Tanah kubur bukan tempat cari berkat, jauhi khurafat dan syirik

  • 2Minutes
  • 268Words
  • 80Views

Jauhi khurafat dan syirik. Nasihat yang baik dari Menteri Agama:

Saya mengikuti laporan berita mengenai tindakan segelintir pihak yang didakwa mengambil tanah dari pusara Almarhumah Nurly Shahirah Azman untuk tujuan kononnya mendapat “berkat”. Perbuatan sedemikian amat mendukacitakan dan bertentangan dengan prinsip akidah Islam yang murni.

Islam mengajar umatnya agar menjaga adab terhadap orang yang telah meninggal dunia serta menghormati kawasan perkuburan. Tanah kubur bukan tempat mencari keberkatan mahupun populariti. Sebaliknya, kita digalakkan untuk menziarahi kubur sebagai peringatan terhadap kematian, menambah keinsafan, dan mendoakan kesejahteraan roh si mati – bukan untuk tujuan-tujuan yang boleh membawa kepada syirik atau khurafat.

Saya menyeru kepada seluruh umat Islam agar berhati-hati dalam setiap amalan dan tidak terikut-ikut dengan perbuatan yang tiada asas dalam syariat. Tindakan mengambil tanah kubur dan menyapunya ke wajah, jika disertai dengan keyakinan bahawa ia membawa keberkatan atau kuasa tertentu, boleh menjurus kepada perbuatan menyanggahi batas-batas syariat.

Saya juga menyokong tindakan keluarga Almarhumah yang tegas namun berhemah dalam menangani isu ini, serta usaha pihak berkuasa agama yang memantau kawasan perkuburan. Ini selari dengan usaha berterusan pihak kerajaan dalam membanteras amalan khurafat dan memperkukuh akidah umat Islam di negara ini.

Akhirnya, marilah kita bersama-sama mendoakan agar Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarhamah Nurly Shahirah dan memberikan ketabahan kepada keluarganya. Kepada yang terlibat, kembalilah kepada ajaran Islam yang benar – mohonlah ampun kepada Allah dan hentikan perbuatan yang sia-sia serta merosakkan akidah ini.

Sesungguhnya amalan yang paling dicintai oleh Allah adalah amalan yang paling benar, bukan yang paling popular.

Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im Haji Mokhtar
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)

Sumber dari FB Afyan Mat Rawi

............................................................
Buku FIRE
Buku F.I.R.E - FINANCIAL INDEPENDENCE RETIRE EARLY
RM49.00
Harga termasuk kos penghantaran

www.BukuFIRE.com

Apa komen Saudara/anda tentang tulisan ini?

Recommended
Ada seorang rakan tag saya di komen posting ini. Saya…