Mencari Mawi dan Nabil di Akademi Nasyid

Akademi Fantasia memerlukan masa selama 3 musim untuk menemui seorang “Mawi”. Ternyata Mawi mempunyai aura yang tersendiri di dalam industri hiburan nyanyian tanah air apabila 3 kali berturut-turut memenangi Anugerah Bintang Popular. Jarang sekali penyanyi lelaki memenangi anugerah ini.

Raja Lawak pula memerlukan masa selama 2 musim untuk menemui seorang “Nabil”. Ternyata Nabil mempunyai bakat jenaka tersendiri dan dilihat sebagai pengganti Apek di dalam genre hiburan komedi tanah air.

Berapa lamakah pula rancangan realiti Akademi Nasyid diperlukan untuk mencari seorang yang mempunyai aura seperti Mawi dan berbakat seperti Nabil?

PEMINAT NASYID
Saya meminati lagu-lagu nasyid semenjak sekolah menengah lagi. Lebih-lebih lagi apabila menjejakkan kaki di sekolah agama SMKA Sheikh Abdul Malek di Kuala Terengganu pada tahun 1996, selepas mendapat keputusan di dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR). Lagu-lagu nasyid kumpulan Nada Murni, The Zikr, Bangsar Boyz, Suara SMAKL, As-Shoff, Mirwana (sekadar beberapa nama) dan lain-lain lagi menjadi halwa telinga dan sebahagiannya menjadi koleksi di dalam simpanan saya.

Kebetulan tahun yang sama, menyaksikan industri nasyid meletup apabila kumpulan-kumpulan nasyid kontemporari mula tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan seperti Raihan, Brothers, Hijjaz, Saujana, Nowseeheart, Inteam (sekadar beberapa nama) dan sebagainya. Lebih membanggakan lagi, album pertama kumpulan Raihan “Puji-pujian” mendapat anugerah platinum apabila jualannya mencecah 650,000 beberapa bulan selepas pelancarannya. Menurut laman rasmi www.raihan.com.my, hingga ke hari ini jualannya telah mencecah 2 juta unit!

Daripada The Zikr, Nada Murni kepada Raihan, Rabbani, dan Hijjaz, perkembangan nasyid kala ini amat membanggakan sebagai alternatif aliran arus perdana hiburan muzik. Jika dahulu album nasyid hanya mendapat tempat di syarikat-syarikat rakaman kecil, kedai-kedai alatan ibadah, gerai-gerai ceramah, toko-toko buku agama, kemudian ia berjaya mencuri perhatian syarikat-syarikat rakaman antarabangsa, festival-festival, malah pernah mendapat tempat di temasya antarabangsa seperti Sukan Komanwel.

NASYID DAHULU VS NASYID SEKARANG
Di awal kemunculan nasyid kontemporari pada 1996, elemen tradisional nasyid seperti berkopiah, berbaju melayu, menggunakan kompang, lirik ketuhanan dan sebagainya masih dikekalkan. Apabila kedengaran lagu dimainkan di radio, kita sudah dapat kenal pasti ia adalah lagu nasyid dan dapat membezakan dengan lagu-lagu lain.

Hari ini, ia menjadi berbeza. Tidak semestinya penyanyi nasyid mesti berkopiah dan berbaju melayu. Malah ada penyanyi nasyid yang berambut panjang. Tidak semestinya lagu-lagu nasyid menggunakan kompang. Malah menggunakan gitar dan drum pun ada. Nasyid tidak lagi mempunyai lirik ketuhanan. Malah ada nasyid tentang kematian Puteri Diana!

Hinggakan apabila dimainkan lagu-lagu nasyid sudah tidak dapat dibezakan dengan lagu-lagu arus perdana.

Lagu kategori balada dikenal pasti dengan lirik jiwang dengan nyanyian mendayu-dayu, rock dikenali dengan berambut panjang dangan lagu-lagu keras mereka, rap dikenali dengan lagu-lagu rancak tidak cukup nafas, lagi tradisional Melayu pun dikenali dengan irama dan liriknya.

Tapi, apa pula identiti lagu-lagu nasyid?

Entahlah, lu fikir lah sendiri ….

MASIH PEMINAT NASYID
Ketika menonton promo rancangan Akademi Nasyid (AN), hati saya melonjak-lonjak untuk mengikutinya. Saya masih lagi peminat nasyid sekalipun saya sendiri gagal mencari jawapan “apakah identiti nasyid hari ini?”. Lebih-lebih lagi apabila 5-6 tahun berada di UIAM yang menjadi “lubuk nasyid” yang melahirkan In-Team, De-Hearty, UNIC, dan Amar (sekadar beberapa nama).

Dalam ramai-ramai peserta AN, mata saya tertumpu kepada salah seorang pesertanya, iaitu Sdra Azhan Atan. Beliau tidak seperti peserta-peserta lain, beliau seorang OKU. Tambah mengkagumkan, beliau rupa-rupanya Ketua Pemuda PAS Tanjung Piai. Saya tidak pasti sama ada parti-parti politik lain mengiktiraf golongan OKU sebagai ketua ataupun pemimpin. (Jika orang kuat tidur termasuk di dalam golongan OKU mungkin ada).


Beliau hanya cacat pada fizikalnya, tetapi tidak pada suaranya. Penampilannya bersahaja, berkopiah dan berbaju melayu, mengembalikan nostalgia nasyid kontemporari yang asal. Suaranya cukup lunak tidak menggambarkan kekurangan fizikalnya. Ternyata, selepas persembahan minggu pertama, beliau mendapat undian tertinggi mengatasi peserta-peserta AN yang lain. Begitu juga selepas persembahan minggu kedua, beliau masih mendapat tempat di hati penonton apabila mendapat tempat kedua undian.

Namun, agak berbeza pada minggu ketiga. Terkejut dan hampir sebak dada saya apabila pengacara Akademi Nasyid, Sdr Hafiz Hamidun mengumumkan tiga nama peserta yang mendapat undian tercorot, dan salah seorang daripadanya adalah Sdr Azhan Atan.

Saya kira perasaan ini turut dikongsi bersama pengacara AN apabila menulis di dalam blognya,

“Sampai ke saat penyingkiran, saya rasa ramai pun terkejut bila Azhan berada di bottom 3. Ya lah kan, 2 minggu persembahan, Azhan jadi peserta Favorite ramai orang”.

Malah ia turut dirasai oleh penonton-penonton TV9 berdasarkan komen-komen di dalam laman web TV9;

“Saya xsmpat tgk p’smbahan bro. Azhan mlm yg lepas sbb dok atas flight…terkejut gak tau dr mak mertua bro. Azhan tersenarai 3 undian terendah….”

“gaye azhan same je macam dulu, rendah diri, bersahaja dgn lagu ketauhidan.. tp kali ni mesej x brape jelas dan menembus ke dalam sanubari hati… x pe azhan, same kite undi AN AZHAN!! utk konsert seterusnya, pilih lagu yg sungguh menginsafkan..”

“emm pd aku, azhan punyer care tersendiri utk smpaikan msg dan feeling.. x yah la nk komen2 care azhan 2.. yg penting pd aku die dh smpaikn msg dgn baik skali..”

Mampukah Azhan mengulangi sejarah Mawi dan Nabil di dalam AN?

Kita fikirlah sindiri!

WP2Social Auto Publish Powered By : XYZScripts.com