fbpx

Indahnya membeli kereta!

  • 5 years ago
  • 5Minutes
  • 782Words
  • 607Views

Semalam saya mendengar Radio24 Bernama, dalam slot Destiny Auto berkenaan jual beli kereta. Dalam slot tersebut, antara info menarik yang saya perolehi ialah skim pinjaman sehingga 20 tahun, pengguna atau pembeli yang disenarai hitam masih layak memohon dan rebet tunai apabila membeli kenderaan.

Skim pembiayaan atau pinjaman kereta sehingga 20 tahun.
Selalu yang biasa kita dengar ialah pinjaman kereta 5 atau 7 tahun dan paling panjang pun adalah 9 tahun. Tapi kali ini sehingga 20 tahun! Satu skim pinjaman yang sungguh menarik!
Pinjaman kereta sehingga 20 tahun boleh menarik minat pengguna atau pembeli untuk membeli kereta-kereta yang mahal dan membuat bayaran ansuran yang rendah. Sebagai contoh, dengan bajet RM500-RM600 sebulan boleh membeli kereta berharga RM50,000 (dengan kadar keuntungan 4%-5% dengan tempoh 9 tahun), jadi dengan bajet yang sama boleh membeli kereta yang berharga RM80,000! Jika sebelum ini bajet ini hanya cukup untuk membeli kereta Proton Persona, maka dengan memanjangkan tempoh sehingga 20 tahun kita boleh membeli kereta Toyota Vios atau Honda City!
Oh, sungguh menarik!

Pengguna senarai hitam masih layak memohon
Selain daripada itu juga, dalam slot tersebut juga ada info berkenaan pengguna-pengguna yang sudah disenarai hitam masih boleh memohon pinjaman kereta. Ia adalah berita baik kepada pengguna-pengguna yang namanya sudah termasuk dalam senarai CTOS atau CCRIS.
Jika selama ini para pengguna yang sudah disenarai hitam CTOS atau CCRIS lantaran hutang-hutang tertunggak daripada pinjaman-pinjaman lain seperti kad kredit, pinjaman peribadi, pinjaman perumahan atau pinjaman kereta terdahulu, kini tidak perlu risau kerana ada cara untuk memohon pinjaman kereta baru.
Sungguh mengghairahkan tawaran ini!

Rebet tunai pada setiap pembelian
Oh ya, selain itu juga ada juga skim-skim pembelian kereta yang menawarkan rebet tunai kepada pembeli. Sudahlah tidak perlu membayar duit muka atau wang deposit, dapat pula rebet tunai. Sebagai contoh, pengguna membeli kereta berharga RM50,000, tidak perlu membayar wang deposit dan menerima pula rebet wang tunai RM5000.
Wah, sungguh menarik lagi mengghairahkan!

Begitu indahkah membeli kereta?
Sebelum saya meneruskan tulisan ini, saya ingin memetik tulisan dan kata-kata rakan saya, Sdra Pakdi “Mentor Saya Sebut, Bodoh Kalau Beli Kereta!”

Bukan saya kata, Pakdi yang kata. Dia kata, mentor dia yang kata 🙂

Sekali imbas, tawaran-tawaran yang disebut di atas memang menarik. Sememangnya slot bernekaan adalah untuk mempromosi jualan kereta kepada para pengguna.

Baiklah, kita analisa satu per satu.

1. Pinjaman kereta sehingga 20 tahun
Meminjam sehingga 20 tahun bermakna pembeli menanggung hutang yang lebih panjang, lebih lama dan lebih banyak. Jika sebelum ini membayar RM500-600 selama 9 tahun, membeli kereta dengan ansuran yang sama dalam tempoh 20 tahun menambahkan lagi bebanan hutang daripada sepatutnya 9 tahun kepada 20 tahun. Maknanya jika sebelum ini hutang kita adalah RM64,800 (RM600 x 12 bulan x 9 tahun), maka dengan membeli kereta lain yang lebih mahal, walaupun dengan ansuran bulanan yang sama, hutang kita menjadi RM144,000 (RM600 x 12 bulan x 20 tahun).
Tambahan pula, dalam tempoh tersebut, jika kereta itu dijual dan ingin membeli kereta baru sudah tentu jumlah baki pinjaman masih tinggi lantaran ansuran yang rendah, jika hendak dibandingkan dengan harga pasaran.
Lagipun, jarang rakyat Malaysia menggunakan kereta yang sama dalam masa 20 tahun. Jika kita bercadang untuk menggunakan kereta sehingga 20 tahun, mungkin pinjaman ini sesuai 🙂

2. Senarai hitam masih boleh meminjam
Selalunya orang yang disenarai hitam adalah orang yang tidak berdisiplin dalam mengurus wang dan mengurus hutang-hutang mereka. Jika mereka berdisiplin dan bijak mengurus wang, sudah tentu nama mereka tiada dalam senarai CTOS atau CCRIS.
Justeru, melayakkan pengguna yang sudah disenarai hitam untuk mengambil pinjaman kereta baru adalah umpama menggali lubang kubur sendiri kerana sudah pasti pinjaman baru itu nanti akan mengalami nasib yang sama.
Sudah sekali dipatuk ular, rela pula dipatuk lagi.

3. Rebet tunai pada setiap pembelian
Wah, sungguh baik pihak bank atau penjual kereta untuk memberi kita wang tunai setiap kali kita membeli kereta. Sudahlah tidak perlu membayar wang pendahuluan atau deposit, pihak bank atau penjual kereta memberi pula wang tunai. Sebaik itukah bank dan penjual kereta? Sudah tentu tidak sama sekali. Rebet tunai tersebut sebenarnya sudah termasuk dalam skim pinjaman yang akan kita bayar balik.
Contohnya jika kita membeli kereta berharga RM50,000 dan kita tidak perlu membayar sebarang deposit malah menerima pula rebet sebanyak RM5,000 maknanya jumlah pinjaman yang diberi adalah RM55,000 tidak termasuk keuntungan bank.
Itu sudah pasti, kerana amat mustahi bank / penjual kereta memberi kita duit tanpa mengharap balasan. Jika tidak, bank itu berubah nama kepada bankrap.

Tip RM

  1. Bank adalah institusi perniagaan, bukan institusi kebajikan. Jadi, dalam mana-mana situasi mereka akan memastikan bank akan untung terlebih dahulu. Ketiga-tiga promosi di atas, adalah contoh bagaimana bank membuat keuntungan.
  2. Golden rule saya untuk membeli kereta secara pinjaman / pembiayaan, beli kereta yang harganya sama dengan pendapatan tahunan kita. Jika gaji sebulan RM2,000 maka kereta yang sesuai adalah kereta yang berharga RM24,000.
  3. Membuat bajet membeli kereta bukan sekadar dengan mengira bayaran ansuran kereta malah termasuk petrol, cukai jalan, kos penyelenggaraan, parking, tol serta saman. 
............................................................
Buku FIRE
Buku F.I.R.E - FINANCIAL INDEPENDENCE RETIRE EARLY
RM49.00
Harga termasuk kos penghantaran

www.BukuFIRE.com

22 Comments

Apa komen Saudara/anda tentang tulisan ini?

Recommended
Adaptasi daripada sebuah kisah benar. Moga-moga bukan kisah saudara-saudari… Nani…