fbpx

Faraid: Ilmu Yang Semakin Ditinggalkan (2)

  • 9 years ago
  • 4Minutes
  • 600Words
  • 650Views

Tulisan ini adalah sambungan tulisan sebelum ini Tiga Abdul dan Faraid : Ilmu Yang Semakin Dilupakan

Hikmah Faraid

Salah satu hikmah Allah menurunkan ilmu faraid ini adalah untuk mengelakkan berlakunya perebutan harta pusaka peninggalan si mati. Semua ahli waris mendapat hak masing-masing. Ini adalah keadilan menurut Islam.

Ia berbeza dengan proses pembahagian harta bagi orang bukan Islam. Penama secara automatik akan menjadi penerima harta atau pampasan harta. Apabila berlaku kematian, maka tidak semua ahli waris akan mendapat harta tersebut.

Malah di dalam undang-undang pewarisan harta bagi bukan Islam, sekiranya ketika hidup pemilik mewasiatkan keseluruhan hartanya kepada haiwan sekalipun, ia adalah sah di sisi undang-undang dan ahli waris tidak boleh mencabarnya.

Saya pernah membaca berita di luar negara, seorang hartawan mewasiatkan hartanya kepada kucing kesayangannya. Kemudian, kucing tersebut menjadi kucing yang paling kaya di dunia!

Di sisi Islam, harta pusaka adalah hak milik kesemua ahli waris iaitu, suami atau isteri, ayah dan ibu, anak-anak, dan adik beradik.

Di dalam satu kursus penerangan tentang harta pusaka, seorang bukan Islam memuji konsep faraid ini di dalam Islam, kerana ia memberi keadilan kepada para isteri.

Dia memberi contoh tentang seorang suami yang bermain kayu tiga, dan mewasiatkan keseluruhan hartanya kepada perempuan simpanan tersebut. Selepas lelaki itu mati, isteri dan anak-anak lelaki itu tidak mendapat satu sen pun daripada harta suami dan ayah mereka.

Di dalam Islam seandainya berlaku kes seperti tadi, isteri atau anak-anak boleh mencabar kesahihan wasiat tadi. Dalam hal ini, mahkamah akan berpihak kepada isteri atau anak-anak si mati kerana mereka adalah ahli waris si mati. Faraid akan mengatasi wasiat si mati.

Faraid: Salah Satu Langkah Di Dalam Pengurusan Harta

Piramid Pengurusan Kewangan - DISTRIBUTION

Sebagaimana yang saya pernah terangkan di dalam tulisan saya tentang konsep pengurusan harta, seperti 7 Langkah: Asas Pengurusan Kewangan,  Modul Piramid Pengurusan Kewangan, dan Berapa Nilai Harta Pusaka Anda?, langkah PEMBAHAGIAN atau DISTRIBUTION adalah salah satu langkah di dalam pengurusan kewangan dan harta.

Langkah ini sama pentingnya kita membuat SIMPANAN, PERLINDUNGAN dan PELABURAN, kerana segala harta benda yang kita simpan dan miliki tidak akan di bawa ke dalam lubang kubur. Paling  dekat pun, sehelai kain putih dan dua biji batu.

Jadi, jangan diabaikan aspek ini di dalam kita merancang pengurusan kewangan kita.

Sebanyak mana harta yang kita simpan, sebesar mana kenderaan yang kita miliki, sebesar mana hartanah yang kita duduki, secantik mana pakaian yang kita pakai, semua itu tidak akan mampu kita bawa ke dalam kubur. Akhirnya hanya “rumah” 3 kaki x 7 kaki sahaja yang kita duduki, dengan sehelai “pakaian” putih.

Ia BUKAN Proses Automatik

Mungkin ada yang beranggapan bahawa kita tidak perlu berfikir tentang proses pembahagian harta pusaka ini kerana ia adalah tanggung jawab ahli waris selepas kematian kita.

Betul, dan salah.

Ya betul faraid adalah hak bagi ahli waris terhadap harta pusaka peninggalan kita yang mati.

Tetapi salah seandainya menganggap kesemuanya adalah urusan ahli waris untuk menguruskannya.

Kita sebenarnya perlu membantu ahli waris untuk memudahkan proses tuntutan harta pusaka tadi. Oh, bukanlah kita yang telah mati perlu bangkit daripada kubur untuk membantu proses pembahagian tersebut. Bukan begitu.

Caranya ialah kita membuat pelantikan pemegang amanah atau wasi sewaktu masih hidup. Ia juga dipanggil proses penulisan wasiat.

Proses pembahagian faraid ini bukanlah berlaku secara automatik selepas si mati meninggal dunia. Tuntutan terhadap harta pusaka tersebut perlu dijalankan sebelum ia diagih-agihkan sesama ahli waris.

Maka, dalam konteks pengurusan harta, ketika kita hidup, kita perlu membuat persediaan agar proses PEMBAHAGIAN atau faraid ini akan berjalan lancar. Dengan melantik pemegang amanah, proses pembahagian harta pusaka akan berjalan lebih lancar berbanding tanpa pemegang amanah.

Seandainya Tuan-Puan masih boleh membaca tulisan ini sehingga ke ayat ini, bermakna Tuan-Puan masih mempunyai kesempatan untuk membuat persediaan ini sebelum menutup mata untuk selama-lamanya.

............................................................
Buku FIRE
Buku F.I.R.E - FINANCIAL INDEPENDENCE RETIRE EARLY
RM49.00
Harga termasuk kos penghantaran

www.BukuFIRE.com

5 Comments
  1. Avatar

Apa komen Saudara/anda tentang tulisan ini?

Recommended
Simpanan Pendidikan Anak “Apakah instrumen terbaik untuk membuat simpanan pendidikan…