Isu Hantaran Tinggi: Ada Yang Lebih Tinggi Dari Hantaran Dan Kos Perkahwinan

Baru-baru ini kecoh video rungutan dan bebelan tentang kos hantaran.

Nah, saya kongsikan video dari zaman P. Ramlee

Saya teringat artikel yang saya tulis di Majalah Niaga pada tahun 2014. Link tulisan itu boleh dirujuk kembali di http://www.majalahniaga.com/bajet-kahwin-vs-bajet-keluarga.…

 

SINDIRAN P. RAMLEE MELALUI FILEM SENIMAN BUJANG LAPOK

Ingat lagi filem Seniman Bujang Lapok? Saya sertakan cuplikan babak filem tersebut.

P. Ramlee, melalui filem ini pernah melontarkan kritikan sinis isu ini lewat filemnya.

Masih ingat satu scene dalam filem Seniman Bujang Lapok, ketika Ajis dan ibunya berbincang bersama rakan-rakan serumahnya; Ramli dan Sudin?

Ketika itu mereka berbincang tentang hantaran yang tinggi diletakkan oleh emak si Eton kepada Ajis, tiba-tiba mereka terdengar jiran sebelah bergaduh suami-isteri. Rupanya-rupanya pergaduhan suami-isteri jiran mereka berpunca dari keengganan si suami membeli emas kepada si isteri. Si suami mengatakan bahawa dia tidak mampu dan si isteri mendesak.

Apabila diungkit-ungkit, maka si suami mengungkit-ungkit kisah hantaran yang diletakkan oleh keluarga si isteri sebanyak RM5,000 sehingga si suami terpaksa meminjam ceti.

“Anak sudah tiga orang, tapi hutang benggali masih belum habis”, bentak si suami dalam filem berkenaan.

RM5,000 jika di nisbahkan kepada zaman sekarang selepas inflasi dan peningkatan kos sara hidup 4%, ia sekurang-kurangnya bersamaan dengan RM50,000!

Jika kiraan dengan kadar inflasi 6%, ia boleh mencecah ke RM150,000!!!

Sekalipun filem tersebut pada tahun 1960-an, ia masih relevan sehingga sekarang.

BERAPA KOS KAHWIN HARI INI?

Berapakah bajet majlis perkahwinan hari ini?

Pengalaman saya mengendalikan program-program perancangan kewangan, para peserta meletakkan jumlah minimum untuk mengadakan kenduri perkahwinan adalah antara RM15,000 hingga RM20,000, malah ada yang mencecah RM50,000 ke RM100,000!

Wow!!!!

Ia termasuk
– kos kenduri yang mencecah RM10,000 – RM20,000,
– kos fotografi sekitar RM1,000 hingga RM2,000,
– kos mak andam sekitar RM1,000,
– kos kad kahwin RM500,
– kos kanopi RM500-RM2000,
– kos cincin hantaran,
– kos barang hantaran,
– kos baju pengantin,
– dan pelbagai kos lagi.

Secara umumnya, ia sudah menjadi budaya dalam masyarakat kita untuk bermewah-mewah dalam majlis perkahwinan. Sedar tak sedar, budaya ini sudah mengakar dalam masyarakat kita sekian lama, dan sebenarnya membawa lebih banyak keburukan berbanding kebaikan.

KAHWIN BERHUTANG

Ia sudah menjadi perkara biasa dalam masyarakat apabila terpaksa memohon pinjaman peribadi untuk melangsungkan perkahwinan, walhal ada perkara yang lebih besar daripada itu.

Berkahwin bukan sekadar untuk mengadakan majlis besar-besaran, ia adalah untuk membina sebuah rumah tangga dan keluarga. Dalam kewangan juga, ada perkara yang lebih penting daripada membiayai kos majlis perkahwinan, yang majlisnya hanya sehari.

Ya, hanya sehari majlis kenduri perkahwinan atau paling lama mungkin dua atau tiga hari, dan jika dikenang orang pun paling lama mungkin seminggu atau sebulan, kerana selepas itu ada majlis perkahwinan yang lebih gilang-gemilang!

5 PERKARA PENTING DALAM PERANCANGAN KEWANGAN KELUARGA YANG JAUH LEBIH PENTING DARI HANTARAN DAN KOS KENDURI KAHWIN

Dalam sebuah perancangan kewangan keluarga, ada perkara yang lebih penting lagi daripada kos majlis perkahwinan, antaranya;

1) RUMAH KEDIAMAN
Merancang pembelian rumah kediaman. Ia gunanya untuk sesebuah keluarga mendiaminya.

Jika harga sebuah rumah RM200,000, sesebuah pasangan perlu menyediakan sekurang-kurangnya RM20,00 ke RM30,000 yakni 10%-15% untuk deposit dan yuran-yuran lain untuk membeli rumah.

 

2) PERANCANGAN TAKAFUL SUAMI ISTERI

Suami yg bijak, merancang perancangan takaful sedari muda. Selaku ketua keluarga, sangat penting plan takaful perlindungan pendapatan untuk memastikan pendapatan berterusan sekiranya ditimpa musibah kematian, lumpuh atau sakit kritikal yang menjejaskan pendapatannya.

 

3) KOS PENDIDIKAN ANAK-ANAK

Merancang pendidikan anak. Ibu bapa yang baik ialah ibu bapa yang dapat menyediakan pendidikan yang terbaik untuk anak-anak mereka. Pendidikan yang baik tidak semestinya mahal, namun selalunya ia memerlukan kos yang tinggi untuk mendapatkan pendidikan yang baik.

 

4) PERANCANGAN PERSARAAN

Perancangan persaraan. Biarpun pasangan yang berkahwin baru berusia 25 hingga 30 tahun, namun perancangan persaraan perlu dimulakan sekarang supaya dapat bersara dalam keadaan selesa tanpa perlu berpenat lelah di usia emas dan menyusahkan anak-anak.

 

5) PERANCANGAN HAJI

Perancangan menunaikan haji. Kos haji hari ini sekitar RM10,000 -RM20,000. Ia akan meningkat dari masa ke masa. Justeru, menunaikan haji di usia muda dan bertenaga adalah lebih baik.

Serta banyak lagi, daripada merancang kewangan untuk membiayai perkahwinan sahaja, yang hanya sehari majlisnya.

Akhir kata, pesanan buat bakal-bakal pengantin baru, boleh merancang secara bijak dalam membuat bajet untuk majlis perkahwinan yang hanya di ingati sehari, atau paling lama seminggu atau sebulan.

Ada perancangan yang lebih besar dan patut diutamakan yang kesannya akan sampai hingga ke liang lahad, iaitu perancangan kewangan keluarga.

 

Apa komen Sdra/i tentang tulisan ini?