sebab itu, mereka tidak mampu untuk menampung kos eletrik yang tinggi walaupun boleh mengumpul wang untuk membeli ais.

Malah kami juga ingin menawarkan mereka utk membeli peti ais tapi ditolak dengan baik atas faktor kos eletrik yang melampau-lampau.

Alternatifnya, lahirlah “peti sejuk” ini, yang diisi dengan ais batu dan diganti-ganti setiap hari.

Dengan cara inilah juga mereka menyimpan daging-daging korban yang disedekahkan utk mereka.

Allahuuuu…

Berjalan, melihat, mentafsir dan menginsafi….

[Jika rakan-rakan berhajat untuk menyumbang barang seringgit dua, boleh hubungi NGO Syabab Care melalui FB. Klik di sini

************

Dari hari pertama hingga terakhir kami disajikan dengan air mineral ini. Ia disajikan ketika sarapan, makan tengah hari dan makan malam.

Antara lain, sebab air dari paip terlalu keruh, sekeruh Sungai Mekong.
Di hari ini baru saya tahu, memang mereka di sini tidak kenal air sirap, air oren dll seperti di Malaysia.

Allahuu…

************

Catatan Kembara | Misi Korban Kemboja.

Hari kelima (Hari terakhir)

Malam akhir malam tadi, Sungai Mekong menjadi saksi pertemuan dan perpisahan kami.

Ustaz Nasrullah mewakili Madrasah Al-Hidayah Al-Islamiyah mengucapkan ribuan terima kasih kepada kami semua dan mengalu-alukan kami semua utk datang lagi lain kali.

Moga sumbangan kami diterima Allah.

Hari ini kami akan berangkat pulang ke KLIA.

************

Only in Cambodia.

Membaca jambatan ilmu.

************

Tut-tut

Cuba kira, berapa boleh muat tut-tut ni?

************

Kembara Kemboja tamat. Misi selesai.
Meninggalkan 1001 kenangan indah.
Moga ALLAH menerima amalan kami semua.
Terima kasih kepada semua yang sudi membaca catatan saya selama 5 hari.
Sudikan memberi komen ikhlas rakan-rakan.

************

Kutinggalkan kenang-kenangan semalam di Kemboja dan kembali ke mood normal.

Ada keluarga yang perlu disantuni selepas kutinggalkan mereka hampir seminggu. Pertama kali mereka beraya tanpa insan bernama ayah dan suami di sisi.

Esok, ada assignment penting yang perlu disiapkan untuk dihantar. Jika tidak, tidak boleh sambung ke kelas seterusnya.

Lusa pula ada peperiksaan lain yang perlu diduduki. Perlu lulus utk membina momentum baru bisnes.

Masa amat mencemburuiku. Teringat pesanan Imam as-Syahid Hassan Al-Banna “Tanggungjawab yang kita ada lebih banyak dari masa yang kita ada”.

Hidup adalah perjuangan.

Bisnes, dakwah, siasah, keluarga, adalah jalan menuju redha-Nya. Ia adalah alat, bukan matlamat.

Baru sahaja “keluar” 5 hari sudah terasa tertekan dihimpit masa. Bagaimana agaknya dengan sahabat-sahabat dakwah yang mewakafkan hidup dan matinya untuk jalan Allah.

Sesungguhnya hanya sedikit sahaja cabaran yang aku lalui utk tempoh tidak sampai seminggu ini di bumi Kemboja.

Moga ALLAH berikan daku kekuatan utk “Terus Istiqamah” di jalan-Nya.

............................................................
Buku FIRE
Buku F.I.R.E - FINANCIAL INDEPENDENCE RETIRE EARLY
RM49.00
Harga termasuk kos penghantaran

www.BukuFIRE.com

Apa komen Saudara/anda tentang tulisan ini?

Recommended
Program ini anjuran NGO Nisa ' Shah Alam.