fbpx

Antara Cabaran Terbesar Jemaah Haji

Antara cabaran terbesar jemaah haji Malaysia sepanjang berada di bumi Mekkah ialah berulang alik dari hotel ke Masjidil Haram.

Dengan jarak 1km hingga 2km, jika tidak cukup kudrat dan kesihatan, memang akan mengganggu ibadah lebih-lebih lagi menuju ke Hari Arafah.

Suasana pagi dari Masjidl Haram ke hotel dengan jarak hampir 1 km. Pemandangan yang sangat dirindui. (video)

Saya tertarik dengan pengalaman seorang jemaah yang satu hotel dan maktab dengan saya. Jika saya tahu tip ini lebih awal, tentu saya juga turut lakukannya.

Apa yang dia dan isteri lakukan ialah; menempah hotel yang berdekatan dengan Masjidil Haram selama lebih kurang seminggu lebih apabila tiba di bumi Mekah. Mereka membuat tempahan awal sebaik sahaja menerima jadual penerbangan.

Ia memakan kos yang agak tinggi tapi berbaloi kerana berpeluang fokus kepada amal ibadah dengan lebih mudah dan selesa. Tambahan pula ia juga berbaloi kerana kos jemaah haji Malaysia yang menunaikan haji melalui muassasah hanya RM9,980 berbanding menggunakan pakej swasta minima RM30,000 ke atas. Jadi, dengan tambahan beberapa ribu RM, berpeluang menunaikan haji dengan lebih selesa 

Jika ada yang ingin mencuba tahun ini, mungkin sudah terlambat. Tapi boleh cuba tahun hadapan.

Suasana pagi dari Masjidl Haram ke hotel dengan jarak hampir 1 km. Burung merpati jinak ini di mana-mana… (video)

Sebaik sahaja tiba di bumi Makkah pada 2 Ogos 2017, kami menginap di Hotel Fajar Badie’ 4 yang menempatkan jemaah haji Maktab 86.

Kami tiba memang awal, seawal 2 Ogos 2017, hampir sebulan sebelum Hari Arafah yang dijangka jatuh pada 31 Ogos 2017.

Jarak dari hotel ke Masjidil Haram ialah kira-kira 900 meter. Alhamdulillah, ia agak dekat berbanding penempatan-penempatan lain.

Hari pertama sangat teruja untuk bersolat di hadapan Kaabah. Penat keletihan perjalanan dari Malaysia ke Mekkah masih tak hilang, malam itu kami terus menunaikan umrah wajib.

Antara hikmah jemaah yang tiba awal di Mekkah ialah jemaah haji masih lagi belum ramai tiba.

Jadi dapat beribadah dengan selesa dengan kurang kesesakan.

Berbanding minggu akhir sebelum Hari Arafah, kepadatan manusia di tahap maksima. Jika datang lewat terpaksa menapak lebih jauh kerana jalan-jalan utama dan pintu masuk utama ditutup. Mungkin jaraknya akan jadi dua kali ganda berbanding jarak asal.

Berulang-alik setiap hari dari hotel ke Masjidil Haram memerlukan kudrat dan tenaga yang kuat. Jadi saya sangat bersyukur kerana diberi peluang ini oleh ALLAH di usia muda sebelum cecah 40 tahun.

Disertakan beberapa video yang sempat saya rakam dari hotel ke Masjidil Haram.

Suasana pagi di hadapan Masjidil haram, kelihatan ramai peniaga berniaga di luar masjid. (video)

Pemilihan kasut sangat penting. Saya menggunakan kasut kanvas yang mempunyai tapak dalam yang lembut.

Ketika berada dalam kawasan Masjidil Haram, ia perlu dibuka. Hanya memakai stoking.

Dan apabila berjalan dengan hanya memakai stoking, kaki memang cepat letih dan sakit.

Apa yang saya buat untuk atasi masalah ini ialah sarungkan stoking supaya tidak nampak kasut!

Ya, ia kan jadi begini; pakai stoking, pakai kasut, kemudian pakai stoking untuk tutup kasut. Apabila buat begini, barulah kaki saya kurang sakit dan letih apabila berjalan di dalam Masjidil Haram. Apabila keluar dari masjid, buka balik stoking tadi.

Sebelum berbuat demikian, pastikan bersihkan tapak kasut daripada sebarang najis. Selalunya najis burung merpati yang berada di sepanjang perjalanan dari hotel ke masjid.

#MemoriHaji1438

Afyan Mat Rawi
Alumni Haji 1438
Hotel Fajr Badie’ 4, Makkah

Sumber dari FB Afyan Mat Rawi

Apa komen Sdra/i tentang tulisan ini?

WP Facebook Auto Publish Powered By : XYZScripts.com