Rumah terbengkalai, tapi ansuran tetap kena bayar
Rumah terbengkalai, tapi ansuran tetap kena bayar. Adakah ia patuh syariah?
Ini antara yang selalu diajukan oleh masyarakat, dan saya sebaiknya berdasarkan sedikit ilmu muamalat yang saya ada.
1. Pertama sekali perlu dijelaskan bahawa dalam perbankan Islam tidak ada Islamic loan. Tidak ada pinjaman.
Jadi tidak berlaku situasi pinjam sikit bayar lebih dan riba sebagaimana di perbankan konvensional.
2. Yang ada di perbankan Islam ialah pembiayaan. Pembiayaan akan menggunakan akad jual beli. Memang nampak macam sama di peringkat hasil akhirnya tapi prosesnya berbeza.
Hal ini tidak pelik, sebab orang Yahudi zaman Rasulullah sendiri pun mengatakan sama sahaja riba dengan jual beli sebab mereka lihat hasil akhirnya tetap sama.
Lalu Allah menempelak sikap orang Yahudi itu dengan Surah al-Baqarah, ayat 275 yang bermaksud: “Dan Allah telah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba.”
3. Kembali kepada pembiayaan perumahan di perbankan Islam, selalunya ada 2 model pembiayaan, iaitu
a. Tawaruq
b. Musharakah mutanaqisah
Saya terangkan satu persatu.
TAWARRUQ
4. Dalam akad tawaruq, pelanggan membeli komoditi ( daripada bank secara ansuran, dan kemudian jual balik kpd broker secara tunai. Maka pelanggan akan dapat wang.
Kedua-dua kontrak tersebut adalah kontrak berbeza dan boleh sahaja pelanggan membatalkan kontrak pertama tanpa meneruskan ke kontrak kedua.
3. Wang hutang hasil tawaruq tadi, pelanggan guna untuk beli rumah dan rumah itu dicagarkan kepada bank.
Saya pernah tulis secara detail bagaimana kontrak tawaruq ini. Juga ada infografik dan video. Geng-geng QM banyak gunakan video ini untuk menjelaskan tentang Tawaruq. Link saya berikan di ruang komen.
4. Jadi hutang pelanggan dengan bank tetap kena bayar walaupun rumah terbengkalai. Sebab bank bukan jual rumah tersebut kepada pelanggan. Bank jual komoditi secara ansuran kepada pelanggan.
5. Analogi mudah begini: Sdra berhutang dgn saya 5k, dan duit tersebut Sdra membeli handphone Samsung S25 Ultra.
Handphone yang beli rosak, tapi hutang Sdra tetap kena bayar kepada saya. Urusan handphone Sdra adalah dengan syarikat Samsung, bukan dengan saya.
Sama juga dalam pembiayaan hartanah tadi. Urusan rumah terbengkalai tadi adalah dengan pemaju, bukan bank.
6. Jika pelanggan tidak bersedia dengan risiko sebegitu rupa, belilah rumah yang sudah siap daripada pasaran subsale.
MUSYARAKAH MUTANAQISAH
7. Satu pilihan yang ada memilih bank yang menyediakan pembiayaan secara “musyarakah mutanaqisah”.
Dalam kontrak jenis ini, bank akan membeli rumah secara pemilikan bersama dengan pelanggan dan menjual balik kepada pelanggan secara keseluruhan.
8. Antara perbankan Islam yang menawarkan kontrak jenis ini adalah Affin Islamic Bank. Saya pernah menulis detail tentang produk ini beberapa minggu lepas.
Dengan kontrak jenis ini, sekiranya rumah terbengkalai maka pelanggan tidak perlu membayar ansuran bulanan pembiayaan tersebut.
KESIMPULAN:
Tambahkan ilmu kewangan dan muamalat.
Ilmu kewangan untuk kita bertindak bijak dalam setiap keputusan kewangan. Hutang ibarat api. Kecil menjadi kawan, besar menjadi lawan.
Ilmu muamalat supaya kita faham hukum hakam dan tidak bermuda-mudah mengatakan perbankan Islam haram dan riba.
Hidup adalah pilihan. Kita yang tentukan, bukan bank.
Jika tulisan ini bermanfaat, kongsikan.
Sumber dari FB Afyan Mat Rawi
............................................................Buku F.I.R.E - FINANCIAL INDEPENDENCE RETIRE EARLY
RM49.00
Harga termasuk kos penghantaran