Saya, Magnet dan …

Nota awal – Tulisan di bawah bukan saya yang menulisnya;

Dari LL.B ke Ejen Insurans

Semasa di universiti dulu, saya menuntut dalam jurusan undang-undang di sebuah institut pengajian tinggi awam di Malaysia. Ketika itu saya berpeluang mengenali ramai individu-individu hebat, berkarisma dan berpotensi. Di kalangan para penuntut undang-undang, ramai yang berimpian untuk menjadi peguam termasuk juga saya. Di buku-buku teks dan nota-nota para mahasiswa tercatat perkataan, “Lawyer in the making’” yang bermaksud peguam dalam pembikinan. Ini menggambarkan kehebatan semangat para penuntut undang-undang.

Saya tidak berhasrat menceritakan kisah saya yang tidak menjadi peguam atau pengamal undang-undang, tetapi ingin berkongsi satu cerita menarik tentang seorang sahabat saya sejak di alam universiti. Kisah ini tidaklah sehebat kisah kejayaan mendiang Lim Goh Tong atau Tan Sri Syed Mukhtar al-Bukhary mahupun mana-mana tokoh hebat nasional, tetapi kisah ini sangat signifikan dengan tajuk sebelum ini, ‘Sebuah kehidupan atau sekeping sijil?’

Kisah ini bermula di tahun 2004…

Pada tahun itu, saya di semester pertama tahun akhir pengajian di universiti. Seorang sahabat saya yang juga senior saya di universiti telah pun menamatkan pengajiannya dalam bidang undang-undang atau LL.B di universiti yang sama. Kisah ini adalah kisah sahabat saya bernama Afyan.

Antara topik perbualan pelajar-pelajar undang-undang di tahun akhir apa pekerjaan senior-senior kami yang telah tamat belajar. Kami bersembang tentang di firma guaman manakah para senior ber’praktikal’ atau bahasa bualannya ’chambering’ atau nama standard mengikut Akta Amalan Undang-Undang, ’Pupilage in Chamber’, kemudian di firma guaman mana pula mereka bekerja, di bank atau organisasi mana mereka menjadi penasihat undang-undang, ada yang menjadi majistret dan sebagainya.

Muncul nama seseorang

Tiba-tiba muncul nama Afyan di bibir segelintir rakan-rakan yang mengenali beliau termasuklah saya. Apa yang paling memeranjatkan dan membuatkan perbualan menjadi semakin hangat ialah apabila ada riwayat yang mengatakan Afyan tidak membuat ’chambering’. Maka ramailah yang mengutuk beliau yang mensia-siakan 2 tahun matrikulasi, 4 tahun di kampus induk mempelajari ilmu undang-undang.

Kutukan demi kutukan menjadi semakin rancak apabila ada yang mengesahkan Afyan memang enggan menjadi peguam, pengamal undang-undang atau apa jua karier yang mempunyai kaitan dengan undang-undang. Hati saya pula membuak-buak terasa seakan terhina kerana ada orang yang sanggup mensia-siakan hidup mereka begitu sahaja apatah lagi orang itu adalah orang yang sangat saya kenali.

Selang beberapa hari selepas itu saya mendapat berita kononnya Afyan bukan setakat tidak mahu menjadi peguam, malah beliau bersama beberapa rakanya keluar berniaga di kaki lima untuk menjual popia! Antara orang yang paling ’komited’ mengkritik karier Afyan ialah saya sendiri. Anggapan saya ialah sebagai pemegang ijazah undang-undang, sepatutnya kita mengikut disiplin ijazah yang dimiliki. Para graduan undang-unang telah dilatih secara profesional untuk memastikan undang-undang ditegakkan secara adil. Apatah lagi sebagai graduan sebuah universiti berpaksikan Islam maka menjadi kewajipan untuk membawa pembaharuan dalam sistem undang-undang agar lebih baik selaras dengan kehendak agama.

Kesedaran mula timbul

Diringkaskan cerita, saya mula menulis buku, terlibat sebagai fasilitator untuk RK Training bersama dengan Fadzli Yusof, Razak dan juga Afyan! Ketika inilah saya mula menyelami isi hati Afyan dan mendengar sendiri penjelasan beliau.

Mengikut Afyan, beliau sebenarnya tidak minat langsung dalam bidang undang-undang. Beliau menamatkan pengajiannya dalam bidang undang-undang sekadar hanya melengkapkan syarat masuk universiti. Jika dia meneruskan apa yang tidak diminatinya, dia tidak akan dapat pergi jauh dan mencapai potensinya yang sebenar. Maka Afyan cuba mengetahui apa yang diminatinya, apa yang dia paling suka lakukan, apa yang paling bersemangat bila melakukannya.

Memang diakui oleh Afyan di peringkat awal cabarannya kadangkala sukar dipikul apatah lagi dengan tahap mentaliti masyarakat yang memandang rendah pada mereka yang berniaga berbanding karier profesional contohnya seperti seorang peguam.

Banyak perniagaan yang beliau lakukan dari berniaga di bazar Ramadhan, menjadi pereka grafik dan percetakan, pelbagai MLM hinggalah kepada menjadi insurans iaitu karier yang dilakukannya sekarang secara serius.

Saya tidak berhasrat untuk mendedahkan berapakah pendapatannya sebulan tetapi pendapatannya hampir setaraf malah lebih banyak dari para peguam yang makan gaji. Malah Afyan memperoleh bonus iaitu mempunyai masa yang lebih untuk isteri dan anak malah berkesempatan bermain boling pada hari bekerja (pasti tidak perlu berebut atau beratur panjang di kaunter bayaran).

Nota Akhir:

  1. Tulisan tersebut adalah petikan daripada buku “Magnet Diri: Cipta Diri Lebih Berpengaruh dan Berjaya”, hasil buah tangan Sdra Amin Idris, terbitan PTS Millenia Sdn Bhd, di bawah tajuk ‘Sebuah kehidupan atau sekeping sijil?’
  2. Kira-kira setahun sebelum buku itu diterbitkan, beliau “menginterview” saya dan katanya ingin memasukkan ke dalam buku barunya. Namun saya tidak sangka sebegitu rupa yang diceritakannya. Habis bocor rahsia saya 🙂
  3. Di dalam buku tersebut juga, beliau masukkan satu tulisan saya daripada blog ini yang bertajuk “Haluan Yang Lain…”.
  4. Setahun sebelum itu juga, saya ada menulis tentang beliau yang bertajuk “Manusia Magnet”.
  5. Pada asalnya saya ingin membuat entri ini dengan tajuk “Saya, Amin Idris dan Magnet Diri, sebagaimana yang dibuat oleh Ustaz Hasrizal di dalam blog popularnya, saifulislam.com. Tetapi menukarnya di saat-saat akhir.
  6. Saya sebenarnya hampir terlupa tentang peristiwa lama yang diceritakan. Apabila membelek balik entri-entri lama, barulah saya perasan kisah-kisah lama seperti “berpisah” dengan kawan-kawan, bekerja membuat paip, buku yang melemahkan semangat, beg laptop dicuri, disindir kerana berniaga, dan lain-lain. Akhirnya saya simpulkan di dalam tulisan bertajuk “Mengapa Mahu Jadi Ejen Takaful?
  7. Buku ini amat sesuai untuk semua peringkat umur bagi meningkatkan estim dan motivasi diri dalam membina jaringan empayar persahabatan, sudah berada di kedai-kedai buku berhampiran dengan harga RM 17.90 / RM 19.90 (Sabah & Sarawak), atau berhubung terus dengan penulis di blognya www.aminidris.com, dan boleh mendapat autograf beliau.

Nota Tambahan:

  1. Pada tahun 2004 seperti yang diceritakan oleh beliau itu, saya sebenarnya tidaklah berniaga popia. Saya membantu ibu saudara saya di bazaar Ramadhan.
  2. Selepas saya grad daripada UIA, ada beberapa orang lagi junior yang tidak “chambering” dan tidak bekerja di dalam bidang guaman, antaranya  Sdra Amin Idris, dan Sdra Pakdi. Sampai juga ke telinga saya, yang saya telah mempengaruhi junior-junior saya di UIA supaya jangan “chambering”. Huhu…
  3. Akhir sekali, saya tidak ditaja oleh Sdra Amin Idris untuk entri ini bagi mempromosi buku beliau. Tetapi jika beliau ingin memberi komisen terhadap jualan bukunya, saya tidak menolak.

Basic CMYKCover Buku MAGNET DIRI: Transformasi Diri Lebih Menarik Dan Berjaya


MagnetoAmin Idris Magneto, watak antagonis dalam X-men. Tiada kaitan dengan Magnet Diri


SMK Putrijaya (105)Salah satu aksi magnetik Sdra Amin Idris yang memukau. Saya yang sedang duduk. Sebagaimana magnet, dua kutub yang sama akan berlawanan.

WP2Social Auto Publish Powered By : XYZScripts.com