fbpx

Ramai muslim belum hijrah ke KWSP syariah – Kenapa?

  • 2Minutes
  • 373Words
  • 14Views

“Kenapa KWSP tak buat automatik semua pencarum simpan akaun patuh syariah?”

Beberapa hari lalu, selepas pengumuman dividen KWSP, saya meluahkan kekesalan kerana masih ramai pencarum Muslim yang belum berhijrah ke Simpanan Shariah.

Halal dan haram bukan sekadar soal makanan, tetapi juga melibatkan kewangan dan simpanan kita.

Ada yang bertanya, kenapa KWSP tidak automatik menukar semua pencarum Muslim ke Simpanan Shariah?

Soalan ini wajar dan ada asasnya.

Jawapannya terletak pada Akta KWSP, khususnya Seksyen 27, yang menetapkan bahawa KWSP wajib memberikan pulangan minima 2.5% kepada semua pencarum, tanpa mengira situasi ekonomi atau prestasi pelaburan.

Ketetapan ini bercanggah dengan prinsip syariah kerana dalam pelaburan Islam, konsep perkongsian untung dan rugi mesti diterapkan.

Jika ada jaminan pulangan tetap, ia dikategorikan sebagai riba, yang jelas dilarang dalam Islam.

Sebab itulah, apabila KWSP memperkenalkan Simpanan Shariah, akta ini telah dipinda supaya pencarum Muslim mempunyai pilihan untuk berhijrah ke dana yang patuh syariah.

Dalam Simpanan Shariah, tiada jaminan pulangan tetap. Keuntungan yang diperoleh adalah berdasarkan prestasi sebenar pelaburan, seiring dengan prinsip pelaburan Islam.

Selain itu, dana dalam Simpanan Shariah hanya dilaburkan dalam kaunter-kaunter patuh syariah, tetapi masih mengekalkan objektif, strategi, dan profil pelaburan yang sama seperti KWSP Konvensional.

Jadi, untuk menjadikan Simpanan Shariah sebagai pilihan automatik bagi pencarum Muslim, Akta KWSP perlu dipinda sekali lagi.

Beberapa perubahan utama yang perlu dibuat termasuk:

1. Menghapuskan keperluan pulangan minima 2.5% dalam semua pelaburan KWSP.

2. Menetapkan bahawa semua pelaburan KWSP hanya dalam instrumen patuh syariah.

3. Atau paling kurang ewajibkan semua pencarum Muslim secara automatik ke dalam Simpanan Syariah, dengan pilihan diberikan kepada bukan Muslim untuk kekal dalam sistem konvensional atau turut serta dalam Simpanan Syariah.

Namun, pindaan ini tidak semudah menukar polisi. Ia memerlukan kelulusan majoriti ahli parlimen di Malaysia.

Untuk mendapatkan sokongan politik yang mencukupi, kerajaan yang memerintah perlu mempunyai keazaman politik (political will) untuk melaksanakan perubahan ini.

Setakat ini, kerajaan masih tidak bercadang untuk mewajibkan Simpanan Syariah, tetapi hanya menggalakkan umat Islam untuk berhijrah secara sukarela.

Sejak KWSP Syariah diperkenalkan tujuh tahun lalu, Malaysia telah bertukar empat hingga lima kali Perdana Menteri, tetapi belum ada mana-mana kerajaan yang benar-benar berusaha menjadikan KWSP 100% patuh syariah.

Ia bukan sesuatu yang mustahil, tetapi bukan juga sesuatu yang mudah.

Yang penting sekarang, pilihan sudah ada di tangan kita, jadi kenapa masih bertangguh?

Sumber dari FB Afyan Mat Rawi

............................................................
Buku FIRE
Buku F.I.R.E - FINANCIAL INDEPENDENCE RETIRE EARLY
RM49.00
Harga termasuk kos penghantaran

www.BukuFIRE.com

Apa komen Saudara/anda tentang tulisan ini?

Recommended
Memenuhi jemputan sebagai penceramah di bulan Ramadan memang mencabar. Bukan…