Pandangan terhadap Dr. Mohd Daud Bakar dalam Isu pelaburan Redeemable Preference Share (RPS)
![](https://i0.wp.com/afyan.com/wp-content/uploads/2025/02/daud-bakar-RPS.jpg?resize=678%2C371&ssl=1)
Sejak semalam ramai yang bertanya pandangan saya berkenaan Dr Mohd Daud Bakar yang dikaitkan dgn Sdra Mahadi Badrul Zaman yang dimasukkan dalam senarai “Investor Alert List” beberapa hari lepas.
Nama Dr Daud terpalit sekali apabila beliau pernah bersama Sdra Mahadi dalam syarikat yang menawarkan pelaburan Redeemable Preference Share (RPS).
Secara umumnya, nama Dr Daud Bakar adalah nama besar dalam industri kewangan syariah di Malaysia. Beliau bukan calang-calang orangnya.
Kali pertama saya kenal beliau ialah ketika di UIAM ketika beliau sebagai Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar, dan ketika itu saya terlibat sebagai aktivis kampus.
Saya kenal beliau sebagai seorang tokoh ulung dalam bidang muamalat Islam, bukan sahaja di Malaysia malah diiktiraf dunia.
Sengaja saya letakkan gambar program lama saya dengan beliau, ketika adakan sesi live berkenaan isu pelaburan Kripto dan Bitcoin.
Dibandingkan dengan saya, jasa beliau jauh lebih besar untuk agama dan negara. Jika tidak, masakan beliau diberi pengiktirafan oleh Yang Di-Pertuan Agong.
Namun bukan bermaksud beliau maksum dan suci daripada sebarang dosa dan kesalahan. Tapi ia bukan alasan untuk memberi gelaran-gelaran buruk kepada beliau.
Molek kiranya biarlah empunya diri yang memberikan jawapan terhadap tuduhan-tuduhan yang dilemparkan.
Sebagai nama besar dalam industri kewangan dan syariah, bukan sahaja di Malaysia malah di seluruh dunia, sudah tentu setiap tindakan yang diambil sudah dipertimbangkan baik buruknya.
Beliau menjadi penasihat syariah dan pemilik kepada banyak syarikat dan institusi kewangan lain.
Jadi apa yang berlaku khusus dalam syarikat yang menawarkan RPS itu, tidaklah memberi kesan kepada yang lain.
Antara syarikat lain yang saya terlibat ialah KAB Gold, beliau sebagai pemilik bersama syarikat berkenaan.
Apa yang berlaku diharapkan memberi pengajaran kepada para pelabur di luar sana untuk lebih berhati-hati apabila berurusan dengan individu atau syarikat yang menawarkan pelaburan.
Bukan sahaja pelabur yang perlu ambil pengajaran dan berhati-hati, para penasihat syariah di luar sana juga perlu mengambil pengajaran dan lebih berhati-hati.
Masyakat awam meletakkan sepenuhnya kepercayaan kepada penasihat syariah. Tapi mereka tidak tahu tidak semua pematuhan syariah adalah sama.
Suka saya tegaskan, pengiktirafan patuh syariah apa sahaja produk sama ada dalam kewangan, pelaburan, MLM dan seumpamanya, bukanlah bermaksud pelanggan dan pelabur boleh telan bulat-bulat, kerana yang pasarkan produk berkenaan bukanlah penasihat syariah.
Mungkin sudah tiba masanya untuk standard pematuhan syariah bagi syarikat-syarikat di luar kawal selia autoriti, mempunyai standard yang sama sebagaimana institusi kewangan yang di bawah kawal selia pematuhan Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti.
Ramai yang tidak tahu bahawasanya pematuhan syariah di bank, syarikat takaful adalah tidak sama seperti pematuhan di syarikat-syarikat lain.
Sekurang-kurangnya ada 3 lapisan syariah yang perlu disemak dan diaudit sebelum ia dipasarkan.
1. Pegawai syariah internal
2. Penasihat syariah bank / takaful
3. Penasihat syariah BNM
Hanya sekiranya selepas lulus ketiga-tiga tapisan itu, barulah ia dipasarkan.
Itu pun di peringkat pemasaran, ada kebarangkalian berlaku insiden-insiden yang tidak sepatutnya dilakukan oleh ejen / marketer / banker seperti misleading dan misselling dek kerana nak kejar bisnes.
Ia sama halnya produk yang ada halal JAKIM, tapi ada yang salah guna dan manipulasi. Produk-produk kewangan yang patuh syariah juga tidak lepas dari dimanipulasikan.
Apatah lagi instrumen RPS ini. Ia satu jenis pelaburan yang sangat berisiko dan bukan untuk semua.
Syarikat yang menawarkan RPS hanya perlu mendapat lesen daripada SSM, dsb kemudian menghantar Memorandum Informasi kepada Suruhanjaya Sekuriti.
Perlantikan pematuhan syariah dibuat secara internal untuk pengesahan bahawa pelaburan itu patuh syariah.
Sejak beberapa tahun lalu, ramai juga yang ajak saya melabur dan memasarkan produk RPS ini, namun setakat ini belum ada yang meyakinkan, termasuk syarikat yang ada penasihat syariah.
Apabila dikongsikan peluang pelaburan RPS, saya akan minta 2 perkara
1. Information memorandum (IM)
2. Laporan kewangan.
Selalunya sesuatu RPS yang pernah saya terima, gagal pada dokumen kedua.
Ada satu syarikat RPS yang menarik minat saya untuk dikaji dan laburkan. Tapi saya baru kongsikan kepada rakan-rakan yang rapat.
Sesuatu pelaburan yang patuh syariah, bukanlah bermaksud ia kalis rugi. Tidak sama sekali.
Risiko pelaburan tetap ada. Sebab itu pelaburan RPS ini hanya ditawarkan kepada pelaburan yang mempunyai high networth atau sophisticated investor.
Saya pernah melihat marketing kit salah sebuah RPS yang ditawarkan, dan agak terkejut apabila ia ditulis “fix return”.
Apabila dirujuk dalam detail IM, ia hanyalah projection dan ada kebarangkalian pelabur tidak dapat apa yang disasarkan. Tapi ia tidak diletakkan dalam kit jualan.
Di sinilah kebarangkalian misleading dan misselling boleh berlaku. Lebih teruk jika ia dipasarkan oleh individu tidak berlesen.
Adakah penasihat syariah terlibat sekali? Bergantung kepada keadaan.
Jika ia berlaku tanpa pengetahuan penasihat syariah, tidak wajar untuk meletakkan beban kesalahan kepada meraka.
Tapi sekiranya memang mereka tahu dan tidak mengambil sebarang tindakan wajar, maka mereka akan dipertanggungjawabkan. Jika tidak di dunia, pasti di akhirat kelak.
Kita sebagai orang awam, marhaen dan pelabur perlulah mengambil langkah berjaga-jaga sebelum melaburkan sejumlah wang ke dalam apa sahaja produk pelaburan.
Semoga apa yang berlaku ini menjadi pengajaran untuk semua, terutama saya.
Kongsikan tulisan ini jika bermanfaat.
Sumber dari FB Afyan Mat Rawi
............................................................![Buku FIRE](https://i0.wp.com/afyan.com/wp-content/uploads/2023/05/BukuFIRE-NEW-1.png?w=678&ssl=1)
Buku F.I.R.E - FINANCIAL INDEPENDENCE RETIRE EARLY
RM49.00
Harga termasuk kos penghantaran