Membetulkan mitos Atatürk bukan bermaksud menyokong sekularisme

Apabila kita membetulkan beberapa mitos tentang Mustapha Kemal Atatürk yang popular di alam Melayu dan Nusantara, ia tidak bermaksud kita menyokong faham sekularisme yang dibawa oleh beliau.

Meluruskan fakta sejarah adalah usaha menegakkan kebenaran, bukan usaha menghalalkan ideologi.

Jika kita berkunjung ke Turkiye, pemandangan gambar bersaiz besar tokoh yang dianggap sebagai Bapa Pembangunan negara itu merupakan sesuatu yang biasa.

Ia adalah realiti sosial dan politik yang masih hidup dalam masyarakat Turkiye sehingga hari ini.

Namun kisah Mustapha Kamal yang paling popular dalam kalangan masyarakat kita selalunya berkisar tentang kematian beliau.

Kisah menjelang ajalnya sering digambarkan dengan naratif bahawa jasadnya ditolak oleh bumi.

Saya pertama kali mendengar kisah ini ketika zaman remaja, pada waktu idealisme mahasiswa sedang membara.

Pada usia itu, emosi mudah mendahului penelitian terhadap sumber.

Namun apabila kita semakin matang, kita terpaksa mengakui bahawa kisah tersebut tidak mempunyai sandaran sumber yang sahih.

Ia lebih dekat kepada mitos yang diwarisi secara lisan daripada fakta sejarah.

Kita tidak menafikan tindakan Mustapha Kamal menamatkan sistem Khilafah Islamiyyah Uthmaniyyah di Turkiye.

Kita juga tidak menafikan pendekatan keras beliau yang mengubah Turkiye daripada pusat pemerintahan Islam kepada sebuah negara sekular.

Kita tidak menafikan tindakan melampau beliau yang sukar diterima oleh umat Islam, termasuk menukar laungan azan daripada bahasa Arab kepada bahasa Turkiye.

Semua ini bukanlah tindakan yang boleh diterima dari sudut ajaran Islam.

Namun Islam tidak mengajar kita untuk mencipta cerita rekaan walaupun terhadap musuh.

Membetulkan mitos tentang kematian Mustapha Kamal tidak bermaksud kita menyokong kezaliman atau dasar sekular yang beliau laksanakan.

Ia juga bukan tanda kita berkompromi dengan faham yang bercanggah dengan Islam.

Islam tidak mengajar kita melawan musuh dengan fitnah dan pembohongan.

Islam mengajar kita berlaku adil walaupun terhadap orang yang paling kita benci.

Kebenaran tetap kebenaran, walaupun ia tidak memihak kepada emosi kita.

Fitnah terhadap musuh bukanlah senjata orang beriman dan bukan juga ajaran Islam.

Sumber dari FB Afyan Mat Rawi

Add a Comment