Tersontot di pintu Atomy
FAQ TERSONTOT DI PINTU ATOMY
1. LATAR BELAKANG JOIN ATOMY
SOALAN: Atomy ni apa? Ada kaitan dengan Atome ke?
JAWAPAN:
Atomy Co Ltd adalah sebuah syarikat MLM di Korea, yang memasarkan produk-produk kelihatan dan isi rumah. Tak ada kaitan dengan Atome
SOALAN: Bagaimana Afyan boleh terlibat dengan Atomy?
JAWAPAN:
Dr Tengku Asmadi (DTA) approach saya secara personal pada 6 Mei 2020. Masa tu PKP dan saya daftar atas dasar hormat dan percaya kpd DTA. Tambahan pula ia percuma sahaja.
Selepas 2 bulan, pada Julai 2020 baru saya buat belian pertama sebab tertarik dengan produk yg DTA kongsikan iaitu sabun basuh pinggan Atomy yg boleh cuci periuk dan kuali dgn mudah.
Selain itu saya beli beberapa produk harian seperti berus gigi, ubat gigi dan span basuh pinggan.
Selepas dah guna beberapa produk, barulah saya start promote.
SOALAN: Betul ke Afyan dapat income RM40K setiap bulan
JAWAPAN: Saya dapat income RM40K pada bulan Disember 2020, bukannya setiap bulan.
Saya bermula dengan income pertama RM79 pada bulan pertama saya aktif, Julai 2020. Kemudian naik ke RM1,492 pada bulan Ogos dan meningkat sedikit demi sedikit hingga bulan Disember RM43,615.

SOALAN: Wowssss! Bagaimana boleh dapat income sebanyak itu?
JAWAPAN: Atomy pakai sistem binary, kena aktifkan downline kiri dan kanan.
Masa saya mula aktifkan pada Julai 2020, sebelah kaki dah ramai, DTA yang susun. Jadi saya aktifkan sebelah sahaja lagi.
Alhamdulillah, dalam masa beberapa bulan saya berjaya naik satu ranking ke satu ranking. Sales Master, Diamond Master dan Sharon Rose Master atau SRM.
Saya SRM ke-6 dalam Group DTA pada bulan Disember 2020.
2. ISU KRISTIANISASI ATOMY
SOALAN: Bagaimana isu Kristianisasi muncul?
JAWAPAN: Pada sekitar bulan November 2020 apabila Ustaz Lariba membuat pendedahan.
Setelah membaca tulisan berkenaan, saya dapati majoriti isu yang dikemukakan pernah saya perhalusi dan ia berkisar tentang bermuamalat dengan syarikat non-Muslim.
16 November 2020, saya jawab persoalan dan isu dikemukakan dengan baik dan rentetan jawapan itu, ahli makin bertambah dan bertambah yakin.
Malah sebenarnya sebelum itu pun sudah ada beberapa kritikan oleh haters terhadap saya (bukan isu Kristianisasi), tapi saya jawab dengan baik. Ia menambah keyakinan ahli dan makin ramai join.
Berbalik kepada isu Kristianisasi, Team DTA juga telah menubuhkan satu kumpulan bertindak dengan nama “Maqasid Syariah Atomy” pada hujung November dan saya dijemput.
Tujuannya utk mendapat pandangan hukum berkenaan isu yang bangkit, dan mengusahakan pematuhan syariah Atomy.
Team ini juga mengambil tindakan untuk mengadakan muzakarah dengan beberapa ahli agama pada 27 November 2020 di pejabat DMFK.
Kesimpulan daripada muzakarah itu perniagaan ini harus kerana tidak ada sebarang bukti kukuh Atomy menjalankan aktiviti Kristianisasi. Maklumat yang ada ialah Atomy diusahakan oleh orang Kristian.
Juga pada 29 November, dalam satu sesi usrah “Islamic Finance”, kami bincangkan isu ini. Naqib dan ahli usrah adalah dari kalangan mereka yang terlibat dalam kewangan Islam dan saya menjadi presenter berkenaan Atomy.
Juga kesimpulan sama, harus dan boleh teruskan.
Secara personal saya tanyakan kepada beberapa ilmuan, adakah haram saya bersama Atomy tapi tidak ada yang mengatakan haram, maka saya teruskan.
Juga persoalan sama saya ajukan kepada beberapa pejabat mufti tanpa ragu
Ketika itu beberapa kali saya nyatakan bahawa saya tidak akan ragu untuk tinggalkan bisnes Atomy sekiranya ia benar-benar haram.
SOALAN: Tapi apa yang menyebabkan Afyan tinggalkan Atomy?
JAWAPAN:
Pada 19 Disember 2020, seorang rakan berkongsi 2 video berkenaan Atomy Co Ltd menjalankan aktiviti Kristianisasi di seluruh dunia.
Dalam video itu ada satu pengakuan seorang rakyat Malaysia yang dikaburkan wajahnya mengatakan bahawa jika aktiviti itu diketahui oleh kerajaan, dia sebagai penjawat awam boleh diambil tindakan.
Meremang bulu roma saya menonton video tersebut dan sangat terkejut.
Lalu saya maklumkan dalam group Maqasid Syariah Atomy, tapi DTA bersikap defensif.
Masa ini saya dah mula ragu. Bukti tersebut tersangatlah jelas berbanding sebelum ini.
Saya maklumkan dalam group, video tersebut akan sampai kepada publik dan ahli kita, dan kita tidak ada jawapan. Bukti aktiviti Kristianisasi sangat jelas.
Tak lama selepas itu, pada 31 Disember pecah berita Atomy Co Ltd menjalankan aktiviti Kristianisasi yang didedahkan oleh NGO MRM (Multiracial Reverted Muslim) apabila mereka kekuarkan satu video dokumentari penglibatan Atomy Co Ltd dengan aktiviti Kristianisasi.
Memang video tersebut menjadi perbincangan hangat di dalam group-group Atomy, sebagaimana yang saya jangka awal.
Tahun baru disambut dengan pahit oleh ahli-ahli Atomy dan saya sudah bersedia dengan sebarang kemungkinan.
SOALAN: Adakah Afyan tinggalkan Atomy selepas itu?
JAWAPAN: Belum serta-merta.
Dengan bukti terbaru, saya mengambil tindakan untuk bertanyakan kepada beberapa ilmuan, jabatan mufti dan fatwa-fatwa negeri apakah hukumnya saya terlibat dalam bisnes Atomy.
Dalam masa sama Team Maqasid Syariah Atomy tadi mengusahakan satu sesi muzakarah dengan MRM. Tarikhnya pada 6 Januari 2021.
Hari yang sama juga, Naqib usrah Islamic Finance saya, Ustaz Rumaiza ajak berjumpa dengan Sdra Firdaus Wong di pejabat MRM.
Pada hari yang sama, 6 Januari 2021, ada 2 event penting bagi saya.
Siangnya saya bersama Naqib berjumpa dengan Sdra Firdaus Wong di pejabat MRM
Malam hari yang sama, saya bersama Team DTA berjumpa dengan Team MRM
Ia menatijahkan satu resolusi bersama antara kedua-dua belah pihak yang dikeluarkan pada keesokan harinya, 7 Januari 2021.
Selepas balik dari pertemuan tersebut saya lakukan solat istikharah untuk Allah tunjukkan jalan.
Dan sebenarnya, ada beberaa petunjuk yang Allah berikan dari bulan Disember hingga Januari, yang baru saya nampak dan terfkir semasa lakukan istikharah…
Fuhhh… Panjangnya. Ada ke yang baca sampai habis?
Banyak lagi peristiwa penting dari Januari 2021 hingga Disember 2025, keputusan saman fitnah ditolak mahkamah.
Ramai ke yang berminat nak tahu selanjutnya? Cer komen, like dan share
Klik juga hashtag sebelum ini #memoribersamaatomy
Saya mulakan hashtag baru #tersontotdipintuAtomy
UPDATE: Saya dah sambung bahagian kedua
Tolong like, komen dan share sebagai tanda sokongan
Sumber dari FB Afyan Mat Rawi
