19 Tip Kewangan Untuk Graduan Muda
Tip Terakhir paling penting.
1. Sebelum grad terus cari kerja, bukan tunggu dah grad baru nak tergesa-gesa. Jangan sekali-kali ada perasaan nak “berbulan madu” selepas grad konon nak rehat sebab penat belajar 3-4 tahun dahulu. Zaman sekarang, persaingan makin sengit. Siapa lambat kena tinggal.
2. Buat bajet bulanan dan tahunan sebaik sahaja dapat gaji pertama. Peruntukan siap-siap belanja setiap item seperti sewa rumah, makan minum, kenderaan, hiburan, bil utiliti, telefon dan sebagainya. Boleh gunakan beberapa apps untuk lakukan perkara ini. Search “money manager” dalam Apps Store atau Google Play dan install.
3. Fokus kepada belanja kos sara hidup, dan jangan bazirkan untuk kos gaya hidup. Bezakan antara keperluan dengan kemampuan, apatah lagi kemewahan. Orang bujang baru grad, peruntukkan 30% daripada pendapatan bulanan dah memadai untuk kos keperluan sara hidup. Jika lebih daripada itu, selalunya ia untuk gaya hidup, bukan sara hidup.
4. Cari kerja dan kemudian cari rumah yang berdekatan dengan tempat kerja. Atau cari kerja yang dekat dengan rumah kita. Lagi dekat lokasi rumah dan tempat kerja, lagi bagus sebenarnya. Atau sekurang-kurangnya lokasi yang mudah untuk akses pengangkutan awam ke rumah dan pejabat kita.
5. Kenapa nak kena cari pejabat yang dekat dengan rumah kita? Supaya tak perlu lagi beli kereta. Tak perlu ikut trend majoriti orang lain untuk beli kereta. Salah ke beli kereta? Beli kereta tak salah, tapi ramai orang beli kereta yang salah. Untuk mengelakkan kesalahan tersebut, jangan beli lagi kereta sekurang-kurangnya 3 ke 5 tahun selepas grad.
6. Kekalkan gaya hidup yang sama seperti sebelum grad. Jika sebelum ini biasa makan nasi bungkus, kekalkan gaya hidup yang sama. Tak perlu berlagak sangat makan dekat restoran hipster mentang-mentang selama ini dapat duit PTPTN dan kali ini dapat duit gaji. Kekalkan juga cara ini apabila gaji meningkat, insya-Allah masa depan akan selamat.
7. Belajar-belajar buat kerja part-time . Zaman sekarang, tak cukup dengan hanya satu kerja. Bak kata menteri zaman Malaysia lama, kena buat 2-3 kerja. Nasihat yang baik itu kita ikut sahaja. Kena buat lebih dari satu kerja. Orang muda, kudrat masih kuat, masa masih banyak, jangan di bazir begitu sahaja. Jadi maksimumkan ia. Cari kerja part time yang mempunyai potensi untuk berkembang. Mana tahu suatu hari nanti kena buang kerja? Jadi dah ada back up dari sekarang.
8. Boleh juga cuba-cuba bisnes sambilan yang bermula dengan kos yang rendah. Ada berlambak-lambak bisnes yang hanya bermodalkan tak sampai RM100. Bisnes yang bagus bukan bisnes yang perlukan banyak modal wang, tapi bisnes yang bagus memerlukan modal insan. Bisnes berbentuk servis tidak perlukan modal yang besar. Contoh seperti mengajar tuisyen, mengajar mengaji, designer, fotografi, ejen takaful, ejen unit trust dan sebagainya.
9. Walaupun saya galakkan untuk buat bisnes part time, tapi jangan mudah-mudah join bisnes atau pelaburan yang memerlukan modal besar. Modal RM1,000 adalah terlalu besar untuk orang muda yang baru memulakan bisnes atau untuk membuat pelaburan. Silap gaya boleh tersontot dan masuk ke #nerakawang. Cara paling mudah untuk elak kena scam, pegang prinsip ini “semua peluang bisnes dan pelaburan adalah scam kecuali dibuktikan sebaliknya”.
10. Simpan sekurang-kurangnya 50% daripada gaji. Simpan, bukan parking! Dapat simpan 70% daripada gaji lagi bagus. Waktu muda, komitmen tak banyak, hutang tak banyak, jadi patutnya boleh buat simpanan banyak-banyak. Lagi banyak simpan, lagi bagus. Buat tabungan dana kecemasan bersamaan 3 ke 6 bulan gaji. Fungsinya adalah untuk kegunaan di kala kecemasan.
11. Simpanan kahwin? Buat simpanan baru yang berasingan daripada tabungan di atas. Rancang elok-elok dengan pasangan dan keluarga untuk adakan majlis kenduri yang sederhana supaya tak habiskan kos yang banyak untuk majlis yang hanya berjalan sehari sahaja. Jangan sekali-kali berhutang untuk berkahwin.
12. Buka akaun Tabung Haji dan daftar haji. Buka akaun tak semestinya daftar. Jika daftar sekarang, giliran haji mungkin 50 tahun akan datang! Lagi lambat daftar lagi lambat giliran. Selepas itu, buat simpanan tetap dah berkala pula di Tabung Haji untuk sasarkan simpanan RM10,000 sebagai jumlah minimum kos menunaikan haji.
13. Jauhkan dari segala jenis hutang. Hutang kereta, hutang kad kredit, hutang personal loan, hutang kahwin dan segala jenis hutang. Lebih-lebih lagi berhutang dengan kawan, saudara mara, ahli keluarga atau ibu bapa. Sekali kita berhutang, kita akan rasa ketagih nak berhutang lagi.
14. Langgan takaful income protection dan medical card sebaik sahaja dapat gaji yang pertama. Waktu muda, sumbangan takaful ni masih rendah. Penyakit pun tak ada lagi. Sihat sejahtera. Jadi, sangat mudah polisi takaful diluluskan. Pastikan sumbangan bulanan jangan lebih daripada 10% gaji bulanan utk perlindungan 10 kali pendapatan tahunan dan medical card dengan limit tahunan yang tinggi, sekurang-kurangnya RM100,000.
15. Sekiranya sudah ada simpanan 6 bulan dan polisi takaful, dah boleh mula dengan rancang pula untuk pelaburan. Mulakan dengan pelaburan ilmu dengan beli buku-buku berkaitan dengan kewangan dan pelaburan. Pelaburan ilmu tak semestinya kena datang kursus dan seminar yang bayar ratus-ratus atau ribu-ribu, lepas tu kena menyanyi dan berjoget. Beli buku tidak memerlukan modal yang besar tapi impaknya signifikan. Pastikan buku itu dibaca selepas beli, bukan jadi tukun.
16. Follow beberapa influencer yang banyak menulis tentang kewangan. Ini cara paling mudah untuk belajar tanpa perlu keluar duit banyak pun. Klik follow dan see first mereka. Saya sebutkan beberapa mana Dr Azizul Azli Ahmad, Harith Faisal, Khairul Ezuwan, Azizi Ali Mentor Wang, Nur Aliah MohdNor, Syafieqah A’lya, Alwi Adam, Afyan Mat Rawi (ehem, ehem).
17. Pelaburan pertama digalakkan ialah pelaburan dengan kos yang rendah, mudah cair dan risiko tidak terlalu tinggi seperti emas, unit trust atau ASB Financing. Boleh lakukan pelaburan berkala secara bulanan. Boleh peruntukkan 10% daripada pendapatan untuk lakukan pelaburan secara berkala ini. Cara ini juga dikenali dengan nama RSP atau Regular Saving Plan. Sedikit-sedikit lama-lama jadi bukit. Jangan terus nak melabur besar tapi akhirnya tersontot.
18. Simpanan yang dibuat dan pelaburan berkala yang dilakukan tadi boleh menghasilkan jumlah dana yang besar selepas beberapa tahun. Asingkan sejumlah simpanan 3 bulan gaji sebagai dana kecemasan, kemudian boleh mulakan untuk tabungan untuk deposit membeli rumah. Rumah boleh dijadikan tempat tinggal dan juga pelaburan bagi jangka masa panjang.
19. Jangan lupa asingkan wang untuk beri kepada ibu ayah. Sebenarnya mereka bukan nak sangat duit kita. Duit yang kita bagi pun sebenarnya tak mampu pun nak balas jasa mereka. Tapi duit itulah tanda kita kenang jasa dan budi mereka yang selama ini lahir dan jaga kita sampai kita boleh berdikari. Minta restu dan minta doa daripada mereka untuk kejayaan kita.
Afyan Mat Rawi, IFP
INFAQ Consultancy
Sumber dari FB Afyan Mat Rawi
............................................................Buku F.I.R.E - FINANCIAL INDEPENDENCE RETIRE EARLY
RM49.00
Harga termasuk kos penghantaran