Malaysia mesti kekal berprinsip walau ditekan kuasa besar

  • 3Minutes
  • 401Words
  • 8Views

Membaca artikel The Patriots ini, perasaan saya bercampur-baur.

Pertama, rasa terkejut apabila mengetahui demand Trump terhadap Malaysia.

Syarat-syarat yang dikemukakan sangat-sangat melampau.

Sampai tahap pensijilan halal JAKIM pun dia mahu campur tangan.

Kedua, rasa bangga dengan pendirian kerajaan Malaysia apabila menolak syarat-syarat tersebut.

Jika diterima, sudah tentu akan memberi impak besar kepada ekonomi, dasar-dasar negara, dan maruah rakyat.

Namun sebagai akibatnya, kita terpaksa menerima tarif yang lebih tinggi dikenakan oleh Amerika Syarikat.

Untuk hal sepenting ini, semua ahli parlimen patut bersatu mengenepikan sentimen politik parti.

Tiba-tiba saya teringat satu peristiwa penting yang berlaku ketika zaman Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri pada awal 1980-an.

Ketika itu, beliau melancarkan kempen berani yang diberi nama Buy British Last.

Ia adalah reaksi terhadap tindakan kerajaan British yang mengubah dasar pendidikan dan dilihat menekan pelajar serta kerajaan Malaysia.

Tun M bertindak tegas.

Beliau menghantar isyarat jelas bahawa Malaysia adalah negara berdaulat dan tidak akan tunduk kepada tekanan kuasa besar, walau sebesar mana pun mereka.

Hari ini, sejarah seolah-olah berulang.

Bezanya, kali ini tekanannya datang daripada Amerika Syarikat yang cuba menggunakan isu tarif untuk memaksa Malaysia membuka pintu seluas-luasnya kepada pengaruh ekonomi mereka.

Antara syarat yang dikenakan jika Malaysia mahu mendapatkan diskaun tarif ialah:

Pertama, membenarkan syarikat AS memiliki sepenuhnya sektor strategik negara.

Kedua, melonggarkan sistem pensijilan halal JAKIM agar produk AS lebih mudah masuk pasaran Malaysia.

Ketiga, memberi akses bebas kepada syarikat AS untuk menyertai tender kerajaan Malaysia tanpa sebarang sekatan.

Ini bukan sekadar rundingan perdagangan, tetapi satu bentuk penjajahan ekonomi gaya moden.

Jika kita akur kepada syarat-syarat ini, ia bukan sahaja menggadaikan sektor strategik, bahkan merosakkan struktur ekonomi, sosial, dan prinsip asas negara.

Mujurlah setakat ini Malaysia masih teguh dengan pendiriannya.

Meskipun lebih 20 kali rundingan dijalankan dan Menteri MITI sendiri terbang ke Washington, kita tetap tidak tunduk kepada tekanan tersebut.

Kini, mungkin sudah tiba masanya untuk kita hidupkan kembali semangat Buy British Last.

Saya cadangkan satu kempen kesedaran nasional yang dinamakan Buy American Last, atau apa sahaja nama yang sesuai.

Kita bukan anti-Amerika.

Kita bukan anti-perdagangan.

Tapi kita anti-penjajahan ekonomi yang datang berselindung di sebalik istilah “pelaburan” dan “kerjasama perdagangan”.

Jangan sampai satu hari nanti kita sedar bahawa kita telah menyerahkan terlalu banyak hanya kerana mahu jimat beberapa peratus tarif.

Kerana apabila prinsip digadaikan, kerugian yang berlaku tidak lagi boleh ditukar dengan apa-apa nilai eksport.

Maruah sebuah negara tidak boleh diberi diskaun.

Dan Malaysia mesti kekal berprinsip.

Sumber dari FB Afyan Mat Rawi

............................................................
Buku FIRE
Buku F.I.R.E - FINANCIAL INDEPENDENCE RETIRE EARLY
RM49.00
Harga termasuk kos penghantaran

www.BukuFIRE.com

Add a Comment

Recommended
Saya simpati dengan apa yang berlaku ke atas Che Nom.…