fbpx

Doktor, klinik dan pendapatan syubhah

  • 4Minutes
  • 742Words
  • 15Views

DOKTOR, KLINIK DAN PENDAPATAN SYUBHAH

Oleh Dr Zaharuddin Abdul Rahman

Saya pernah mengalami sakit kaki dan setelah merujuk bahagian pertanyaan, mereka mencadangkan saya bertemu pakar tulang.

Kemudian doktor mengarahkan saya mengambil contoh darah, ujian air kencing dan x-ray kaki. Setelah lima minit nasihat, saya disuruh pulang dan diminta untuk datang kembali pada esok harinya.

Sebelum pulang saya dikehendaki membuat pembayaran terlebih dahulu. Bil dikeluarkan dan harganya mencecah RM400. Kos consultation doktor pakar tadi selama lima minit sahaja mencecah RM60. Perincian pembayaran juga ada di atas resit.

Apakah hukumnya kos seperti ini? Inilah gharar dan jahalah dalam harga perkhidmatan.

Nabi Muhammad SAW menegaskan:

“Nabi melarang daripada mengurus perniagaan dengan gharar.”

(Riwayat Muslim, 5/3)

Jahalah pula bermaksud ketidaktahuan dengan jelas mengenai barang yang dibeli, atau harga barang yang perlu dibayar. Justeru, secara ringkas, gambaran yang saya berikan di atas termasuk dalam kategori jahalah dan boleh juga dikategorikan sebagai gharar atau ketidaktentuan.

Pengajaran ringkas saya daripada huraian ini adalah, para doktor perlu sedar, pendapatan mereka yang dihasilkan dengan cara ini adalah syubhah, manakala sebahagiannya boleh dianggap tidak sah menurut Syariah.

Saya tidak mengatakan pendapatan cara begini haram, cuma cara ini kurang baik. Syubhah ini adakalanya boleh membawa kepada gharar fahish (gharar besar) yang merosakkan akad. Saya faham bahawa orang ramai telah biasa dan rela dengan cara ini, maka isu gharar dan kezaliman cara pengiraan ini tidak begitu ketara. Tetapi adalah lebih baik jika ia dapat diperbaiki.

Ini kerana disebutkan oleh ulama Islam ketika menerangkan tentang sifat gharar:

“Kerana ia adalah jualan barang yang tidak dilihat dan tidak disifatkan, maka ia tidak sah.”

Justeru, saya bimbang apabila pelanggan tidak diberitahu harga dan cara kiraan atau benchmark kiraan di awal akad pesakit dan doktor, ia boleh menjadi gharar yang besar.

Apa yang perlu dilakukan adalah mereka perlu mendedahkan dengan jelas sebarang kos rundingan atau rawatan sebelum ia dilakukan. Malah jika perlu, pihak doktor boleh menggantungkan kos rundingan mereka di hadapan bilik rawatan, seperti:

“1 minit hingga 1 jam kos rundingan: RM60 dan sebagainya.”

Cara ini dapat mengelakkan daripada jahalah dan gharar yang besar (gharar fahish) daripada berlaku dalam pendapatan mereka.

Ramai orang awam mungkin telah maklum dan biasa dengan kos doktor. Bagaimanapun andaian “orang sudah tahu harga” ini tidak menjamin elemen jahalah dapat dihindari.

Selain kos perundingan, kos ubat-ubatan yang diberikan juga menjadi jahalah dan gharar kedua.

Bayangkan, dalam kebanyakan keadaan, orang ramai langsung tiada kata atau have no say untuk memilih ubat. Semuanya ditentukan oleh doktor. Berbekalkan sangka baik kepada para doktor, semuanya reda tanpa soal dengan ubat yang dicadangkan oleh doktor.

Isunya adalah ubat-ubatan tersebut mempunyai harga yang pelbagai. Adakalanya kita tidak boleh memilih sedangkan mungkin wujud ubat yang sama fungsinya tetapi lebih murah. Malangnya, doktor telah menulis kepada farmasi untuk diberikan ubat tertentu, maka pesakit tiada kuasa melihat dan berbincang tentang harga dan fungsi ubat. Jika boleh berbincang, maka masalah jahalah dapat dielakkan.

Dalam kes saya di atas tadi, iaitu hari esoknya apabila saya bertandang ke pusat perubatan itu, didapati tiada sebarang masalah pada tulang kecuali asid urik saya yang tinggi. Doktor pakar tulang terus meminta saya berjumpa dengan seorang doktor lain kerana beliau mengatakan sakit kaki saya kemungkinan adalah penyakit gout. Hari kedua ini juga hanya empat minit bertemu tetapi dikenakan RM60.

Rawatan hari pertama seperti x-ray, harga ujian air kencing dan ujian darah, semuanya tidak saya ketahui harganya sebelum rawatan dilakukan. Ya, mungkin saya yang bersalah kerana tidak bertanya, tetapi demikianlah praktis majoriti orang awam. Mereka tidak bertanya dan hospital atau pusat perubatan pula tidak memaklumkan. Pesakit sememangnya jarang bertanya, seolah-olah reda dengan apa juga harga yang diletakkan tanpa banyak soal. Itu bagi yang berkemampuan, tetapi bagaimana pula jika tidak berkemampuan? Redha begini adalah tidak begitu menepati kehendak Syariah.

Ringkasnya, bagi mengelakkan jahalah dan gharar:

1. Harga rundingan doktor perlu dinyatakan sebelum rundingan bermula.

2. Jenis ubat dan harga setiap ubat yang ingin dicadangkan kepada pesakit perlulah diberitahu.

3. Semua harga rawatan, pembedahan dan yang berkaitan perlu dimaklumkan sebelum ianya dilakukan.

Lebih malang lagi, ada sesetengahnya seolah-olah mensyaratkan perkhidmatan ini dengan ubat di tempatnya sahaja. Ini sekali lagi membawa masalah Syariah di dalam industri perubatan apabila pesakit seperti dipaksa secara pakej untuk berubat dan membeli semua ubat yang dicadangkan tanpa sebarang soal.

Biasanya pesakit memang tidak menyoal kerana mereka sakit dan hanya ingin sembuh secepat mungkin. Saya cuma bimbang hasrat ingin sembuh ini menyebabkan mereka dinafikan hak untuk mengetahui harga ubat dan hak memilih.

(Tulisan asal daripada buku Wang, Islam dan Anda yang diterbitkan kali pertama tahun 2008)

Sumber dari FB Afyan Mat Rawi

............................................................
Buku FIRE
Buku F.I.R.E - FINANCIAL INDEPENDENCE RETIRE EARLY
RM49.00
Harga termasuk kos penghantaran

www.BukuFIRE.com

Apa komen Saudara/anda tentang tulisan ini?

Recommended
Konsert KRU ni berapa hari sebenarnya? Tadi tertonton video Konsert…