Memori Bisnes Bunga Konvo
Musim konvo tiba lagi.
Tiba-tiba sepupu saya Puan Nur Afzan mengembalikan satu memori bisnes ketika konvo tahun 2005.
Bisnes ini adalah bisnes kedua saya memulakan dengan modal melebihi RM 1000.00. Selepas peristiwa ini, saya menjadi serik mengeluarkan modal melebihi RM 1000.00. Mungkin bagi orang lain, RM 1000 adalah modal yang terlalu kecil untuk memulakan bisnes.
Dengan modal kira-kira RM 1000 lebih , saya berpakat dengan seorang kawan untuk menjual bunga ketika majlis konvokesyen di UIAM. Dia turut menyumbang RM 1000 bagi bisnes ini.
Kami melakukannya tanpa mendapat permit. (AWAS: Jangan Tiru!). Dalam congakan awal kami, kami akan beroleh keuntungan sekurang-kurangnya sekali ganda, kerana tiada kos sewa. Pembekal bunga kami peroleh daripada Genting Highland.
Congakan kasar, harga kos bunga-bungaan tersebut adalah satu pertiga daripada harga jualan. Sebagai contoh, sejambak bunga dengan 12 kuntum bunga dijual dengan harga RM 60, hanyalah berkos RM 20 sahaja!
Jadi, dengan kos 1000 seorang, keuntungan kasar yang bakal kami dapat adalah mampu mencecah RM 2000 secara kasarnya, dalam masa beberapa hari!
Tetapi kami cuba optimis dengan meletakkan target 1000 sahaja seorang selepas tolak kos-kos lain terutama komisen ejen.
Kami melantik ejen daripada kalangan pelajar untuk menjualnya, dengan tawaran komisen 25% setiap jualan. Mereka tidak perlu keluarkan modal satu sen pun! Saya mencari ejen-ejen jualan bunga kami daripada kalangan pelajar-pelajar UIA sendiri.
Sehari sebelum jualan bermula, kira-kira 10 orang ejen kami perolehi. Namun malang sekali apabila sebahagian ejen-ejen tersebut menarik diri pada hari pertama lagi dengan alasan malu! Aduhai…
Maka tinggallah beberapa kerat lagi yang sudi untuk meneruskan.
Cabaran pertama; ejen menarik diri.
Cabaran kedua; Pak Guard!
Bukankah sudah saya sebutkan tadi, yang bisnes yang saya lakukan ini secara illegal tanpa permit? Maka itulah risikonya ????
Pada hari kedua, Pak Guard datang memberi amaran kepada kami agar tidak membuat jualan, jika tidak bahan jualan kami akan dirampas. Aduh, bala!
Agak panik saya ketika itu. Mujurlah pengalaman berdemonstrasi zaman pelajar dahulu sedikit sebanyak mengajar saya. Hoho…
Setelah berdiplomasi, saya berjanji saya tidak akan berniaga lagi di situ. Ya saya mengotakan janji apabila tidak lagi berniaga di ”situ”. Kemudian saya berniaga di ”sana”. Saya pun beralih ke tempat lain demi mengotakan janji saya kepada pegawai sekuriti tadi untuk tidak berniaga di ”situ”.
Sesi ”main kejar-kejar” dengan sekuriti tadi berlangsung beberapa kali. Mujurlah bertembung dengan pegawai yang berbeza, sekurang-kurangnya boleh menggunakan cara diplomasi yang sama.
Lantaran insiden tersebut, beberapa orang ejen lain menarik diri.
Aduh, memang bala… sehingga hari ketiga, iaitu sehari sebelum tamat tempoh konvo, tinggal saya seorang untuk menghabiskan jualan bunga-bunga yang berlambak dan semakin layu!
Akhirnya pada hari ketiga barulah modal RM 2000.00 kami mendapat pulangan. Saat-saat cemas melarikan diri daripada sekuriti masih terbayang sehingga kini. Tidak dapat dibayangkan sekiranya mereka bertegas merampas bahan jualan saya….
Pada hari terakhir, barulah jualan kami memberikan keuntungan. Alhamdulillah, dalam keadaan yang betul-betul desperado, akhirnya pulangan keuntungan kasar kira-kira RM 1,000. Selepas dibahagikan kepada dua bahagian dan ditolak dengan kos-kos lain, dapatlah seorang kira-kira RM 400 bersih dalam tempoh beberapa hari itu.
Sasaran asal adalah keuntungan bersih RM 1,000 seorang. Yang dapat hanyalah RM 400 seorang. Jumlah keuntungan ini terlalu jauh daripada sasaran kami, namun setidak-tidaknya lebih baik daripada rugi.
Yang paling mahal adalah pengalaman.
– Afyan Mat Rawi, bekas peniaga bunga konvo UIA 2005
Buku F.I.R.E - FINANCIAL INDEPENDENCE RETIRE EARLY
RM49.00
Harga termasuk kos penghantaran