fbpx

5 Risiko utama ASB Financing yang pelanggan wajib tahu

  • 7Minutes
  • 1198Words
  • 19Views

RISIKO ASB FINANCING

Sebelum melabur, kita wajib tahu apa risiko yang ada. Bagi ASB Financing, ada beberapa risiko yang kita perlu tahu dan kita juga perlu tahu cara untuk mengatasi risiko tersebut.

1. KEUNTUNGAN ASB VS KEUNTUNGAN BANK

ASB Financing melibatkan pembiayaan bank. Setiap pembiayaan bank pasti ada keuntungan bank (bank profit). Bank bukan badan kebajikan dan bank sememangnya buat untung di atas setiap pembiayaan.

Untuk pembiayaan Islamik, kita tidak panggil keuntungan bank sebagai faedah, tetapi bank profit. Iaitu hasil daripada keuntungan akad jual beli.

Bab pembiayaan Islamik ini Tuan/Puan boleh cari tulisan-tulisan saya, banyak kali dah djelaskan satu persatu. Senang cerita, apabila disahkan patuh syariah, kita sebagai umat Islam terima dan ikut dengan yakin.

Jadi bank akan ambil keuntungan di atas pembiayaan kita. Dalam masa yang sama, duit bank akan dimasukkan ke dalam akaun ASB pelabur.

Maka pelabur akan dapat keuntungan daripada duit tersebut.

Katakan sijil RM100,000, bank profit 3.95% dan keuntungan ASB 5.5%. Bank akan ambil keuntungan 3.95% di atas nilai sijil RM100,000 tersebut.

Manakala pelabur akan dapat keuntungan 5.5% di atas sijil yang sama. Jadi selagi kadar keuntungan lebih tinggi berbanding bank profit, pelabur tetap untung.

Ada sesetengah kes, bayaran tahunan lebih tinggi berbanding keuntungan walaupun kadar keuntungan lebih tinggi berbanding bank profit. Punca utama adalah tempoh pembiayaan yang pendek.

Maka, untuk mengelakkan keadaan tersebut, ambillah tempoh pembiayaan yang paling panjang supaya bayaran bulanan minimum.

Kelebihan ASBF adalah ia menggunakan kadar berubah (variable rate). Maksudnya kadar boleh berubah ikut keadaan ekonomi.

Jika ekonomi teruk, kadar keuntungan biasanya rendah. Dalam masa yang sama, kebiasaannya bank profit juga akan turun.

Maka pelabur juga akan membayar kadar bulanan yang rendah. Jadi risiko kerugian akan lebih rendah.

Jika kadar tetap, pasti pelabur akan rugi jika keuntungan rendah tetapi kadar bayaran kekal tinggi. Jadi, ASBF dicipta untuk mengurangkan risiko kerugian kepada para pelabur.

2. TAK MAMPU BAYAR

Risiko kedua adalah tidak mampu bayar, mungkin disebabkan kehilangan kerja atau komitmen semakin tinggi.

Bagi pelabur yang telah membuat simpanan lebih dari setahun, tidak ada masalah. Rakan-rakan boleh gunakan keuntungan untuk membayar semula ansuran bulanan.

Maka setiap bulan tidak perlu bayar guna duit gaji. Tukar sahaja teknik compounding kepada teknik rolling keuntungan.

Bagi pelabur baru yang belum sampai setahun, jika benar-benar tidak mampu untuk membayar, boleh sahaja tamatkan bila-bila masa.

Untuk pembiayaan Islamik, tiada denda. Yang ada cuma tunggakan atau keuntungan bank yang telah berjalan.

Sebab itu pastikan ambil pembiayaan Islamik, jangan ambil pinjaman konvensional.

Kalau pelabur tidak tamatkan, ASB Financing akan tamat secara automatik jika pelabur gagal membayar ansuran selama dua bulan berturut-turut. Jadi akan ada dua bulan tunggakan.

Kes seperti ini pun tidak menjadi masalah kerana selama dua bulan itu sijil ASB masih berada dalam akaun pelabur, keuntungan tetap dikira.

Katakan tamat automatik pada bulan 6, maka awal bulan 1 tahun berikutnya tetap akan dapat keuntungan bagi bulan 4 dan 5 yang tidak dibayar itu.

Keuntungan dikira dari bulan 1 hingga 5 walaupun hanya dibayar sampai bulan 3 sahaja. Jadi sementara menunggu keuntungan itu masuk, nama mungkin jadi “busuk” sekejap.

Apabila dapat keuntungan, teruslah selesaikan tunggakan dua bulan. Nama kembali “wangi”. Jangan pula apabila sudah dapat keuntungan, terus lupa akan tunggakan hutang. Hutang wajib dibayar.

Apa pun, teknik terbaik untuk memaksimumkan keuntungan ASBF ialah dengan membayar ansuran setiap bulan dan jangan rolling keuntungan.

3. TERPAKSA BERHENTI AWAL

Risiko ketiga ialah terpaksa tamatkan lebih awal. Contohnya pelabur sudah ada ASBF, hutang pembiayaan peribadi, hutang kereta dan sebagainya.

Kemudian hendak beli rumah tetapi permohonan pembiayaan tidak lulus kerana komitmen tinggi. Komitmen tinggi ini bukan kerana ASBF sahaja, hutang-hutang lain turut diambil kira.

Maka pilihan yang paling mudah, tamatkan sahaja ASBF. Takkan hendak jual kereta atau selesaikan sepenuhnya hutang pembiayaan peribadi? Jarang ada yang mampu buat pilihan itu.

Jadi apabila tamatkan ASBF, komitmen menjadi bersih dan pembiayaan rumah lebih mudah lulus. Tapi, adakah ia pasti lulus? Tidak semestinya.

Kalau hutang kereta dan pembiayaan peribadi masih tinggi, tetap sukar untuk lulus pembiayaan rumah. Dua hutang ini bukan mudah untuk diselesaikan.

ASBF jika maksimum RM200,000 pun tidak ada masalah untuk ditamatkan. Tetapi hutang kereta dan pembiayaan peribadi yang tinggi boleh menjadi bahaya. Maka fikir-fikirlah sebelum membeli kereta atau membuat pembiayaan peribadi.

Pastikan ambil ASBF Islamik supaya tidak dikenakan penalti jika tamatkan lebih awal. Mungkin pada masa itu deposit rumah tidak mencukupi.

Apabila dihentikan, keuntungan terkumpul dan nilai serahan (surrender value) boleh digunakan sebagai deposit rumah.

Dua masalah selesai sekali gus.

Yang pertama, masalah pembiayaan tidak lulus.
Yang kedua, masalah deposit rumah.

Nampak tak bagaimana ASBF menukar masalah menjadi penyelesaian?

4. ISLAMIK TAPI KENA PENALTI?

Yang ini biasanya berlaku jika ambil takaful tempoh panjang dan tamatkan terlalu awal.

Contohnya apabila buat ASBF RM100,000 + takaful 30 tahun. Jumlah pembiayaan jadi lebih kurang RM103,000. Lebihan RM3,000 itu sebenarnya untuk bayaran takaful.

Ramai yang tidak sedar pun bahawa ASBF mereka ada takaful. Jadi, sila semak semula surat tawaran (offer letter). Jika ada lebihan tersebut, bermakna ada perlindungan takaful.

Baki hutang akan berkurang dari RM103,000 sedikit demi sedikit apabila bayaran bulanan dibuat. Biasanya ambil masa sekitar 2 hingga 3 tahun untuk baki hutang kurang daripada RM100,000.

Jika tamatkan awal, contohnya ketika baki hutang lebih kurang RM102,000, akan ada shortfall.

Maksudnya nilai sijil tidak dapat menampung baki hutang kerana nilai sijil hanya RM100,000. Maka berlaku shortfall sebanyak RM2,000.

Itulah yang biasanya orang sebut sebagai denda atau penalti.

Sebenarnya, itu bukan penalti. Itu adalah baki hutang yang belum diselesaikan.

Pembiayaan Islamik tidak mengenakan penalti jika tamat awal.

Jika rajin, bacalah syarat-syarat dalam borang permohonan. Kadangkala ada juga pegawai bank yang tidak faham dan tersilap memberi penerangan kepada pelanggan.

Jadi bagaimana mahu elakkan shortfall?

Kita sebenarnya boleh ambil takaful minimum 5 tahun. Untuk sijil RM100,000, nilai bayaran takaful untuk 5 tahun hanyalah sekitar RM620.

Maka jumlah pembiayaan menjadi sekitar RM100,620. Dalam masa 6 bulan, baki hutang akan berkurang kepada bawah RM100,000.

Maka tiada masalah jika hendak tamatkan lebih awal.

Katakan paling teruk selepas 2 bulan terpaksa tamatkan, baki hutang pada masa itu lebih kurang RM100,330. Maka shortfall hanyalah sekitar RM330 sahaja. Bukan masalah besar.

Sebab itu saya tidak pernah mencadangkan pelanggan saya untuk ambil takaful sehingga tempoh panjang.

Kadang-kadang kita merancang untuk simpan lama, tetapi ada masanya kita perlu tamatkan awal atas sebab-sebab tertentu.

ASBF ini tiada masalah jika hendak tamatkan dan mohon semula dalam masa terdekat. Ramai yang terpaksa buat begitu atas keperluan masing-masing.

Lain orang, lain keperluannya.

Jadi, boleh lepaskan dahulu ASBF, kemudian mohon semula.

5. TIADA ASBF YANG MENGGUNAKAN KADAR TETAP

ASBF menggunakan kadar pembiayaan terapung yang boleh meningkat dan menurun ikut OPR Bank Negara.

Ramai beranggapan pembiayaan jenis terapung lebih berisiko. Hakikatnya, ini kurang tepat.

Sebenarnya, pembiayaan kadar tetap lebih berisiko. Sebagai contoh, sebelum pandemik Covid-19, kadar pembiayaan ASBF sekitar 5.0%.

Apabila pandemik melanda dan ekonomi merudum, keuntungan ASB turun tetapi pelabur yang ambil kadar tetap masih perlu bayar pada kadar 5.0%.

Sebaliknya, pelabur ASBF dengan kadar terapung dapat menikmati kadar lebih rendah apabila OPR diturunkan, sekitar 3% lebih.

Jadi risiko rugi lebih rendah.

Kelebihan kadar terapung ialah ia mencipta situasi menang menang antara bank dan pelabur.

Kebiasaannya:

– Apabila ekonomi baik: kadar pembiayaan tinggi, keuntungan juga tinggi

– Apabila ekonomi teruk: kadar pembiayaan rendah, keuntungan juga rendah

PENUTUP

Setiap pelaburan pasti ada risiko. Semakin tinggi risiko, semakin tinggi potensi keuntungan.

Tetapi setiap risiko boleh diuruskan dengan ilmu dan strategi yang betul.

Belajarlah dahulu sebelum melabur.
Jika tidak faham, boleh tanya. Jangan segan.

Sertai grup belajar PERCUMA di sini

Sumber dari FB Afyan Mat Rawi

............................................................
Buku FIRE
Buku F.I.R.E - FINANCIAL INDEPENDENCE RETIRE EARLY
RM49.00
Harga termasuk kos penghantaran

www.BukuFIRE.com

Apa komen Saudara/anda tentang tulisan ini?