Kita pernah lalui PKP 2020, kali ini jangan tunggu krisis datang baru bersedia

PMX berkata bahawa harga petrol Budi 95 mungkin hanya mampu bertahan sekitar dua bulan lagi.
Pada masa yang sama, Menteri Pertanian menyarankan rakyat mula menanam sayur sendiri di rumah.
Kementerian Pendidikan pula memberi bayangan kemungkinan PdPR selepas cuti raya.
Dalam masa yang sama, terdapat cadangan daripada beberapa kementerian supaya sektor awam melaksanakan kerja dari rumah atau work from home (WFH)
Semua ini sebenarnya isyarat awal bahawa kerajaan sudah melihat tanda-tanda krisis yang mungkin berlaku dalam masa terdekat.
Kali terakhir kita melalui keadaan seperti ini ialah pada tahun 2020 ketika PKP dilaksanakan.
Jika konflik berlarutan, tidak mustahil kesannya boleh mengambil masa berbulan-bulan atau bertahun-tahun sebelum ekonomi kembali pulih.
Beberapa perkara wajar kita fikirkan dari sekarang.
1. Kita sudah ada pengalaman menghadapi PKP semasa pandemik Covid-19. Sepatutnya pengalaman itu menjadikan kita lebih bersedia berbanding kali pertama dahulu.
2. Sebahagian rakyat sudah mula terjejas pendapatan mereka. Yang belum terjejas jangan terlalu selesa dengan keadaan sekarang kerana keadaan boleh berubah dengan cepat.
3. Ketika PKP dahulu ada pengeluaran KWSP seperti i-Lestari dan i-Sinar yang membantu kelangsungan hidup.
Kali ini kemungkinan itu lebih sukar kerana sudah wujud Akaun 3 KWSP. Jadi jangan terlalu berharap kepada bantuan kecemasan seperti dahulu.
4. Juga kali ini tiada (atau belum ada ada) moratorium pinjaman seperti ketika PKP dahulu. Sebab itu elakkan membuat hutang baharu jika tidak benar-benar perlu.
Ramai juga masih menanggung kesan hutang berantai akibat moratorium sebelum ini.
5. Hutang kad kredit mempunyai kadar keuntungan yang sangat tinggi. Jika ada, berbincang dengan bank untuk penstrukturan semula.
Selepas itu hentikan penggunaan kad tersebut supaya tidak kembali menambah beban.
6. Jika diberi peluang bekerja dari rumah, gunakan masa yang dijimatkan daripada perjalanan pergi balik untuk mengurus kehidupan dengan lebih baik.
Antara yang paling mudah ialah memasak sendiri di rumah berbanding membeli makanan di luar.
7. Latih diri dan anak-anak supaya makan sekadar untuk hilangkan lapar, bukan untuk sedap. Disiplin kecil seperti ini membantu mengawal perbelanjaan harian.
8. Ini juga masa yang sesuai untuk membuang komitmen kewangan yang tidak perlu. Contohnya langganan TV berbayar yang jarang ditonton, talian telefon yang terlalu banyak, atau kad kredit berlebihan.
9. Kos paling besar dalam sesebuah keluarga biasanya ialah rumah dan kenderaan. Semakin besar rumah dan kereta, semakin besar juga kos ansuran dan penyelenggaraan.
Mungkin sudah tiba masa untuk merancang mengecilkan komitmen tersebut secara berperingkat.
10. Ramai risau jika kehilangan punca pendapatan kerana memikirkan masa depan anak-anak. Bayangkan pula jika pencari nafkah itu sendiri tiada.
Sebab itu jika sedang merancang menghentikan takaful semata-mata untuk menjimatkan kos, fikirkan semula.
Pilihan yang lebih baik ialah membuat penstrukturan semula polisi. Kurangkan manfaat yang kurang penting dan fokus kepada perlindungan asas.
Prinsip mudahnya ialah caruman serendah mungkin dengan perlindungan setinggi mungkin.
11. Bagi peniaga kecil dan SME, perubahan tingkah laku pengguna perlu diperhatikan.
Apabila ekonomi tidak menentu, orang akan lebih berhati-hati membelanjakan setiap sen.
Model perniagaan mungkin perlu disesuaikan dengan realiti baharu ini.
12. Cash is King tetap kekal. Mereka yang ada aset-aset mudah cair seperti TH, ASB, emas, unit trust, saham dan seumpamanya boleh bertahan lama ketika krisis.
13. Kita hidup pada zaman yang penuh ujian.
Perang, kemelesetan ekonomi, kejatuhan mata wang, bencana dan tekanan kehidupan semuanya adalah sebahagian daripada ketentuan-Nya.
Selepas segala perancangan dan persediaan dibuat, jangan lupa berdoa dan bertawakal kepada Allah.
Ombak dan badai mungkin tidak begitu kuat, tapi kapal kita yang mungkin kecil untuk menghadapinya.
14. Jangan lupa follow Afyan Mat Rawi, IFP
Sumber dari FB Afyan Mat Rawi
