Alahai Buluhmas…. (Update)


Kali pertama mendengar nama Buluhmas adalah kira-kira beberapa hari sebelum bulan Ramadhan yang lalu.

Dengan motto “biar di manapu, kami iklankan”, Buluhmas bergerak mengrekrut promoter-promoter untuk mempromosi stiker Buluhmas.

Daripada bulan Ramadhan hingga ke Syawal, rasanya tidak kurang 10 orang yang bercerita tentang skim “pelaburan” Buluhmas ini.

Malah ia menjadi topik perbahasan hangat ketika sanak saudara berkumpul dalam bulan syawal lali.

“Syarikat ini membantu bumiputera Muslim”, kata seorang ahli saudara.

“Ia mempunyai rangkaian kedai dan merancang untuk membina sebuah hyper-market di setiap negeri”, tambahnya lagi.

“Untuk permulaan kita perlu membayar RM 15 sahaja untuk mendapat upah RM 1 setiap bulan. Duit ini akan diperolehi sampai bila-bila! Lagi banyak kita laburkan, lagi banyak kita dapat. Ia boleh mencecah 20% sebulan!!!”

“20% sebulan? Maknanya 120% setahun”, balas saya.

“Ya, betul”, katanya tanpa ragu-ragu.

“Maknanya lebih hebat daripada ASB, dan Tabung Haji. Malah lebih hebat daripada pakar pelaburan dunia Warren Buffet?”, saya menduga.

“Ya. Ia membantu produk bumiputer Muslim. Banyak syarikat IKS yang menghantar produk ke Buluhmas untuk dijual”, katanya penuh yakin.

Saya hanya menggeleng-geleng kepala.


Mudahnya Mereka, Sukarnya Saya…

Sukar juga sebenarnya untuk menasihati sanak saudara, ahli keluarga sendiri serta orang-orang-orang terdekat kita untuk menjauhi skim-skim sebegini.

“Kawan tu dah dapat balik modal dia 5 bulan lepas. Sekarang bulan-bulan rilek je tunggu cek”

“Kita sebenarnya nak menolong. Nak menolong ekonomi orang Islam, nak menolong ekonomi orang Melayu, nak menolong IKS”

“Syarikat ini berdaftar. Pejabat dia kat Tanjung Karang. Afyan boleh datang sana tengok pejabat dia dan jumpa orang-orang di sana”

“Setakat ini dah ramai yang berjaya. Ada orang tu yang terpaksa jual kereta Nissan lama untuk melabur dan sekarang ni menggunakan Merce dengan duit pelaburan ini”

“Ada orang tu buat pinjama peribadi RM 10K, bulan-bulan dapat RM 2K. Bayar balik pinjaman baru seribu lebih ratus. So ada balance lagi dalam 5-6 ratus. Lepas setahun lebih, habis la hutang bank tu. Lepas tu bersih dapat RM 2K tu!”

Aduh, mudahnya syarikat-syarikat ini mempengaruhi mereka melabur di dalam skim mereka, dan sukarnya pula saya untuk menghalang mereka daripada terjerumus…..

Pelaburan Buluhmas yang power!
Ya, jika kali pertama mendengar penerangan yang “mengghairahkan” tentang Buluhmas, pasti kita akan “terangsang” untuk melabur di dalam Buluhmas.

Mana tidaknya, pelaburan kira-kira RM 1000, boleh menjanjikan pulangan kira-kira RM 200 seetiap bulan. Maknanya dengan RM 1000, menjamin pulangan RM 1200 setiap tahun!

Erti kata lain, dengan modal sebanyak RM 50,000, kita boleh goyang kaki sampai mati dengan wang pulangan sebanyak RM 10,000 sebulan. Malah, ada yang sanggup mengambil pinjaman peribadi sehingga RM 100,000 semata-mata untuk mendapat “pencen bersama Buluhmas”.

Mungkin Warren Buffet perlu datang ke Malaysia untuk mempelajari selok-belok bisnes daripada Buluhmas. Malah Barrack Obama perlu studi pelan perniagaan Buluhmas ini sebagai persediaan untuk mengambil alih presiden Amerika bagi mengatasi masalah sub-prima.

Atau sekurang-kurangnya, Sdra Pakdi boleh menuntut ilmu daripada CEO Buluhmas sebagai persediaan beliau untuk menjadi Islamic fund manager 🙂

Hari ini muka depan Utusan Malaysia: 4 Syarikat diserbu Bank Negara , dan salah satu daripadanya adalah Buluhmas.

Saya SMS berita ini kepada kawan-kawan dan saudara-mara saya terdekat yeng pernah mempromosi saya tentang Buluhmas.

Namun, masih ada juga pihak-pihak yang mempertahankan skim ini.

Alasan mereka masih sama: Ada orang yang nak sabotaj usaha-usaha: “membantu ekonomi orang Islam”, “membantu perniagaan IKS”, “membantu ekonomi orang Melayu”.

Alahai…

Update 15 Oktober 2008
Utusan Malaysia: BNM arah Buluhmas hentikan operasi selama tiga bulan

Lagi komen dan perbincangan tentang Buluhmas:
Norizamshah
Abd Fatah
EarnCent
Rohaizad
Din Beramboi
Pakdi

WP2Social Auto Publish Powered By : XYZScripts.com