fbpx

Sentiasa Periksa Angin Tayar Spare Kereta (Bhgn 1)

  • 16 years ago
  • 3Minutes
  • 519Words
  • 401Views

Malang Tidak Berbau.

Ketika itu lewat malam. Kira-kira jam 11.30 tengah malam. Saya dalam perjalanan daripada selatan tanah air, menuju ke pusat bandar.

Di tengah perjalanan (sebenarnya tidaklah di tengah sangat), masih di lebuh raya utara selatan, tiba-tiba tayar kereta saya meletup.

Mujurlah saya dapat mengawal pemanduan. Kalau tidak silap saya, saya memandu dalam kelajuan yang agak laju kira-kira 120 km/j. Maklumlah, di tengah-tengah lebuh raya.

Oh, ya. Ketika itu saya masih menggunakan Merc Kanc. Kelajuan 120 km/j rasanya sudah cukup laju bagi kereta dengan keupayaan padu 850 cc.

Mujurlah itu bukanlah pengalaman kali pertama menggantikan tayar kereta. Saya meletakkan kereta di bahu jalan dan keluar untuk menggantikan tayar tersebut.

Saya mulakan dengan mengeluarkan alatan-alatan dari bonet kereta; spanar dan jerk (saya tidak pasti terjemahan kedua-dua perkataan ini di dalam bahasa Melayu). Saya mula meng”jerk” kereta untuk mengeluarkan tayar hadapan kiri kereta saya.

Ternyata itu bukanlah cara yang betul. Sepatutnya kereta di”jerk” selepas skru tayar kareta telah dibuka atau dilonggarkan. (Oh, mungkinkah spanar boleh diterjemahkan dengan “pembuka skru”?).

Maka “jerk” kereta terpaksa diturunkan dan skru tayar dilonggarkan.

Dua kali kereta terpaksa di”jerk”. Peluh jantan mula mengalir. Dalam kesuraman cahaya lampu neon, bulan dan bintang menjadi saksi nasib seorang jejaka malang di pinggir lebuhraya.

Akhirnya tayar yang pecah tersebut berjaya dikeluarkan.

Betul kata orang tua-tua, malang memang tidak berbau. Tetapi malang yang menimpa diri saya kali ini memang berbau. Tayar kereta yang pecah berbau hangit. Bukan setakat berbau, malah berbunyi lagi ketika meletup tadi.

Selepas itu, bermulalah episod yang kedua kisah malang pemuda berkenaan.

Sudah Jatuh Ditimpa Tangga.

Saya menepuk dahi selepas mengeluarkan tayar ganti dari dalam bonet. Aduh, tayar kereta ganti pula tiada angin. Huh, memang angin satu badan.

“Bukankah bagus sekiranya angin badan saya boleh dipindahkan ke dalam tayar tersebut”, getus hati saya berjenaka seorang diri untuk menghiburkan hati yang lara.

Jam menunjukkan pukul 12.15 tengah malam.

Saya cuba menyelongkar belakang bonet, manalah tahu terdapat pam tayar di situ, walaupun saya tahu bahawa saya tidak pernah memilikinya. Ternyata hampa…

“Ah, saya nasib baik saya memiliki buah fikiran yang bernas”, kata hati saya lagi.

Saya mengambil telefon dan mendail operator untuk mendapatkan nombor PLUS. Saya menghubungi nombor berkenaan untuk mengadukan permasalahan yang saya hadapi serta lokasi saya sekarang. Alhamdulillah, bantuan akan tiba.

Pukul 1.00 pagi.

Bantuan yang ditunggu-tunggu tiba. Sebuah lori bantuan PLUS dengan dua pekerja tiba membawa pam tayar. Pam tayar elektronik. Kali pertama saya melihat pam mudah alih secanggih itu.

“Encik, hidupkan enjin,” katanya.

Maka saya pun menghidupkan enjin kereta. Lantas salah seorang petugas PLUS yang membawa pam elektronik itu mencucuhkan “plug” pam tersebut ke dalam tempat pencucuh pemanas di dalam kereta saya.

Namun, datang pula kisah sedih lain apabila pam secanggih itu tidak dapat berfungsi. Ya, pertama kali saya melihat pam secanggih itu dan ia langsung tidak berfungsi. Maka ia menjadi episod malang ketiga pemuda berkenaan

Sebenarnya saya tidak jatuh ditimpa tangga. Tetapi saya jatuh ditimpa tangga dan terkena tahi ayam pula!

Nampaknya saya terpaksa menunggu 30 minit berikutnya untuk menantikan pertolongan seterusnya.

Pada jam 1 pagi barulah segala-galanya selesai dan kereta saya boleh bergerak.

Semuanya bermula daripada tidak memeriksa angin tayar ganti!

(ini adalah bahagian satu, nantikan sambungannya…..)

............................................................
Buku FIRE
Buku F.I.R.E - FINANCIAL INDEPENDENCE RETIRE EARLY
RM49.00
Harga termasuk kos penghantaran

www.BukuFIRE.com

3 Comments

Apa komen Saudara/anda tentang tulisan ini?

Recommended
Sila baca entri sebelum ini untuk pemahaman menyeluruh macam Colgate.…