fbpx

Sedikit Perkongsian Tentang Rumah Dan Hartanah

  • 7 years ago
  • 7Minutes
  • 1357Words
  • 476Views

AWAS! AGAK PANJANG.

BUKAN TENTANG DRYER 
TAPI TENTANG RUMAH & HARTANAH.

<Boleh simpan dan share dulu>

Masuk tahun 2018 seminggu dua ini, saya banyak melakukan “window-shopping” untuk membeli rumah kediaman.

Teringat kali pertama saya window-shopping begini pada tahun 2008, ketika membeli rumah kediaman pertama.

Ketika itu bukan zaman internet seperti sekarang. Belum ada Facebook dan whatsapp.

Ketika itu, apa yang saya buat ialah cari papan-papan iklan rumah yang ada, dan hantarkan SMS kepada mereka dan maklumkan bajet rumah yang saya cari.

Dari situ saya melakukan visit ke atas kira-kira 10 unit rumah sehingga akhirnya saya dapat rumah yang saya duduk sekarang dengan harga di bawah harga pasaran

Walaupun saya usaha melalui beberapa ejen tapi Allah takdirkan saya berurusan dengan pemilik asal. Dapat harga lebih 10% di bawah harga pasaran, dan saya dapat balik deposit dan sedikit “cashback” selepas selesai urus niaga.

Selepas 10 tahun, ahli keluarga bertambah, berkehendak kepada kediaman yang lebih luas.

Kini tahun 2018, proses pencarian rumah lebih mudah dengan teknologi internet yang lebih berkembang. Hanya gunakan website untuk membuat carian awal dan boleh masukkan lokasi dan harga mengikut bajet kita.

Boleh gunakan perkhidmatan Google Map dan Streetview untuk tinjau awal. Kemudian barulah hubungi ejen untuk tinjauan sebenar.

Ekoran itu, saya banyak berjumpa dengan ejen-ejen hartanah ketika melakukan tinjauan ke rumah-rumah yang ingin dijual.

Sambil-sambil lakukan “viewing”, saya korek ilmu dan pengalaman mereka sebagai perunding hartanah.

Majoriti ejen bersungut dengan pasaran ekonomi yang lembap kerana susah untuk menjual rumah. Antara faktor ialah kerana bank semakin ketat dalam prosedur meluluskan pembiayaan perumahan.

Untuk mencari pembeli yang benar-benar layak semakin sukar. Ada rumah yang bertahun-tahun tidak dijual walaupun ada pembeli yang berminat tapi permohonan ditolak bank.

Di pihak pembeli pula, mereka bersungut harga rumah makin mahal, terutama anak muda yang baru graduasi. Ya, ia benar.

Saya pun bersungut juga. Dibandingkan dengan harga 10 tahun lepas, rasa menyesal tak beli lebih banyak ketika membeli rumah pertama dahulu. Barulah kapitalis sejati. Haha!

Tapi sekali dua bersungut sudah mencukupi.

Banyak bersungut harga rumah mahal pun tidak menjadikan harga rumah semakin turun. Ia juga tidak menjadikan kita menjadi semakin kaya dan dapat beli rumah.

Apa yang kita boleh buat ialah mencari rumah yang harga kita mampu.

Saya membuat tinjauan kawasan sekitar Gombak, Selayang dan Batu Caves, tempat yang saya tinggal sejak puluhan tahun dari zaman belajar.

Sebenarnya masih ada rumah teres (landed house) yang dijual bawah RM400,000. Rumah atas tanah dengan harga RM300,000 dan RM320,000 pun ada.

Ya, ada. Bukan rumah Alfafa ya Tuan-Puan.

Tapi janganlah expect rumah dengan harga itu ada 5-6 bilik, ada balkoni, ada halaman luas, boleh parking 5-6 biji kereta. Sendiri mahu ingat la, kawan!

Ia unit basic sahaja. Tapi ia sudah memadai bagi keluarga yang mencari rumah atas tanah. Ada rezeki akan datang boleh lakukan renovation.

Saya lebih suka rumah subsale berbanding rumah underconstruction untuk didiami kerana kita sudah tahu tahap kematangan kawasan tersebut, trafik keluar masuk, parkir luar rumah, kejiranan, pasar malam, kemudahan awam, sekolah dan sebagainya.

Ada juga pilihan untuk membeli rumah under-construction dengan bajet yang ada sekarang. Tapi saya utamakan sub-sale. Setiap individu ada cita rasa masing-masing.

Banyak info-info yang saya dapat apabila berjumpa dengan ramai ejen-ejen hartanah dalam seminggu dua ini.

Pemerhatian saya, berbanding 10 tahun lepas, kali ini jumlah ejen Melayu semakin ramai jika dibandingkan dengan ejen hartanah kaum Cina. 10 tahun lepas, daripada 10, hendak cari seorang Melayu pun sukar.

Satu perbezaan yang ketara antara ejen Melayu dengan ejen Cina, ialah sikap. Janji pukul 4 petang, pukul 4:20 baru sampai dengan alasan kesesakan jalan raya. Ada yang janji pukul 4:30, dah sampai masa baru beritahu masih di Putrajaya sebab tayar bocor.

Ada juga yang bagus, saya tak nafikan. Ada ejen yang berkongsi maklumat-maklumat yang jarang-jarang dikongsi kepada publik.

Apa pun, ada satu info sama yang saya dapat daripada mereka, rumah semakin susah hendak dijual sekarang, tidak seperti 4 – 5 tahun lepas. Termasuk pasaran hartanah lelong, hampir mustahil hendak mendapat harga reserve.

Ada seorang ejen hartanah yang saya jumpa, berpengalaman 7 tahun pun terpaksa cari kerja lain kerana pasaran hartanah yang lembap sekarang. Beliau kembali bekerja dalam sektor hartanah tahun lepas.

Ada ejen hartanah under-construction yang memaklumkan, unit-unit yang dijualnya berlapis-lapis senarai menunggu tapi masih belum terjual sebab bank reject.

Ada ejen hartanah lelong memaklumkan, sesi lelongan awam sekarang semakin ramai pembida dan hendak dapat harga reserve sangat mustahil kecuali sesi lelongan yang dibuat oleh mahkamah yang tidak ramai orang tahu atau sesi yang dibuat pada musim perayaan.

Pada saya inilah waktu terbaik untuk membeli rumah. Sangat mudah hendak mendapat rumah dengan harga di bawah harga pasaran terutama sub sale.

Ada unit yang saya buat survey, harga yang ingin dijual di bawah harga pasaran kira-kira 20%. Pemiliknya agak desprate. Beliau baru sahaja menjalani pembedahan pintasan jantung hujung tahun lepas dan banyak duit sudah habis.

Kasihan pula saya melihat situasi beliau ketika tunjukkan bahagian dadanya yang nampak kesan dibedah. Nampak beliau menyesal tidak ada sebarang polisi insurans dan terpaksa menggunakan simpanan.
Kemuncaknya, terpaksa jual rumah yang didiami untuk membiayai kos perubatan.

Saya selitkan kisah ini sebagai peringatan bersama. Pelaburan hartanah satu pelaburan yang bagus. Ia akan lagi bagus jika kita buat persediaan dengan melanggan takaful untuk perlindungan kewangan diri juga. Dalam kes tadi, sekalipun mempunyai MRTT ia takkan cover jika berlaku penyakit kritikal.

Bagi rakan-rakan yang mencari rumah sub-sale, usahakan tawar-menawar sehingga 10% ke 15% di bawah harga pasaran. Pasaran sekarang sangat sesuai untuk membeli rumah “murah”.

Tapi pastikan anda bersedia dengan tunai sebagai deposit. Harga murah di bawah harga pasaran bukannya membolehkan anda membeli rumah subsale tanpa deposit. Ia membolehkan anda dapat balik deposit atau cashback selepas urus niaga selesai.

Ada ejen berkongsi, terdapat segelintir pembeli yang bertanyakan bolehkah rumah dibeli tanpa sebarang deposit. Kata mereka daripada pembacaan di internet, ada cara untuk beli rumah dengan 0 downpayment.

Penjual ada ramai, rumah ada banyak, pembeli yang minat pun ramai tapi pembeli yang layak sangat kurang. Ada ejen yang saya semak dalam list beliau, mempunyai puluhan senarai rumah yang tidak dijual sejak 3 ke6 bulan lepas.

Sebenarnya situasi ini saya perasan sejak tahun 2016 ketika membeli sebuah unit untuk pelaburan.

Apa pun, senario ini tidak lama, ia berpotensi pulih dalam setahun dua atau paling lama 3 tahun lagi. Ketika keadaan pasaran baik, sangat sukar untuk mendapat harga sebaik ini. Ketika itu, rumah-rumah sub-sale mudah dijual dan pembeli-pembeli pun ramai yang layak.

Kawan,

Itulah pusingan ekonomi sejak berkurun-kurun lamanya. Ada musim subur dan ada musim kemarau.

Pada “musim subur”, ekonomi stabil dan hartanah mempunyai permintaan yang tinggi sehingga menyebabkan harga rumah naik mencanak.

Pada masa sama juga muncul pakar-pakar hartanah. Sana-sini sifu-sifu hartanah dan seminar-seminar hartanah mereka. Ada yang genuine dan tak kurang yang palsu. Kita boleh lihat situasi ini 4-5 tahun lepas.

Projek-projek baru pun banyak naik dengan jangkaan boleh jual dengan untung besar apabila siap kelak.

Pasaran hartanah pula naik dengan pantas apabila ada banyak transaksi di sesuatu kawasan.

Ia ada pasang surutnya. Selang beberapa tahun, kemarau mula terasa.

Kemarau mula terasa apabila ada pembeli rumah undercon yang merana menanggung hutang bayaran ansuran penuh kerana tiada pembeli yang mampu dan layak. Strategi flipping yang diajar 3-4 tahun lepas tidak berjaya.

Kemarau ini semakin terasa bahangnya apabila ada rumah-rumah yang baru siap setahun dua sudah pun masuk dalam senarai lelongan awam. Sifu-sifu tadi turut hilang bersama seminar-seminar anjurannya.

Kawan,

Ambil ibrah pengajaran dari kisah Nabi Yusoff.

“Musim subur” sudah berlalu. Setahun dua ini “musim kemarau”. Harga barang naik. Ramai rakyat dibuang kerja. Bajet kerajaan dicatu. Syarikat-syarikat besar juga terpaksa ditutup.

Bila akan tamat? Tiada siapa tahu.

2018, tanda-tanda pulih sudah ada namun segala kemungkinan boleh berlaku.

Di dalam pasaran saham, Bursa Malaysia mencatatkan pencapaian membanggakan tahun 2017 yang jauh lebih baik dari 2016 yang parah.

Kerajaan sedia ada pun berusaha untuk mengembalikan “musim subur” untuk meraih kepercayaan daripada rakyat menjelang PRU 14.

Kawan,

Fokus dengan apa yang ada di tangan.

“Focus on circle of control”.

Kita tak mampu untuk mengawal ekonomi negara dan dunia tapi kita mampu mengawal tabiat kewangan kita.

Yang sudah bersedia dengan “gandum-gandum” yang dituai ketika “musim subur”, mampu bertahan tatkala “kemarau”. Yang leka dengan kenikmatan di “musim subur” dahulu, mungkin sedang merana sekarang.

Pilihan di tangan kita.

Usah meminta hidup yang mudah. Tapi mintalah jiwa dan hati yang tabah.

(Jika bermanfaat, jemput kongsi-kongsikan tulisan ini)

Afyan Mat Rawi, IFP
Bukan pelabur hartanah tegar,
Tapi suka belajar dan berkongsi tentang kewangan dan hartanah.

............................................................
Buku FIRE
Buku F.I.R.E - FINANCIAL INDEPENDENCE RETIRE EARLY
RM49.00
Harga termasuk kos penghantaran

www.BukuFIRE.com

Apa komen Saudara/anda tentang tulisan ini?

Recommended
Semalam (17/01/2018) telah diadakan Kuala Lumpur Branch Appreciation Night &…