fbpx

PASTI Milik Masyarakat

  • 7 years ago
  • 6Minutes
  • 1137Words
  • 1497Views

Pagi tadi meneruskan satu lagi rutin yg saya lama saya tinggalkan, menghantar Sarah ke PASTI.

Sepatutnya semalam turut dihantar di samping kakak-kakak dan abangnya, tapi kebetulan PASTI Gombak bercuti semalam selepas acara tahunan mereka berlangsung sehari sebelum itu; Sukan Pasti atau SUKPA.

Ketika menghantar di PASTI tadi, sejuk mata melihat anak-anak pelajar PASTI yang berkopiah dan bertudung litup bagi yg perempuan, menutup aurat sempurna.

Saya sampai agak lewat, sempat melihat Sarah menyertai kawan-kawannya membaca doa pagi.

Tambah sejuk hati dan perut bapa walaupun bukan mengandungkannya, melihat mereka membaca pelbagai doa; dari doa belajar, doa makan, doa tidur, doa bangun tidur, doa masuk tandas dan lain-lain.

Sempat saya rakam anak-anak syurga ini membaca doa-doa tadi.

http://web.facebook.com/afyan.ikhlas/videos/10213502980919626/

Suasana ini adalah biasa di PASTI, cuma jarang saya dapat saksikan kerana selalunya saya hantar lebih awal. Sementelah pula sudah hampir 2 bulan Sarah bercuti sepanjang berada di Tanah Suci.

Teringat satu video dalam perbahasan seorang perwakilan di perhimpunan agung UMNO yg membandingkan Tadika Kemas dengan PASTI.

Umum tahu bahawa Tadika KEMAS adalah institusi pra-sekolah tajaan Umno yg dibiayai kerajaan manakala PASTI pula adalah milik PAS.

Kata perwakilan tersebut, apa yg diterapkan di Tadika KEMAS ialah 4M; menari, menyanyi, makan dan main berbanding dengan PASTI yg mengandungi silibus Quran, bahasa dan sebagainya.

Ia sebagai satu pengiktirafan secara tidak langsung kepada PASTI dan PAS.

Dari anak sulung hingga ke anak keempat ini dan insyaAllah adiknya nanti juga saya hantar belajar di PASTI.

Banyak kali juga saya terlihat pemandangan yg agak ironi, seorang ibu yg tidak bertudung, turut menghantar anak perempuannya bertudung ke PASTI. Atau di ayah dengan pakaian rugged berambut panjang dengan anak berkopiah berbaju PASTI.

Alhamdulillah, ia adalah satu kejayaan dakwah gerakan Islam di bawah Pemuda PAS yg berjaya menarik massa yakin dengan didikan silibus PASTI.

Beberapa kali saya mengikuti program-program tahunan PASTI spt ihtifal dan hari sukan, melihat ibu bapa dari pelbagai lapisan masyarakat yg menghantar anak ke PASTI.

Tidak kurang juga para artis, VIP malah juga pimpinan Umno yang menghantar anak ke PASTI.

Sekalipun PASTI merupakan entiti parti Islam, ia tidak menghalang musuh tradisinya, Umno untuk anak-anak ahli mereka dididik di bawah PASTI.

Mereka lebih suka menghantar anak mereka ke PASTI berbanding Tadika KEMAS, yg pada mereka, tidak mempunyai silibus yg “kemas” berbanding PASTI.

KEMAS, seperti TEKUN yg asalnya idea UMNO tetapi digerakkan di bawah entiti kerajaan yg menggunakan duit cukai rakyat.

Berbeza PASTI, yg digerakkan dengan dana sumbangan ikhlas ahli-ahli parti, sejak berdekad lalu yang kini diterima baik masyarakat.

Seorang pensyarah sebuah universiti pernah memberitahu, dalam satu kajian oleh pelajar universiti tersebut terhadap pendidikan pra-sekolah di Malaysia, PASTI ialah yg terbaik dari sudut silibus dan pembelajaran jika dibandingkan dengan institusi pra-sekolah lain termasuk pra-sekolah swasta lain yg lebih popular dan mahal yurannya.

PASTI boleh dianggap sebagai sekolah swasta alternatif dgn yuran bulanan yg rendah jika dibandingkan dgn pra-sekolah swasta lain. Di Lembah Klang masih terdapat PASTI yg menawarkan yuran yg sangat minima bawah RM150 sebulan jika dibandingkan dgn institusi pra-sekolah swasta lain yg selalunya RM300 ke RM600 sebulan.

Jika di luar bandar, ada yg serendah kurang RM50 sebulan! Ya, bayaran setahun sesetengah pasti PASTI sama dengan bayaran SETAHUN tadika swasta.

Pernah seorang sahabat yg merupakan AJK Pasti sebuah kawasan di luar bandar di Perak bercerita yg dia pernah mencadangkan agar yuran PASTI dinaikkan tapi dibantah oleh AJK lain kerana kata mereka ibu bapa pelajar PASTI ini dari kalangan kurang berada.

Balas rakan saya “Yuran PASTI sekarang ni lagi rendah daripada Astro yg ‘deme’ bayar bulan-bulan”, menyebabkan AJK lain senyap.

Di kampung saya di Besut, Terengganu, keluarga saya baru menguruskan PASTI bermula tahun ini. Yurannya serendah RM35 sahaja sebulan, dgn gaji guru yg sangat minima. Sedih saya mendengarnya.

Ya, RM35. Anda tidak silap membaca dan ia bukan typing error.

Dengan yuran RM35 sebulan memang tidak cukup untuk menampung kos pengurusan PASTI. Kos makan pun tak cukup. Ia ditampung oleh AJK PASTI yg tidak bergaji.

Cerita ibu saya, katering yg menyediakan makanan utk 27 pelajar dan 2 orang guru PASTI ini hanya mengenakan RM30 sehari! Katanya, setiap hari pasti ada lebihan yg akan dimakan oleh pelajar yg balik lambat.

“Itulah mungkin keberkatannya”, kata ibu saya.

Kebanyakan PASTI diuruskan tanpa berorientasikan perniagaan tapi lebih kepada sumbangan kebajikan utk masyarakat utk memberi pendidikan alternatif yg tidak mampu disediakan oleh sistem pendidikan arus perdana.

Inilah antara dilema pengusaha PASTI, mereka berada di persimpangan utk memberi kebajikan kepada masyarakat dengan tuntutan kos yg perlu ditanggung oleh pengusaha PASTI.

Andai dibuat dgn yuran yg rendah, fasiliti premis dan gaji guru terpaksa dicatu. Jika dinaikkan pula, khuatir ramai yg tidak mampu.

Kos menguruskan PASTI bukan sedikit. Ia merangkumi sewa premis, makan minum pelajar, dan gaji para guru PASTI. Yuran PASTI selalunya sekadar cukup makan utk menampung kos operasi PASTI.

Namun sayangnya, ada juga sesetengah ibu bapa yg sengaja mengambil kesempatan dgn sikap lembut pengurusan PASTI utk melengah-lengahkan malah ada yg culas utk membayar yuran PASTI.

Seorang pegawai PASTI Gombak pernah ceritakan kepada saya, jumlahnya mencecah puluhan ribu dan jika dilunaskan, banyak perkara dapat dilangsaikan.

Awalnya saya sangkakan ia datang dari golongan yg berpendapatan rendah tapi dinafikan oleh beliau. Katanya, majoriti mereka datang dari golongan profesional! PASTI ada database nama pelajar dan latar belakang serta pekerjaan ibu bapa pelajar.

Istighfar panjang saya. Di manakah keberkatan pembelajaran anak-anak itu jika ibu bapa sengaja culas mengelak dari membayar yuran.

Ketika itu beliau meminta pandangan saya apa yg perlu dilakukan. Saya cadangkan supaya hantarkan surat tuntutan bayaran oleh peguam kepada mereka sebagai amaran. Tak pasti sama ada ia dilaksanakan atau tidak selepas itu.

Selama 3 dekad kewujudan PASTI sudah pasti ramai yg mencemburui. Pernah dalam pemerintahan PM yg terdahulu, ada usul untuk PASTI diharamkan kerana dikatakan menyemai elemen subversif kepada kerajaan.

Dalam sumber yg serba kekurangan, PASTI terus diterima ramai dan produk-produk PASTI terus menjadi tumpuan.

Jika hadir ke Majlis Konvokesyen PASTI Gombak setiap hujung tahun, kita pasti kagum melihat anak-anak pelajar PASTI yang baru berusia 6 tahun mampu menghafal surah al-Mulk.

Inilah kekuatan silibus PASTI yang jarang ada dalam silibus pra-sekolah lain.

Sekalipun dihimpit dengan pelbagai kekangan dari pelbagai aspek spt material, kewangan, tenaga pengajar dan sebagainya, PASTI terus utuh menjadi pilihan ibu bapa untuk mendapatkan pendidikan terbaik pra-sekolah.

Kemampuan untuk menghafal surah al-Mulk pada usia pra-sekolah bukan calang-calang kemahiran dan tumpuan mengajar diperlukan.

Tahniah buat tenaga pengajar PASTI yang komited!

PASTI kini bukan sahaja menjadi milik PAS, tapi sudah menjadi milik masyarakat.

P/S: Sudah daftar anak ke PASTI utk sesi pembelajaran 2018? Jika belum, hubungi segera. Selalunya, dalam bulan 10 ia sudah fully booked. Jika di dalam kawasan Gombak, boleh hubungi Sdra Alif 019-464 5655, setiausaha kerja PASTI Gombak.

P/SS: Jika ingin menyumbang utk PASTI Gombak, boleh hubungi nombor sama. Jika ingin menyumbang utk PASTI di kampung saya di Besut, boleh PM tepi.

P/SS: Sudah menonton video di atas? Teka, yg mana Sarah? 🙂

Afyan Mat Rawi,
Bekas Pelajar Tadika KEMAS Tmn Koperasi Polis, Gombak tahun 1986

www.afyan.com

............................................................
Buku FIRE
Buku F.I.R.E - FINANCIAL INDEPENDENCE RETIRE EARLY
RM49.00
Harga termasuk kos penghantaran

www.BukuFIRE.com

One Comment

Apa komen Saudara/anda tentang tulisan ini?

Recommended
Tahniah sahabatku Sdra Amin Idris, atas kelahiran buku terbaru ini. Kandungan…