Haluan Yang Lain…
“Afyan…” sapa satu suara.
“Eh….”, satu wajah yang dikenali, tapi saya agak lupa namanya.
“Apa awak buat di sini?”, tanyanya. Saya masih belum cam namanya.
“Jumpa klien”, jawab saya ringkas. Otak saya ligat mengimbas kawan-kawan ketika belajar dahulu.
“Wah, mesti banyak kes awak ye?”, tanyanya lagi. Namanya masih belum menjengah ke pemikiran saya.
“Kes? Adalah sikit-sikit..”, saya dapat rasakan yang perkataan “kes” yang dia maksudkan tidak sama dengan “kes” yang saya makdudkan.
“Wah, awak dengan firm mana sekarang?”, tanyanya lagi. Betul jangkaan saya. Dia ada satu tanggapan awal kepada saya yang tidak tepat. Kala ini saya baru teringat namanya. Seorang kenalan yang pernah sekelas ketika menuntut di universiti dahulu. Kami sama-sama mengambil jurusan undang-undang di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Kami tidaklah serapat mana dahulu.
“Mmmm… sendiri”, saya tidak pasti sama ada jawapan saya menjawab soalannya.
“Oh, awak ada firm sendiri!?”, dia agak terkejut.
Saya hanya tersenyum. Tersenyum kerana dapat mengingati namanya. Tersenyum dengan ayat terakhir daripadanya. Tentu dia menyangka saya memiliki firma guaman sendiri.
“Awak tubuhkan firm lepas chambering kah?”, betul tekaan saya. Dia menyangka saya memiliki firma guaman sendiri.
“Adalah….”, kata saya sambil tersenyum lagi. Sambil mengeluarkan dompet untuk mengambil bisnes kad. Lantas saya mengunjukkan kad saya kepadanya sambil menunggu reaksinya.
“Haaaaa….???!!!!!”, kaget sekali nampaknya kawan saya itu.
“Takaful????? Awak ejen takaful…… ????”, dahinya berkerut. Dia benar-benar terkejut. Melhat kad bisnes saya. Yang tertulis nama saya, dengan logo syarikat takaful dan di bawahnya tertera “wakil takaful”.
Dua kali dia tekejut. Kejutan pertama kerana disangkanya saya “memiliki firma guaman sendiri”. Kejutan kedua, kerana “firma guaman” yang disangkanya, rupa-rupanya “firma takaful”!.
LAWYER TAKAFUL
Penghujung tahun 2008 ini, genap lima tahun saya berkecimpung dalam bidang takaful. Lebih tepat lagi, genap lima tahun saya bekerja sendiri atau self employ.
Di kalangan kawan-kawan, kadang-kadang ada yang menggelar saya dengan jolokan lawyer takaful. Saya tidak tersinggung dengan panggilan tersebut, kerana saya yang memilih jalan ini. Malah, ia secara tidak langsung menjadi bahan promosi.
Cuma kadang-kadang saya bimbang ia akan menyebabkan misleading orang lain apabila jolokan lawyer takaful memberi anggapan “seorang peguam yang menjalankan bisnes takaful”. Saya hanya belajar ilmu law, tetapi saya bukan lawyer. Saya hanya belajar undang-undang, tetapi saya bukan pengamal undang-undang.
(Nota: Seorang lulusan undang-undang hanya layak digelar peguam setelah di menamatkan chambering atau di dalam bahasa Melayu: latihan di dalam kamar. Jangan silap faham takrifan kamar di sini, ia bukan bermaksud yang sedang anda fikirkan. Ia kamar mahkamah)
KAMPUS KEHIDUPAN
Sepanjang belajar di Kuliah Undang-undang Ahmad Ibrahim, UIAM, banyak yang saya belajar. Saya belajar erti kehidupan. Bukan sekadar kuliah, tutorial, assignment, presentation, dan exam.
Ilmu kehidupan saya perolehi melalui persatuan, jemaah, pililahanraya kampus, usrah, tamrin, mesyuarat dan sebagainya. Ia mematangkan saya. Walaupun kadang kala terbabas dek kesuntukan masa untuk menyeimbangkan antara akademik dan persatuan, namun akhirnya saya bergelar graduan juga. Seperti rakan-rakan lain yang sama kursus dengan saya.
Alhamdulillah, dalam kekangan masa membahagikan antara akademik dengan persatuan, kelas dengan mesyuarat, tutorial dengan usrah, assignment dengan kertas kerja program, presentation dengan tamrin, pensyarah dengan naqib, akhirnya saya bergelar siswazah. Siswazah undang-undang kelas kedua. Baik sedikit daripada Karpal Singh. Kalau tidak silap saya, dia mendapat kelas ketiga.
Kadang-kadang ada juga orang bertanya: “tidak menyesalkah menghabiskan masa kira-kira 6 tahun (termasuk matrikulasi), belajar undang-undang, tetapi akhirnya tidak mempraktiskan apa yang saya dipelajari?”.
Jawapan klise saya ringkas, “saya belajar erti kehidupan sepanjang berada di kampus”. Noktah.
SEBUAH PENCARIAN
Semenjak daripada pusat matrikulasi lagi, saya tidak pernah bercita-cita untuk menjadi peguam. Tetapi cita-cita lain yang ada kaitan dengan undang-undang masih di dalam perancangan saya. Namun sepanjang pengajian, saya tidak sempat untuk memikirkan perancangan selepas grad, akibat disibukkan dengan aktiviti “kampus kehidupan”.
Hanyalah pada tahun akhir pengajian, saya memikirkan perancangan selepas grad. Sebenarnya sudah agak lewat pada usia 22 tahun untuk memikirkan hala tuju selepas grad. Saya tercari-cari arah tuju saya selepas grad serta tercari-cari bakal pasangan hidup saya 🙂 Ya, pada tahun akhir, dengan dua pencarian.
Sedang dalam pencarian cari diperkenalkan sebuah buku tulisan Robert Kiyosaki, “Rich Dad Poor Dad”. Seorang rakan yang memperkenalkan saya buku tersebut.
Ternyata buku tersebut mengubah persepsi saya tentang kehidupan bekerjaya. Saya kira pencarian saya sudah berakhir.
(Nota: Kala ini juga pencarian saya yang satu lagi pun turut selesai) 🙂 .
MENYONGSONG ARUS
Saya betul-betul terpengaruh dengan tulisan Robert Kiyosaki.
Ia membawa satu pandangan terbalik: belajar bersungguh-sungguh, masuk universiti, kemudian selepas grad: jadi usahawan. Berbanding dengan pandangan biasa: belajar bersungguh-sungguh, masuk universiti, kemudian selepas grad: jadi peguam atau doktor atau atau arkitek atau pegawai atau guru dan sebagainya.
Akibat terpengaruh dengan saranan inilah saya melawan arus, konon-konon ingin menjadi usahawan.
Aduh, memang penat kerja melawan arus ini. Di kala orang lain selepas grad menulis resume, saya merangkak-rangkak menulis business plan. Ketika orang lain menghadiri temu duga kerja, saya terhegeh-hegeh ditemuduga klien. Ketika orang lain membelek akhbar mencari kerja kosong, saya membelek akhbar mencari peluang berniaga. Ketika orang lain hujung bulan mendapat gaji bulanan, saya belum tentu….
Itulah padahnya belajar daripada buku semata-mata (padan muka saya).
Daripada bisnes kad pra-bayar, percetakan, membekal bahan bantu mengajar, konsultan latihan, menjual bunga, menjual dadih, hinggalah yang saya komited sehingga hari ini; bisnes takaful. Pengalaman-pengalaman seperti jualan tidak laku, dimarahi pegawai keselamatan kerana tidak mempunyai lesen (ketika menjual bunga waktu konvokesyen), mengutip hutang lapuk, modal RM1000 untung RM10, dan pelbagai lagi, betul-betul membuat saya hampir serik. Mujurlah pembelajaran di “kampus kehidupan” mengajar saya erti tabah, jika tidak, tentu saya sekarang seorang peguam.
Namun, nasib saya tidaklah seteruk Kassim Selamat :).
............................................................Buku F.I.R.E - FINANCIAL INDEPENDENCE RETIRE EARLY
RM49.00
Harga termasuk kos penghantaran
salam.
terasa kagum dgn penceritaan ni. sebab bukan semua orang berani ambil risiko, perjudikan masa depan, mengubah haluan. tahniah.
nampaknya macam telah buat pilihan yg tepat. setuju bahawa kehidupan sbagai pelajar dalam satu-satu kos tu, bukan belajar ttg bidang tu sahaja, tp jauh lebih banyak dari tu. kdg2 terpulang pada diri sendiri utk mencari input2 lain.
salam.
saya pelajar medik, tahun 2, cairo unvercity, sekarang kami tgh cuti musim panas..
saya ada jugak baca buku rich dad poor dad, dan ada jugak point2 dalam buku tu saya kurang jelas, contoh apa beza sebenar aset dan liability,adakah asset tu maksudnya menyuruh kita menjadi usahawan yang ada real estate, tapi apa tu real estate? saya pening2 laa… dan saya ingat nak cari orang agar dapat share ilmu pasal kewangan tu dengan saya… alhamdulillah, tak sangka Allah temukan saya di sini..
jujurnya, saya memang tak sangka pulak akan terjumpa dengan orang yang mampu aplikasikan terus ilmu dari en robert tu, lebih2 lagi orang tu orang melayu, bukan bidang kewangan pulak tu…
saya doakan semoga Allah bantu, dan mudahkan..
solat dhuha murahkan rezeki..
u/p; saya harap dapat bantu saya, mungkin kita blh berbincang melalui ym pasal tulisan en robert ni…
;maaf sebab komen panjang sangat.. 🙂
Syidarina,
Kalau dikenang-kenang kembali 5 tahun dahulu kadang-kadang terasa lucu apabila membayangkan seorang siswazah muda dengan idealisma yang tinggi berbekalkan modal RM 2k, lebihan PTPTN, ingin memulakan bisnes 🙂
Dr Taqwa,
Saya sendiri sebenarnya belum khatam buku-buku beliau. Jauh sekali untuk menjadi “pakar”. Saya cuma ter”jebak” apabila agak ter”taksub” membaca buku-buku Robert Kiyosaki dan Azizi Ali. Mungkin selepas puas membaca buku-buku Hassan Al-Banna, Syed Qutb, Said Hawwa daripada matrikulasi hingga tahun akhir (pun belum khatam lagi).
Berbalik kepada persoalan tuan Dr, berdasarkan pemahaman saya: aset ialah seseuatu yang menambahkan wang kita, manakala liabiliti adalah sesuatu yang mengurangkan duit kita. Noktah.
Dr juga boleh lawati laman bicarajutawan.com yang dikendali oelh Sdr Pakdi.net untuk menimba ilmu pengetahuaan tentang kewangan.
Oh ya, YM saya: born4g_hard80.
Salam,
Saya tertarik untuk bagi comment sikit kat sini sebab saya terlibat dalam bidang career marketing (www.resumeweassist.com/blog). Salah satu article yang saya tulis ialah mengenai mengenali diri sendiri untuk memilih bidang kerjaya idaman. Boleh baca disini :
http://resumeweassist.com/blog/category/are-you-looking-for-a-job
Cuma ingin berkongsi pengalaman.
camne ek aku leh jadik usahawan dulu baru kenal buku rich dad poor dad hehe.
tp satu persamaan, aku pun tak pernah khatam buku2 masa kt uia smpi la skrg
Sdr Yusoff,
Menarik niche blog sdra, saya kira kali pertama saya melihat yang seumpamanya.
Sdr Khai149,
Sebelum Robert Kiyosaki menulis buku tersebut, telah ramai orang yang telah berjaya menjadi usahawan
So, tidak perlu risau…. 🙂
Syabas Afyan, teruskan usaha saudara hingga ke puncak jaya. saya juga seperti saudara, wakil takaful separuh masa, tahun depan akan jadi wakil sepenuh masa dan tinggalkan profesion perguruan.
Selamat berjuang
Sdra Abu Zaki,
Mungkin saudara boleh buat blog sebagai platform saudara, dan kita boleh bertukar-tukar cerita. Saya juga ada mencadangkan kepada kawan-kawan se’takaful’ untuk melakukannya, namun masih kurang sambutan.